
Fenomena Blood Brothers: Kutipan Cecah RM9.2 Juta dalam 2 Hari Tayangan
Filem aksi epik tempatan yang penuh emosi dan ledakan visual, Blood Brothers: Bara Naga, kini mencetuskan fenomena luar biasa di pawagam seluruh negara. Hasil sentuhan dua pengarah tersohor tanah air, Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, karya ini berjaya meraih kutipan sebanyak RM9.2 juta hanya dalam tempoh dua hari tayangan rasmi dan awal, bermula pada 8 April lalu. Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan, malah meletakkan filem ini dalam senarai karya tempatan dengan prestasi kutipan tertinggi dalam tempoh singkat.
Ditayangkan di lebih 170 pawagam seluruh Malaysia,Blood Brothers: Bara Naga menerima sambutan luar biasa daripada penonton, khususnya di negeri-negeri seperti Selangor, Johor, Kedah, Pahang dan Terengganu. Jumlah tontonan yang tinggi di kawasan ini membuktikan bahawa penonton tempatan masih dahagakan karya berkualiti tinggi yang menggabungkan aksi mendebarkan, jalan cerita penuh emosi serta nilai persaudaraan yang menyentuh hati.
Kejayaan filem ini turut mendapat perhatian meluas di platform media sosial. Ramai pengulas dan penonton berkongsi pandangan positif terhadap mutu produksi yang ditampilkan. Pengulas filem Hadam Project menyifatkan Blood Brothers: Bara Naga sebagai antara filem tempatan yang paling dinantikan tahun ini dan mungkin filem aksi tempatan paling mengagumkan dari segi visual. Laman Facebook Suka Filem pula menggambarkan filem ini sebagai satu ledakan emosi dan aksi yang tidak memberi ruang untuk penonton bernafas, dengan Syafiq Yusof dikatakan berjaya membawa penonton menyelami pelbagai lapisan emosi menerusi arahannya yang matang dan berani keluar dari zon selesa.
Sementara itu, pengulas filem Abang Riak turut melabelkan karya ini sebagai yang terbaik pernah dihasilkan oleh Syafiq Yusof setakat ini. Menurutnya, daripada skrip, tempo, babak pertarungan hingga ke aspek teknikal, semuanya disusun kemas dan memberi impak yang sangat besar. Aksi pertarungan dalam filem ini turut digambarkan sebagai setaraf filem antarabangsa – brutal, kemas dan penuh tenaga. Pelakon Fikry Ibrahim juga tidak ketinggalan berkongsi pandangannya apabila menyatakan bahawa lakonan semua pelakon sangat natural dan seimbang. Beliau turut memuji gandingan Syukri, Sharnaaz, Syafiq dan Kepeng yang berjaya menyalurkan emosi serta menjadikan setiap watak hidup dan berkesan.
Kini sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Blood Brothers: Bara Naga merupakan sebuah karya yang wajar ditonton oleh semua peminat filem tempatan. Ia bukan sekadar sebuah filem aksi, tetapi juga karya yang mengetengahkan kekuatan emosi dan nilai kekeluargaan yang jarang dilihat dalam filem genre ini. Saksikan sendiri kehebatan Blood Brothers: Bara Naga dan rasai pengalaman sinematik yang dijangka akan menjadi penanda aras baharu dalam industri perfileman Malaysia.
Untuk mengikuti perkembangan terkini dan menikmati kandungan eksklusif berkaitan filem ini, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube.