Dari Arkib ke Panggung: “Lumrah Cinta” Menemui Nafas Baru Bersama Puteri Khareeza

Dari Arkib ke Panggung: “Lumrah Cinta” Menemui Nafas Baru Bersama Puteri Khareeza

Ada lagu yang tercipta dalam sekelip mata, namun ada juga yang harus menunggu bertahun-tahun sebelum menemukan takdirnya. Begitulah kisah di sebalik “Lumrah Cinta”, sebuah lagu balada indah hasil ciptaan Syamel dan Aepul Roza yang akhirnya menemui sinarnya selepas hampir tujuh tahun tersimpan. Lagu ini dihidupkan semula dengan penuh jiwa oleh penyanyi muda berbakat, Puteri Khareeza, menjadikan kolaborasi ini satu gabungan yang cukup istimewa dan bermakna.

Diterbitkan di bawah label Alternate Records, “Lumrah Cinta” membawa naratif tentang hati yang pernah terluka, namun tetap tabah untuk membuka ruang kepada cinta baharu. Dengan penambahbaikan dari segi susunan muzik dan pengolahan lirik, lagu ini kini tampil lebih matang, menyentuh, dan mudah meresap ke dalam hati pendengar. Ia sangat sesuai buat mereka yang sedang dalam proses menyembuhkan diri, atau yang masih percaya pada harapan selepas kecewa.

Menurut Aepul Roza, idea asal lagu ini datang daripada Syamel yang mencipta melodi awal sekitar tujuh tahun lalu. Setelah melalui beberapa fasa ubah suai pada lirik dan melodi, mereka akhirnya menemui penyanyi yang dirasakan benar-benar sesuai untuk membawa lagu ini ke pentas sebenar. “Balada memang genre kegemaran saya untuk diterbitkan, dan gabungan penulisan saya bersama Syamel memberikan rasa yang lain daripada biasa,” jelas Aepul.

Puteri Khareeza pula menyifatkan pengalaman merakamkan lagu ini sebagai sesuatu yang sangat bermakna dalam perjalanan seninya. “Saya sangat teruja dan pada masa yang sama gementar, sebab Syamel dan Aepul ialah nama besar yang saya kagumi sejak dulu. Mereka sangat baik dan banyak membantu sepanjang proses rakaman,” katanya. Mengakui cabaran utama adalah menyampaikan penghayatan setiap bait lirik—lebih-lebih lagi apabila demo asal dinyanyikan sendiri oleh Syamel—Khareeza berjaya menyiapkan rakaman hanya dalam masa dua jam.

Dengan lirik yang menyentuh hati dan melodi yang meruntun emosi, “Lumrah Cinta” bersedia menjadi lagu tema buat mereka yang sedang belajar melepaskan luka lama dan menyambut cinta baharu dengan hati yang terbuka. Lagu ini kini boleh dinikmati di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. Untuk info lanjut dan perkembangan terkini daripada Alternate Records & Talents, ikuti mereka di Facebook, Instagram (@alternate.my_) dan TikTok (@alternate.rt_).

CATEGORIES
TAGS
Share This