
Galeri Kebudayaan WCO, Inspirasi Bagi Penggiat Seni dan Budaya
KUALA LUMPUR, 25 Februari 2025 – Galeri Kebudayaan WCO, melalui WCO Holdings Sdn. Bhd, telah mencatatkan sejarah yang luar biasa dengan menjadi Galeri Kebudayaan pertama di ASEAN yang diiktiraf kerana mempamerkan koleksi yang menakjubkan yang terdiri daripada 3,388 diorama buatan tangan serta karya seni yang unik. Pengiktirafan ini bukan sahaja mengangkat martabat galeri ini sebagai pusat pemeliharaan seni dan budaya, tetapi juga berfungsi sebagai platform signifikan dalam menggalakkan keharmonian budaya di Malaysia.
Galeri ini terletak di Batu 10, Cheras dan menggambarkan warisan budaya pelbagai etnik serta komuniti ASEAN. Koleksi yang dipamerkan mencerminkan kepelbagaian sejarah, adat resam, dan keindahan seni rupa budaya tempatan. Setiap karya seni yang dipamerkan dihasilkan dengan penuh ketelitian dan kehalusan oleh Galeri Kebudayaan WCO, menjadikannya koleksi yang bukan sahaja unik tetapi juga bernilai tinggi.
Encik Foo Loke Kee, pengasas Galeri Kebudayaan WCO, menyatakan, “Pengiktirafan ini adalah satu pencapaian besar dalam usaha kami untuk memartabatkan seni budaya serantau dan memastikan warisan ini terus hidup dalam kalangan generasi yang akan datang. Kami komited untuk terus menyediakan ruang dan peluang kepada penggiat seni budaya luar untuk menyemarakkan identiti budaya di Malaysia dan ASEAN, sekaligus memupuk perpaduan kaum dan saling memahami di antara masyarakat ASEAN.”
Majlis penyerahan sijil pengiktirafan ini melibatkan ASEAN Book of Record (ABR), yang secara rasmi mengiktiraf Galeri Kebudayaan WCO sebagai Galeri Kebudayaan pertama di ASEAN yang mempamerkan 3,388 diorama buatan tangan dan karya seni unik. Majlis yang diadakan di Pavilion Damansara Heights ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz.
Pameran yang dianjurkan adalah sebahagian daripada usaha berterusan Galeri Kebudayaan WCO untuk mempromosikan kepelbagaian budaya yang ada di Malaysia. Dalam hal ini, pameran ini menekankan betapa pentingnya untuk memelihara dan mempromosikan kekayaan seni budaya Malaysia sebagai aset pelancongan penting. Ia juga menjadi harapan agar masyarakat, khususnya generasi muda, terus berusaha memelihara seni, budaya, dan warisan ini agar dapat terus berkembang dan dihargai oleh generasi akan datang, serta mampu menarik perhatian pelancong, pengkaji budaya, dan peminat seni diorama dari dalam dan luar negara.
Sebagai galeri kebudayaan pertama yang menerima pengiktirafan seperti ini, Galeri Kebudayaan WCO mempunyai hasrat yang tinggi untuk terus memperkasakan pemeliharaan seni dan budaya. Selain itu, mereka juga bercadang untuk memperluas lagi koleksi diorama dan kraf buatan tangan bagi memastikan warisan budaya ASEAN kekal relevan dan dihargai di peringkat antarabangsa.
Selain menerima pengiktirafan daripada ABR, Galeri Kebudayaan WCO juga telah menerima pelbagai pengiktirafan daripada agensi dan jabatan lain yang terlibat dalam membantu program serta aktiviti berkaitan kebudayaan, termasuk Program ASEAN Haritage Train dan Program Pelancongan Budaya. Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), dan Malaysia Book Of Record (MBR) turut terlibat dengan mengiktiraf Galeri Kebudayaan WCO sebagai Pusat Pertama Diorama Buatan Tangan Melalui Silang Budaya Malaysia-China pada September 2021.
WCO Holdings Sdn. Bhd. berharap pameran ini dapat menjadi platform yang kukuh untuk mengeratkan lagi hubungan antara kaum di Malaysia. Keberadaan galeri ini diharapkan dapat memperkukuhkan perpaduan negara dan menarik ramai pelancong ke Malaysia selaras dengan inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026). Dengan visi dan misi yang jelas, Galeri Kebudayaan WCO berkomitmen untuk terus menjadi peneraju dalam bidang seni dan budaya di kawasan ASEAN serta mendorong pembangunan yang lebih inklusif dalam memelihara warisan budaya yang amat bernilai ini.
Dalam menghadapi cabaran globalisasi dan pemodenan, pengiktirafan Galeri Kebudayaan WCO menjadi simbol harapan dan kekuatan bagi kita semua dalam usaha memelihara khazanah budaya yang tidak ternilai ini.