Kerjasama VIT’S dan Datuk Khadijah Ibrahim Lancar Produk Amal Ramen Asam Laksa Ibu
Persatuan Karyawan Malaysia, sebuah organisasi yang mewakili penggiat seni tempatan, telah menganjurkan majlis makan malam amal bertujuan mengumpul dana bagi tabung persatuan. Persatuan ini aktif menjaga kebajikan ahli-ahlinya yang terdiri daripada golongan belakang tabir serta individu yang terlibat dalam pelbagai aktiviti seni di Malaysia.
Menurut Presiden persatuan, Dato’ Freddie Fernandez, lebih daripada RM100,000 berjaya dikutip hasil jualan meja daripada penderma pada malam tersebut, yang bakal membantu lebih daripada 100 ahli persatuan yang terdiri daripada anak seni.
VIT’S, jenama mee segera Malaysia yang ditubuhkan sejak tahun 1975, turut menunjukkan minat membantu golongan seni ini dengan memberi sumbangan dana sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Karyawan. Pengarah Eksekutif VIT’S, En. YT Lai, berkata, “VIT’S ingin bersama membentuk sebuah komuniti yang mengambil berat dan menghargai sumbangan seni, serta memberi peluang kepada mereka untuk terus berkarya dan menyumbang jasa dalam bidang seni.”
Selain itu, VIT’S juga berkolaborasi dengan penyanyi legenda tanah air, Datuk Khadijah Ibrahim, untuk menghasilkan produk Ramen Asam Laksa Ibu. Dengan setiap pembelian Ramen Asam Laksa Ibu ini, RM1.00 akan didermakan kepada Persatuan Karyawan, diharap orang ramai dapat membeli produk terbaru ini sambil beramal, serta inisiatif ini dapat membantu ahli-ahli persatuan yang memerlukan.
Produk Ramen Asam Laksa Ibu ini dilancarkan oleh Yang di-Pertua Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Pengarah Eksekutif VIT’S, En. YT Lai, dan Yang Berbahagia Datuk Khadijah Ibrahim pada Konsert Malam Amal tersebut.
Konsert yang bermula pada jam 8 malam tersebut telah menyatukan penyanyi-penyanyi lagenda seperti Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Awie, Dato’ Ramli Sarip, Rahimah Rahim dan ramai lagi dalam satu acara gemilang dan telah menghiburkan lebih dari seribu penonton yang terdiri dari penderma yang turut bersama turun padang berhibur sambil memeriahkan konsert ini.
VIT’S turut menghidangkan menu “Ramen Asam Laksa Ibu’ di mana pengunjung boleh merasai sendiri produk tersebut. Produk keluaran terbaharu boleh didapati melalui aplikasi TikTok Shop vits_official.
Segala informasi sila lawati www.vitsnoodles.com untuk maklumat lanjut.