Pelancaran Rasmi Single ‘Sejarah’ Dato’ Sri Siti Nurhaliza: Penghargaan kepada Perjalanan 30 Tahun dalam Muzik

Pelancaran Rasmi Single ‘Sejarah’ Dato’ Sri Siti Nurhaliza: Penghargaan kepada Perjalanan 30 Tahun dalam Muzik

Penyanyi terkenal Dato’ Sri Siti Nurhaliza telah mengadakan pelancaran rasmi untuk single terbaharunya yang berjudul Sejarah di restoran The Roomah, Solaris Dutamas, hari ini.

Lagu Sejarah mempunyai makna yang mendalam dalam perjalanan seni Siti Nurhaliza, yang bakal menyambut ulang tahun ke-30 dalam industri muzik. Lagu ini adalah hasil kerjasama antara Erwin Gutawa dan anak perempuannya, Gita Gutawa, yang bertindak sebagai penulis lirik. Erwin menjelaskan bahawa lagu ini ditulis khusus untuk Siti, menggambarkan keindahan vokal dan personaliti beliau yang unik.

Menurut Erwin, beliau telah meminta Gita untuk menulis lirik yang mengisahkan tentang seseorang yang kaya dengan pengalaman hidup, serta penuh dengan rasa syukur yang tercermin dalam setiap bait kata yang dilafazkan. Lebih menarik, susunan muzik lagu ini turut melibatkan Czech Symphony Orchestra, yang memberi nuansa istimewa kepada lagu ini yang ditujukan khusus untuk Siti Nurhaliza.

Sejarah merupakan hadiah istimewa dari Siti Nurhaliza kepada peminatnya sebelum menutup tahun 2024, setelah terlibat dalam beberapa siri konsert sepanjang tahun ini. Bagi Siti, lagu ini amat bermakna kerana ia menandakan kolaborasi semula beliau bersama Erwin Gutawa dalam menghasilkan sebuah lagu yang menceritakan perjalanan seni beliau.

DRA02897 (1).JPG

“Saya sangat berterima kasih kepada Erwin Gutawa yang telah mencipta lagu ini yang sangat menyentuh hati saya. Setiap lirik dan melodi lagu ini membawa saya kembali mengenang setiap fasa perjalanan seni saya, dan setiap kenangan itu terasa hidup ketika saya menyanyikannya,” kata Siti dengan penuh emosi.

Siti juga ingin merakamkan penghargaan kepada Aubrey Suwito yang telah memainkan peranan penting dalam proses rakaman vokal lagu ini yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Single ini diterbitkan oleh SN Legacy Sdn. Bhd dan Universal Music Sdn. Bhd, dan telah pun tersedia untuk distrim dan dimuat turun di platform digital sejak 14 November 2024.

Dalam majlis yang sama, Siti turut mengambil kesempatan untuk merayakan hubungan rapat dengan pihak media yang selama ini banyak menyokong karier beliau. Siti menganggap pihak media sebagai keluarga dan sahabat yang tidak henti-henti memperkenalkan beliau kepada masyarakat dan peminat di seluruh negara.

Sebagai tanda penghargaan kepada kerjasama yang telah terjalin selama ini, Siti telah mengadakan sesi cabutan bertuah khas dan memberikan cenderamata kepada semua yang hadir. Selain itu, Universal Music turut menyampaikan plak penghargaan kepada Siti sebagai pengiktirafan terhadap pencapaiannya, termasuk anugerah gelaran Biduanita Negara dan pelancaran single Sejarah.

CATEGORIES
TAGS
Share This