
Haier Cup Kembali Menggegar Malaysia: Siapa Bakal Dinobat Juara Baharu?
Kejohanan badminton amatur paling dinanti-nantikan kini kembali untuk edisi ketiganya – Haier Cup 2025, tampil lebih berprestij, lebih mencabar, dan lebih inklusif. Tahun ini, Haier Malaysia memperluaskan lagi kejohanan dengan memperkenalkan Haier Cup Junior, sebuah platform baharu bagi mengetengahkan bakat muda dalam sukan badminton, bermula seawal usia tujuh tahun.
Buat pertama kali dalam sejarah kejohanan, Haier Cup Junior membuka ruang kepada pemain cilik dan remaja untuk merasai pengalaman pertandingan sebenar, disamping memberi peluang kepada keluarga untuk turut serta melalui kategori Ibu Bapa & Anak. Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh ikatan kekeluargaan tetapi juga memupuk minat terhadap gaya hidup sihat sejak usia muda.
Haier Cup edisi kali ini dijangka menarik lebih 1,000 penyertaan dari seluruh negara, satu lonjakan besar berbanding penyertaan 390 orang pada edisi sulung tahun 2023. Dengan empat kategori utama – Perseorangan Lelaki, Beregu Lelaki, Beregu Wanita dan Beregu Campuran – kejohanan ini terbuka kepada semua pemain amatur berumur 18 tahun ke atas. Format pertandingan juga ditambah baik dengan kelayakan peringkat negeri yang merangkumi empat zon – Sarawak, Johor, Pulau Pinang, dan Kuala Lumpur.
Kejohanan peringkat akhir akan berlangsung pada 10 Ogos 2025 di Kuala Lumpur, di mana juara dari setiap negeri akan berentap bagi merebut gelaran juara keseluruhan dan seterusnya mewakili Malaysia ke pentas serantau di Indonesia. Pemenang akan bertanding menentang peserta terbaik dari Filipina, Vietnam, Thailand dan tuan rumah, Indonesia – dengan segala kos perjalanan dan penginapan ditanggung sepenuhnya oleh Haier Malaysia.
Bagi edisi junior pula, Haier Cup Junior akan berlangsung secara eksklusif pada 19 dan 20 Julai 2025 di Kuala Lumpur. Kejohanan ini terbuka kepada pemain berumur 7 hingga 21 tahun dalam kategori perseorangan dan beregu mengikut kumpulan umur. Hadiah berupa pingat dan sijil akan diberikan sebagai penghargaan terhadap pencapaian mereka.
Julian Thean, Penolong Pengarah Pemasaran Jenama Haier Malaysia, menegaskan bahawa penganjuran Haier Cup adalah sebahagian daripada misi Haier untuk menyatukan rakyat Malaysia menerusi semangat kesukanan. “Kami ingin mencipta peluang yang bukan sahaja mencungkil bakat baharu tetapi turut meraikan dedikasi serta semangat komuniti terhadap badminton – satu sukan yang menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Haier Cup bukan sekadar kejohanan, tetapi juga sebuah gerakan memperkasa komuniti melalui sukan. Ia adalah medan untuk bakat-bakat tersembunyi menyerlah dan untuk semua lapisan masyarakat bergabung dalam semangat persaingan yang sihat. Bermula daripada peminat amatur hingga ke generasi muda yang berpotensi besar, Haier Cup 2025 membawa visi menjadikan sukan badminton sebagai wadah perpaduan dan pencetus perubahan gaya hidup aktif.
Pendaftaran kini dibuka untuk semua kategori dan Haier menjemput semua peminat badminton untuk mengambil bahagian dalam pengalaman kompetitif yang bermakna ini. Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi Haier Cup 2025 serta ikuti perkembangan melalui Facebook dan Instagram rasmi Haier Malaysia.