Pengembaraan Baharu Ejen Ali Bermula! Saksikan Filem Kedua Mulai 22 Mei 2025

Pengembaraan Baharu Ejen Ali Bermula! Saksikan Filem Kedua Mulai 22 Mei 2025

Ejen Ali The Movie 2 kini kembali mencuri perhatian dengan pelancaran Treler Rasmi Kedua, menandakan permulaan kiraan detik menuju tayangan rasmi pada 22 Mei 2025. Filem sekuel yang dinanti-nantikan ini menjanjikan pengalaman sinematik yang lebih mantap — dipenuhi aksi mendebarkan, emosi yang menyentuh hati, dan visual animasi bertaraf tinggi.

Sejak poster baharu didedahkan, peminat tidak berhenti membicarakan perkembangan terbaru watak ejen muda kegemaran ramai ini. Penantian makin terasa apabila treler terbaharu mempamerkan sisi lebih kompleks dalam kehidupan Ali, dengan cabaran yang bukan hanya memerlukan kekuatan fizikal, malah ketabahan emosi dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan.

Ali kini dihadapkan dengan misi paling mencabar dalam kerjayanya sebagai ejen muda. Ketika kota futuristik Cyberaya berada dalam ancaman baharu, muncul pula wajah-wajah lama dengan agenda yang penuh teka-teki. Salah satunya ialah Rizwan, bekas ejen MATA yang kini kembali dalam situasi mencurigakan. Pertemuan mereka mencetus konflik batin yang mendalam dan memaksa Ali mempertimbangkan semula siapa sebenarnya musuh dan siapa sekutu.

Dalam usaha mempertahankan keamanan, Ali harus menguasai sut Satria – teknologi canggih yang diperkenalkan oleh MATA dan masih asing baginya. Tambahan pula, kepimpinan baharu dalam organisasi, yang kini diterajui oleh Ejen Amir (Neuro) dan Ejen Elle (Inviso), membawa hala tuju strategik yang berbeza. Sementara itu, musuh lama Neonimus merancang gerakan licik, dibantu oleh duo antagonis Dos dan Trez, menjadikan pertarungan kali ini lebih perit dan penuh risiko.

Daripada segi produksi, filem ini menampilkan peningkatan luar biasa dari segi animasi dan suntingan audio visual. Muzik latar yang energetik dan padu menambahkan intensiti kepada setiap babak penting, menjadikan treler ini antara yang paling mengesankan setakat ini. Lagu tema filem, “Hanya Kamu” oleh legenda muzik Dato’ M. Nasir, juga berjaya mencipta gelombang emosi dalam kalangan penonton awal di platform digital.

Menurut pengarah Usamah Zaid Yasin, usaha pasukan produksi kali ini memberi tumpuan penuh kepada pembinaan naratif yang lebih matang dan mendalam. Beliau menyatakan keterujaannya untuk berkongsi babak-babak baharu Ejen Ali di layar besar, di mana segala emosi, aksi, dan konflik akan disampaikan dengan impak maksimum kepada penonton.

Diterbitkan oleh Primeworks Studios dan WAU Animation, dengan sokongan Komet Productions, Ejen Ali The Movie 2 bersedia menggegarkan pawagam tempatan dan antarabangsa. Para peminat dijemput untuk menyertai kempen promosi menggunakan tanda pagar rasmi #EjenAliTheMovie2, dan mengikuti segala perkembangan menerusi media sosial serta saluran rasmi YouTube Ejen Ali.

Tonton Treler Rasmi Kedua di:
YouTube: www.youtube.com/ejenali
TikTok: www.tiktok.com/@officialejenali
Facebook: www.facebook.com/ejenali
Instagram: www.instagram.com/ejen_ali
Twitter: www.twitter.com/ejen_ali

Kekal bersedia, Ejens. Misi anda bakal bermula!
#EjenAli #EjenAliTheMovie2 #EATM2 #AniMY

CATEGORIES
TAGS
Share This