11 muka baharu sertai kem latihan pusat skuad Negara

Sebelas muka baharu melengkapkan senarai 34 pemain hoki negara yang dipanggil mengikuti kem latihan pusat bagi membolehkan mereka dinilai untuk berada dalam kelompok 25 pemain kebangsaan bagi mengharungi musim 2020.

Namun, apa yang mengejutkan apabila pemain berpengalaman seperti Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Faizal Saari, Fitri Saari, Nabil Fikri Mohd Noor dan Joel Van Huizen tidak tersenarai bagi mengikuti sesi latihan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata ketua jurulatih skuad lelaki negara, Roelant Oltmans mempunyai kriteria tersendiri dalam pemilihannya itu.

“Sebelum senarai nama itu dikeluarkan hari ini, jurulatih Roelant telah bertemu dengan pemain. Perbincangan telah dibuat dan jelas jurulatih mempunyai kriteria tertentu untuk memilih pemain selepas perbincangan itu,” katanya pada sidang media pengumuman senarai 34 pemain di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Selasa.

Sebelas muka baharu ialah penjaga gol, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri; tiga pemain pertahanan, Muhammad Firdaus Omar, Muhammad Nur Asyraf Ishak dan Muhammad Aminudin Mohd Zain.

Tiga pemain tengah, Mohamad Faid Farhadh Mohamad Shah, Abdul Khalid Hamirin dan Shello Silveriusserta; empat penyerang iaitu Muhamad Hafiz Zainol, Muhammad Sufi Ismat Mr Rohulamin, Arif Sabron dan Muhammad Amirul Hanif Mamat.

Pemain yang dipilih itu akan mula menjalani sesi latihan pada Isnin depan dan akan dinilai selama tiga minggu sebelum tersenarai sebagai 25 pemain kebangsaan serta tiga pemain tambahan akan turut dipilih oleh Oltmans untuk turut sama menjalani latihan bersama pasukan Malaysia.

“Dalam tempoh tiga minggu, kami akan mengurangkan bilangan kepada 28 pemain. Ia akan menjadi peringkat terakhir bagi persediaan menghadapi Piala Sultan Azlan Shah. Daripada 34 pemain, terdapat 11 pemain baharu yang bermain dengan baik dalam liga hoki (Liga Hoki Malaysia).

“Dalam beberapa minggu pertama, mereka harus menunjukkan permainan yang berkualiti dan berpotensi untuk menjamin kedudukan dalam pasukan kebangsaan. Terdapat beberapa kriteria, satu daripadanya semangat juang dalam berpasukan. Mereka harus menunjukkan potensi untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Di situlah kami akan menilai mereka,” kata Oltmans.

Senarai pemain yang akan menggalas tugas di kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak yang akan berlangsung pada 11 hingga 18 April ini hanya akan diketahui pada penghujung Mac ini.

Berikut senarai 34 pemain dipanggil menjalani kem latihan pusat :

Penjaga gol – Mohammad Hairi Abd Rahman, Adrian Andy Albert, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri, Muhamad Zaimi Mat Deris

Pertahanan – Muhammad Razie Abd Rahim, Muhammad Najmi Farizal Jazlan, Muhammad Firdaus Omar, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran, Muhammad Nur Asyraf Ishak, Faiz Helmi Jali, Muhammad Najib Abu Hassan, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Muhammad Aminudin Mohd Zain, Muhammad Arif Syafie Ishak

Tengah – Muhammad Marhan Mohd Jalil, Mohamad Ashran Hamsani, Mohamad Faid Farhadh Mohamad Shah, Meor Muhamad Azuan Hasan, Abdul Khalid Hamirin, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Shello Silverius, Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad

Penyerang – Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Muhamad Hafiz Zainol, Muhammad Sufi Ismat Mr Rohulamin, Muhammad Haziq Samsul, Arif Sabron, Norsyafiq Sumantri, Muhammad Shahril Saabah, Firhan Ashaari, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Muhammad Noor Firdaus Rosdi, Muhammad Amirul Hanif Mamat — BERNAMA

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

2.7k
Whatsapp40.8k