Surat Lara menyentuh hati Dr Noor Hisham

Surat Lara menyentuh hati Dr Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sudah tentu berhadapan dengan tugas yang begitu banyak di saat negara sedang berhadapan dengan wabak COVID-19.

Setiap hari jam 5.00 petang rakyat negara ini akan melihat wajah beliau di kaca televisyen dengan fakta-fakta baharu berhubung penularan wabak COVID-19 di dalam negara.

Di dalam kesibukan itu beliau sempat membalas sepucuk surat daripada seorang kanak-kanak 9 tahun dari Kuala Terengganu.

Noor Hisham mengucapkan terima kasih kepada Lara Khadijah McAfee yang juga menghadiahkan gelang tangan diperbuat daripada getah kepadanya.

“Terima kasih atas surat anda, cucu saya memakai gelang indah itu dan dia sangat suka.

“Kata-kata anda terlalu baik tetapi saya tidak melakukannya sendiri. Saya bernasib baik kerana mempunyai pasukan yang hebat untuk membantu negara kita.

“Rakan-rakan rakyat Malaysia seperti anda, telah banyak membantu dengan memainkan peranan anda dengan tinggal di rumah,”tulis Noor Hisham.

Sambil menasihati murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Budiman supaya belajar bersungguh-sungguh, Noor Hisham memberitahu Lara agar tidak terlalu risau dengan situasi sekarang.

“Suatu hari, akan tiba giliran anda untuk membantu Malaysia. Ikuti impian anda dan berusaha bersungguh-sungguh! ” katanya sebelum menandatangani surat itu sebagai “dari rakan baru anda, Dr Hisham”.

Saudara Lara meletakkan gambar surat yang ditulis oleh kakaknya dan jawapan Dr Hisham di Twitter hari ini dan sejak itu ia menjadi viral.

CATEGORIES
Share This