11 pasar raya terlibat Jualan RAHMAH Peringkat Negeri Sembilan

Yang Berhormat Senator Puan Hajah Fuziah binti Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, dan Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, menyempurnakan Majlis Pelancaran Jualan RAHMAH peringkat Negeri Sembilan hari ini. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, bersama kerajaan tempatan dan pasar raya, menyertai Jualan RAHMAH di Kedai Keluarga di Sikamat, Negeri Sembilan.

Untuk makluman, Jualan RAHMAH peringkat Negeri Sembilan kali ini melibatkan 11 buah Pasar raya di seluruh Negeri Sembilan termasuk Pasar Raya Family Store, Sikamat. 11 buah Pasar Raya yang terlibat adalah seperti yang berikut:

  • AEON Co. (M) Bhd.;
  • Billion Shopping Centre (P.B.) Sdn. Bhd.;
  • Econsave Cash & Carry Sdn. Bhd;
  • EconMart Sdn Bhd;
  • Family Store Sdn. Bhd;
  • Giant Hypermarket (GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd);
  • Jakel Trading Sdn. Bhd.;
  • MYDIN (Mydin Mohamed Holdings Berhad);
  • TF Value-Mart Sdn.Bhd;
  • Tunas Manja Group; dan
  • Zemart Sdn. Bhd.

Pada masa yang sama, 4 buah pasar raya yang terlibat dengan Jualan RAHMAH ini turut menawarkan Menu RAHMAH kepada pelanggan iaitu Pasar raya AEON BIG, Pasar raya Giant, Pasar raya MYDIN dan juga Pasar raya Lotuss’.

Pelaksanaan Inisiatif Jualan RAHMAH ini akan diadakan selama tiga (3) hari mulai 7 hingga 9 April 2023 secara serentak di kesemua Pasar raya yang terlibat. Selain itu, Pengunjung Family Store Sikamat hari ini turut diberikan Baucer E-wallet RM20 untuk digunakan semasa membelibelah di pasar raya tersebut

Turut berlangsung adalah Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin yang merupakan program anjuran Kerajaan Negeri Sembilan dan Agensi Kerajaan seperti FAMA Negeri Sembilan, Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, Jabatan Veterinar Negeri Sembilan dan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan yang dilaksanakan bagi membolehkan rakyat Negeri Sembilan mendapatkan barangan keperluan dengan harga yang lebih murah dari harga pasaran. Selain itu, YB Timbalan Menteri turut menyerahkan Bakul RAHMAH kepada 80 penerima yang telah dikenalpasti di sekitar kawasan Sikamat, Negeri Sembilan.

KPDN Negeri Sembilan mengalu-alukan agar lebih banyak pasar raya dan pengusaha makanan menyahut dan menyokong usaha Kerajaan dengan menyertai Inisiatif Payung RAHMAH yang merangkumi lima (5) program utama iaitu Bakul RAHMAH, Jualan RAHMAH, Menu RAHMAH, Pakej RAHMAH dan Kafe RAHMAH yang akan terus dipromosikan oleh KPDN di seluruh negara tahun ini. KPDN Negeri Sembilan mengucapkan terima kasih kepada semua rakan strategik yang menjayakan Pelancaran Jualan RAHMAH Peringkat Negeri Sembilan pada hari ini.

 

CATEGORIES
Share This