DAH RM50 JUTA KUTIPAN – APA LAGI, LET’S GO PAWAGAM!

Blood Brothers: Bara Naga terus mencipta fenomena apabila berjaya mencatat kutipan luar biasa mencecah RM50 juta hanya dalam tempoh 14 hari tayangan, termasuk tayangan awal. Filem aksi epik ini bukan sahaja menambat hati penonton di seluruh negara, malah berjaya mencetuskan gelombang reaksi positif di media sosial. Ramai yang berkongsi pengalaman menonton, dan ada juga yang sanggup kembali ke pawagam semata-mata untuk menyaksikan babak pembukaan 10 minit pertama yang kini dianggap sebagai antara babak paling “legend” dalam sejarah filem tempatan.

Kejayaan ini turut diraikan oleh pengarah Syafiq Yusof dan penerbit Abhilash Chandra yang meluahkan rasa syukur atas sambutan yang tidak disangka-sangka. “Kami amat bersyukur melihat kutipan yang terus meningkat dan kini mencapai tahap yang begitu luar biasa. Ini semua tidak akan berlaku tanpa sokongan padu daripada penonton Malaysia. Terima kasih kerana terus mempercayai dan menyokong filem ini dari awal hingga sekarang,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Apa yang membezakan Blood Brothers: Bara Naga daripada filem-filem lain adalah elemen sinematiknya yang mendalam. Ia bukan sekadar sebuah filem aksi, tetapi sebuah pengalaman visual dan emosi yang hanya mampu dirasai sepenuhnya di layar besar. Dengan sinematografi yang mengagumkan, reka bentuk bunyi yang menggegarkan, serta momen-momen yang menyentuh jiwa, setiap detik di pawagam menjadi sesuatu yang luar biasa – dari rasa tegang yang membuat dewan senyap sunyi, hingga ke babak yang mencetuskan tepukan spontan dari penonton.

Menambahkan lagi keterujaan, Primeworks Studios telah berkongsi satu klip eksklusif di Instagram yang menampilkan scene pertarungan pertama dalam filem ini. Walaupun hanya ditonton di skrin telefon, babak tersebut tetap meninggalkan impak besar. Namun, untuk merasai impak sebenar dan sepenuhnya menghargai hasil kerja produksi yang teliti, penonton disarankan untuk menyaksikannya secara langsung di pawagam. Setiap perincian dalam Blood Brothers: Bara Naga direka khusus untuk layar lebar – menjadikannya satu pengalaman imersif yang tiada tandingan.

Ini bukan sekadar tontonan, ini adalah pengalaman sinematik seumur hidup. Dan jika anda masih belum menyaksikannya – inilah masa yang paling tepat untuk serbu ke pawagam dan alami sendiri kehangatan fenomena ini.

Terima kasih atas sokongan luar biasa yang telah diberikan. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Blood Brothers: Bara Naga – kini ditayangkan di seluruh pawagam tanah air.

Dan buat peminat di Kedah dan Pulau Pinang, bersiap sedia! Barisan pelakon utama akan turun padang sempena Jelajah Bara Naga hujung minggu ini di lokasi-lokasi terpilih. Datanglah beramai-ramai, bertemu secara langsung dengan para pelakon kegemaran anda, dan rasai sendiri aura filem yang sedang mencetus fenomena ini!