
Universal Music Malaysia Angkat Legenda Muzik di Ekspo 2025 Osaka
Universal Music Malaysia mempersembahkan sebuah penghargaan istimewa kepada empat tokoh seni tanah air menerusi pameran eksklusif di Hall of Fame Malaysia, yang menjadi sebahagian daripada Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka, Jepun. Menampilkan Tan Sri P. Ramlee, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri dan kumpulan DOLLA, pameran ini berlangsung dari April hingga Oktober 2025, dan menjadi salah satu tarikan utama untuk pengunjung antarabangsa mengenali kehebatan muzik Malaysia.
Hall of Fame Malaysia direka sebagai ruang penghormatan yang mengangkat naratif kejayaan seni tempatan melalui persembahan audiovisual yang imersif. Pameran ini membawa pengunjung menyusuri sejarah muzik tanah air dari era klasik ke arus kontemporari — daripada keunggulan legasi Tan Sri P. Ramlee yang tak lapuk dek zaman, ke keanggunan vokal Dato’ Sri Siti Nurhaliza, ke keampuhan suara moden Ernie Zakri, dan keberanian gaya muzik DOLLA yang mewakili suara generasi baharu.
Setiap ikon membawa cerita berbeza, namun semuanya menyumbang kepada satu kisah besar: bagaimana muzik Malaysia mampu merentas batas budaya dan memberi inspirasi ke seluruh dunia. Dari layar perak ke pentas antarabangsa, mereka telah meninggalkan jejak yang membanggakan.
Pengunjung yang melangkah ke ruang pameran akan disajikan dengan pelbagai segmen menarik seperti:
-
Peringatan kepada sumbangan abadi Tan Sri P. Ramlee dalam seni suara dan filem Melayu.
-
Kisah kejayaan Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang dikenali sebagai lambang suara emas negara.
-
Perjalanan Ernie Zakri dalam menakluk dunia pop Melayu sebagai ikon vokal masa kini.
-
Evolusi DOLLA dalam mengangkat genre pop Malaysia ke lanskap global.
Tabby, anggota kumpulan DOLLA, berkongsi keterujaannya, “Tahun 2025 menjadi detik yang sangat bermakna buat kami. Kami sedang bereksperimen dengan bunyi baharu yang mencerminkan keberanian dan keikhlasan dalam berkarya. DOLLA kini lebih matang dan tulen, dan kami sangat bersyukur dengan sokongan yang berterusan daripada peminat, terutamanya iDOLLAs. Menjadi sebahagian daripada Hall of Fame ini adalah satu penghormatan besar buat kami semua.”
Turut berkongsi rasa syukur ialah Ernie Zakri, yang menyatakan, “Saya amat tersentuh apabila usaha dan dedikasi saya selama ini diiktiraf di peringkat antarabangsa. Terima kasih kepada Universal Music Malaysia dan semua yang sentiasa menyokong kerjaya saya. Ini adalah momen yang tidak akan saya lupakan.”
Sebagai salah satu elemen utama dalam Pavilion Malaysia, pameran ini bukan sahaja meraikan pencapaian anak seni, tetapi juga memperkenalkan kekayaan budaya Malaysia kepada dunia. Ekspo 2025 Osaka dijangka menarik jutaan pengunjung, dan Hall of Fame Malaysia bakal menjadi mercu tanda yang membuktikan bahawa muzik tempatan mampu bersaing di pentas antarabangsa.