Hafiz Hamidun Lancar Album ‘Haramain’ Berinspirasikan Perjalanan Spiritual ke Tanah Suci

Hafiz Hamidun Lancar Album ‘Haramain’ Berinspirasikan Perjalanan Spiritual ke Tanah Suci

Penyanyi dan komposer nasyid terkenal, Hafiz Hamidun, kembali dengan album studio terbarunya yang berjudul Haramain. Album ini diinspirasikan daripada pengalamannya dalam perjalanan spiritual ke dua kota suci, Mekah dan Madinah, yang merupakan destinasi paling penting bagi umat Islam. Album ini adalah hasil kolaborasi kreatif dengan barisan penulis lirik berpengalaman seperti ITO Lara, Fedtri Yahya, dan Hafiz sendiri, serta diterbitkan oleh label rakaman terkemuka, Sony Music Malaysia.

Hafiz berkongsi bahawa lawatannya ke Tanah Suci memberi impak yang mendalam dalam proses penghasilan album ini. “Kunjungan saya ke Mekah dan Madinah sangat memberi inspirasi dalam mencipta lagu-lagu dalam album ini. Saya rasa ini adalah masa yang tepat untuk menghasilkan karya yang dapat menyentuh hati dan membangkitkan rasa kerinduan terhadap ibadah Haji dan Umrah,” ujar Hafiz, yang juga merupakan Presiden dan Pengasas Haje Care, sebuah NGO yang aktif dalam kerja-kerja amal.

Album ini merupakan kemunculan terbaru Hafiz selepas album Zikir Terapi (Acapella) pada tahun 2021, yang menjadi kesinambungan dari album paling popularnya Zikir Terapi Diri yang dikeluarkan pada 2011. “Selepas album terakhir, saya berada dalam dilema sama ada untuk terus menghasilkan album studio atau fokus kepada single sahaja. Namun, selepas melalui pelbagai cabaran semasa PKP, saya memilih untuk hanya menghasilkan single. Namun, pada penghujung tahun 2023, saya kembali berazam untuk menghasilkan album konsep,” jelas Hafiz.

Sebagai seorang penggiat seni, Hafiz mengakui bahawa kepuasan sebenar dalam berkarya datang melalui penghasilan album penuh. “Album Haramain mempunyai banyak makna bagi saya. Lagu ‘Zamzam’ (trek kedua), yang menampilkan kumpulan vokal hip hop dan R&B terkenal, Ruffedge, menjadi titik permulaan dan penanda aras bagi album ini,” tambah Hafiz. Album ini mengandungi 10 lagu, termasuklah “Batu Hitam”, “Zamzam”, “Raudah”, “Kota Cinta”, “Jabal Qubais”, “Arafah”, “Baqi'”, “Raudah (Slow Version)”, “Srikandi Solehah”, dan “Kiswah”.

Menurut Hafiz, setiap lagu dalam album ini membawa mesej yang mendalam mengenai kecintaan dan kerinduan terhadap Tanah Suci. “Lagu-lagu ini bukan sahaja menggambarkan pengalaman mengerjakan Haji dan Umrah, tetapi juga menceritakan keindahan sejarah dan warisan Islam di Mekah dan Madinah. Ia adalah sebuah perjalanan hati yang lebih daripada sekadar muzik, yang membawa pendengar lebih dekat dengan Allah SWT,” ujar Hafiz dengan penuh makna.

Hafiz turut mengucapkan rasa syukur kepada pihak Sony Music Malaysia atas sokongan mereka dalam merealisasikan album ini. “Setelah beberapa kali perbincangan, kami memutuskan untuk memulakan penghasilan album ini pada bulan Jun tahun ini, dan kami mengambil masa sekitar enam bulan untuk menyelesaikannya,” katanya.

Selain rakaman di Malaysia, Hafiz menjelaskan bahawa sebahagian besar rakaman album ini dilakukan di luar negara, khususnya di Turki. “Saya sering terbang ke Istanbul untuk merakamkan elemen muzik asli dari Timur Tengah, seperti instrumen ‘strings’, klarinet, Baglama (gambus Turki), dan perkusi (genderang), untuk memberi sentuhan unik kepada album ini,” tambahnya.

Album Haramain menggabungkan muzik pop nasyid dengan elemen muzik Timur Tengah dari Turki, Arab Saudi, dan Mesir, disusun dengan melodi akustik moden yang dirancang untuk menonjolkan keaslian dan keindahan lirik-liriknya. Selain itu, video muzik (MV) untuk lagu-lagu dalam album ini turut memaparkan pemandangan indah Mekah dan Madinah, dengan elemen-elemen spiritual yang dihidupkan secara sinematik, memberikan pengalaman visual yang mendalam kepada penonton.

Hafiz berharap album Haramain dapat menjadi teman spiritual bagi pendengar. “Saya berharap lagu-lagu dalam album ini dapat membawa kita lebih dekat dengan Allah SWT dan mencetuskan rasa syukur atas nikmat iman. Insya-Allah, saya juga berhasrat untuk menghasilkan album susulan yang akan dipasarkan di peringkat antarabangsa,” katanya. Hafiz kini sedang dalam proses menyiapkan terjemahan lagu-lagu album Haramain ke dalam bahasa Inggeris, Arab, Urdu, dan mungkin Mandarin, sebagai usaha dakwah melalui muzik. “Doakan agar usaha ini berjaya dan dapat berkembang dengan baik,” tambahnya.

CATEGORIES
TAGS
Share This