Nabila Razali Teruja Dilantik Sebagai Duta Salam Taiwan 2024

Nabila Razali Teruja Dilantik Sebagai Duta Salam Taiwan 2024

Nabila Razali, penyanyi dan pelakon serba boleh, melihat pelantikannya sebagai Duta Salam Taiwan 2024 sebagai satu lagi pencapaian bermakna dalam perjalanan kerjaya seninya yang telah menjangkau lebih sedekad.

Beliau bersyukur dan berterima kasih atas penghormatan dan kepercayaan yang diberikan, sambil menyedari tanggungjawab besar yang dipikulnya untuk melaksanakan amanah ini dengan sebaik mungkin.

Taiwan, menurut Nabila atau mesra disapa Bella, 31, adalah destinasi impian yang sudah lama diidamkannya. Tawaran ini bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Pengalaman sebagai Duta Salam Taiwan telah membuka matanya tentang komitmen Taiwan dalam menyediakan persekitaran pelancongan yang mesra Muslim. Beliau teruja untuk berkongsi penemuannya dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia, terutamanya umat Islam, untuk menerokai destinasi menarik ini.

“Pelantikan ini banyak membuka mata saya tentang kesungguhan Taiwan sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim,” kata Nabila. “Banyak perkara baharu yang saya terokai sepanjang berada di sana. Lebih istimewa, Taiwan sangat sesuai untuk dijadikan destinasi pilihan percutian seisi keluarga kerana ia menawarkan pelbagai tarikan yang tersendiri.”

nabila

Walaupun sudah tiga kali berkunjung ke Taiwan, Nabila masih belum puas. Pulau ini menawarkan pelbagai tarikan, dari hiburan hinggalah keindahan alam semula jadi dan budaya, yang sentiasa membuatkannya teruja. Keramahan penduduk tempatan dan sistem pengangkutan awam yang efisien turut menambah keselesaannya, walaupun ketika melancong seorang diri.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakannya adalah mendaki Bitoujiao Trail yang menawarkan pemandangan menakjubkan. Walaupun bukan penggemar aktiviti lasak, Nabila tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk menikmati keindahan alam semula jadi Taiwan.

“Saya juga sangat seronok apabila dapat berbasikal di sepanjang Tanyashen Greenway di Taichung, malah turut larut dalam nostalgia di Stesen Jingtong ketika menaiki kereta api laluan Pingxi yang begitu mempesonakan,” kongsi Nabila. “Saya turut berpeluang melihat kehidupan masyarakat di pedalaman Taiwan dan ia memberikan pengalaman yang sangat berharga buat saya.”

Selain itu, Nabila turut teruja mencuba pelbagai permainan di taman tema dan menikmati hidangan Muslim Taiwan yang menyelerakan, terutamanya potongan ayam goreng yang menjadi kegemarannya. Beliau berharap dapat kembali ke Taiwan bersama suami pada masa akan datang.

Nabila yakin pelantikannya sebagai Duta Salam Taiwan 2024 akan memberi impak positif kepada kerjaya seninya dan membolehkannya menggunakan pengaruhnya untuk mempromosikan perkara-perkara positif kepada masyarakat.

Pentadbiran Pelancongan Taiwan baru-baru ini melancarkan video promosi “Jom Taiwan” yang menampilkan Nabila, serta risalah terkini, sebagai sebahagian daripada usaha strategik mereka untuk mempromosikan Taiwan sebagai destinasi pilihan utama Muslim Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran Pelancongan Taiwan, MOTC, Chou Ting-chang, menekankan kepentingan hubungan antara Taiwan dan Malaysia, menjadikan Malaysia sebagai pasaran utama dalam mempromosikan pelancongan Muslim.

nabila

Sejak 2018, Pentadbiran Pelancongan Taiwan telah membina jenama “Salam Taiwan” dalam pasaran Muslim Malaysia, yang berjaya meningkatkan imej Taiwan sebagai destinasi pelancongan terbuka dan mesra Muslim.

Peningkatan ketara pelancong Malaysia ke Taiwan, dengan lebih 200,000 pengunjung antara Januari dan Mei 2024, menunjukkan pertumbuhan hampir 20 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Ini mendorong Taiwan untuk terus komited dalam usaha memenuhi keperluan pengembara Muslim dan menyediakan pengalaman perjalanan yang mesra pelancong Islam.

Pelantikan Nabila, yang mempunyai 3.5 juta pengikut di media sosial, sebagai duta kempen “Jom Taiwan” diharap dapat memanfaatkan popularitinya untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melawat Taiwan.

Selain itu, Pentadbiran Pelancongan Taiwan turut melancarkan risalah baharu panduan perjalanan Muslim dan kempen undian “72 Jam Di Taiwan” yang mempelawa rakyat Malaysia mengundi jadual perjalanan yang mereka gemari di Taiwan menerusi laman web (https://72jamditaiwan.my). Peserta berpeluang memenangi pakej pelancongan Taiwan tiga hari dua malam untuk dua orang, termasuk tiket penerbangan pergi balik.

Untuk menarik lebih ramai pengunjung Muslim dari Malaysia, Pentadbiran Pelancongan Taiwan juga akan mengambil bahagian dalam Pameran Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair 2024) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dari 6 hingga 8 September ini.

Peminat berpeluang bertemu Nabila ketika sesi ‘meet-and-greet’ yang akan diadakan di Pentas Utama, Tingkat 3, MITEC, pada 7 September ini, jam 3 petang.

CATEGORIES
TAGS
Share This