3,839 permohonan permit pergerakan diluluskan IPD Kuching

3,839 permohonan permit pergerakan diluluskan IPD Kuching

Sebanyak 3,839 permohanan bagi permit pergerakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 2 diluluskan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sejak 2 April lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani, sebanyak 4,666 permohonan telah diterima di sembilan balai polis di seluruh Kuching.

Jelasnya, Balai Sentral mencatatkan jumlah terbanyak iaitu 2,172 permohonan, diikuti Balai Polis Gita (822), Bintawa (388), Tabuan Jaya (354), Sungai Maong (283), Padungan (207), Sekama (180), Satok (143) dan Santubong (117).

“Daripada jumlah 4,666 tersebut, hanya 3,839 sahaja diluluskan dan 827 lagi tidak diluluskan kerana alasan yang diberikan tidak munasabah,” katanya dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Awang Din menambah, kebanyakan alasan yang diberikan adalah berkaitan kebajikan.

Katanya, alasan-alasan yang diberikan adalah seperti kes kematian, keperluan menghantar ubat atau makanan kepada ibu bapa dan keluarga.

“Terdapat juga badan bukan kerajaan (NGO) yang memohon permit untuk menghantar makanan dan keperluan kepada masyarakat yang di luar Daerah Kuching.

“Di samping itu, terdapat alasan-alasan yang memerlukan pertimbangan polis seperti kes dibuang kerja.

“Ada kes yang mana, permohonan dibuat kerana si pemohon dibuang kerja dan dia perlu untuk ke luar daerah bagi menampung perbelanjaan harian.

“Kes ini akan diteliti dengan meminta dokumen-dokumen berkaitan sebelum permohonan diluluskan,” tegasnya.

Malah, ujar beliau lagi terdapat alasan seperti dakwaan mereka terkandas di Kuching dan memohon kebenaran untuk bergerak ke daerah lain.

Justeru, katanya, pihak polis akan menyiasat terlebih dahulu sebelum meluluskan permohonan mereka bagi memastikan tiada yang ingkar sepanjang pelaksanaan PKP ini.

CATEGORIES
2.7k
Whatsapp40.8k