Akon The Superfan Tour Bakal Gegarkan Malaysia & Singapura: Persembahan Unik dari Jeeharris Entertainment

akon

Jeeharris Entertainment, yang diterajui oleh penyanyi dan pelakon Harris Baba, sekali lagi menggegarkan dunia penganjuran konsert dengan membawa penyanyi antarabangsa, Akon, ke pentas Malaysia dan Singapura melalui Akon The Superfan Tour Live.

Konsert ini akan berlangsung pada 19 November 2024 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, dan keesokan harinya pada 20 November 2024 di Arena @ Expo Hall 7, Singapura. Ini adalah peluang istimewa bagi peminat untuk menyaksikan persembahan penyanyi yang terkenal dengan deretan lagu hits global.

Harris Baba menjelaskan bahawa membawa Akon ke dua negara dalam masa yang singkat adalah satu pencapaian besar untuk syarikatnya. “Projek ini mengambil masa hampir lapan bulan untuk direalisasikan.

Perancangan bermula sejak Disember tahun lalu, dan kami akhirnya berjaya memuktamadkan semua perincian bersama pengurusan Akon. Ia bukan proses yang mudah, tetapi hasil kerja keras pasukan dan rezeki dari Allah, kita berjaya,” kata Harris, penuh rasa syukur. Jeeharris Entertainment kini menjadi satu-satunya syarikat yang membawa konsert Akon ke dua negara di Asia Tenggara dalam bulan yang sama.

Konsert ini dijangka menarik perhatian ribuan peminat yang telah lama menantikan peluang untuk menyaksikan Akon secara langsung. Penyanyi ini telah mencipta fenomena global dengan lagu-lagu seperti Lonely, Smack That, Right Now, dan I Wanna Love You, yang kekal relevan di carta muzik seluruh dunia.

“Akon merupakan ikon muzik yang sentiasa segar dalam ingatan peminat. Lagu-lagunya masih dimainkan sehingga hari ini, dan saya yakin kehadiran beliau di Malaysia dan Singapura akan mencipta momen yang tidak dilupakan oleh peminat,” tambah Harris.

Selain daripada pengalaman hiburan bertaraf dunia, Akon The Superfan Tour turut melibatkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak penting.

Astro Radio menjadi rakan media rasmi dengan stesen-stesen seperti Era, Hits, Sinar Mix, dan Raaga memainkan peranan dalam promosi acara ini. Astro Gempak pula menyokong dari segi promosi digital.

Penaja utama termasuk El Car Rental dan Motivated Outreach, yang menyediakan pengangkutan dan logistik rasmi untuk Akon dan pasukannya, manakala Munchies akan menaja sajian semasa konsert di Malaysia, memastikan pengalaman menyeluruh bagi para peminat.

Kejayaan membawa Akon ke Malaysia dan Singapura bukan sahaja meningkatkan kredibiliti Jeeharris Entertainment, tetapi juga meletakkan Harris Baba sebagai salah seorang penganjur terkemuka dalam industri konsert tempatan.

“Pengalaman menganjurkan acara seperti Borneo Mega Raya Fest dan konsert Armada dan Ungu di Sabah telah memberi saya keyakinan untuk menguruskan konsert yang lebih besar seperti ini.

Kami sudah merancang lebih banyak acara besar untuk 2025, dan peminat boleh menjangkakan lebih ramai artis antarabangsa hadir ke Malaysia dan Singapura,” ujarnya dengan penuh semangat.

Tiket untuk menyaksikan Akon The Superfan Tour Live akan mula dijual pada 18 September 2024 untuk pra-pendaftaran, manakala penjualan umum bermula pada 20 September 2024.

Tiket bagi konsert di Malaysia boleh didapati di www.ticket2u.com, manakala tiket untuk konsert di Singapura boleh dibeli di www.sistic.com.sg. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah muzik ini dan menyaksikan persembahan dari salah seorang bintang terbesar dunia!

CATEGORIES
TAGS
Share This