POST- HARDCORE NUSANTARA DAN ORCHESTRA SIMFONI ADALAH GABUNGAN UNIK YANG SOG MEMBAWA PERBEZAAN KEPADA KONSERT “REIMAGINATION” PADA 17 JUN INI
Sebuah band pasca-tegar Malaysia dengan pengaruh Nusantara semakin popular bukan sahaja untuk kehebatan muzik mereka dan persembahan langsung yang menarik, tetapi juga kerana, berdasarkan tindak balas positif daripada pendengar muzik kontemporari, mereka dapat mencapai tahap kejayaan yang luar biasa untuk kumpulan muzik genre tegar.
Sokongan padu peminat muzik Malaysia dan di rantau Asia ini telah mendorong SOG untuk menganjurkan konsert terbaru mereka yang diberi nama ‘REIMAGINASI’ pada 17 Jun 2023 (Sabtu) bertempat di ruang acara bertaraf dunia yang terbaru, JioSpace, di Petaling Jaya.
Kejayaan SOG merangkul anugerah Lagu Terbaik di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36 pada tahun 2022 dengan lagu ‘Pelukan Angkasa’ hasil kolaborasi mantap bersama Shila Amzah, dan juga mengungguli Industri Muzik (AIM) 2022 untuk kategori Lagu Rock Terbaik bagi lagu Tugu Ugut membuktikan bahawa SOG amat serius dengan penglibatan mereka di dalam industri muzik negara. Ditambah pula dengan pengiktirafan serta komen-komen positif dari pengkritik dan peminat muzik masa kini yang lebih sofistikated, ia makin membakar semangat ahli-ahli kumpulan ini untuk terus menghasilkan karya-karya berkualiti tinggi. Bukan sahaja menghiburkan, malah secara tidak langsung SOG dapat membuka minda peminat muzik Malaysia untuk menghayati genre muzik yang luar dari kebiasaan.
‘REIMAGINASI’ yang diambil dari perkataan Bahasa Inggeris – ‘reimagine’ bermaksud ‘olahan semula mengikut imaginasi’, mendefinisikan dengan ringkas konsep konsert SOG kali ini. Bakal mempersembahkan lebih dari 20 lagu yang kesemuanya merupakan ciptaan SOG sendiri dari EP pertama sehinggalah album terbaru, Second Voyage, dan (hampir) kesemuanya akan menerima sentuhan orkestra simfoni, justeru diberi nafas serta jiwa yang baru. Seramai 30 orang pemuzik berpengalaman telah dijemput khas oleh SOG untuk menjayakan konsert ini dan terdiri dari pemain-pemain alat muzik bertali, woodwind dan brass. Pastinya karya-karya asal yang berentak post-hardcore, modern rock dan eksperimental dengan pengaruh Nusantara, akan lebih epik dengan kehadiran bunyian muzik orchestra simfoni klasik Barat.
Dianggotai oleh enam anak muda iaitu Raja Nazrin Shah (gitar dan vokal), Riko Agus (vokal), Raja Nazmin Shah (dram), Amsyar Saiful (gitar), Abdul Qayyum (bass) dan MK Ridzuan (flute), menurut mereka projek ini beberapa kali tertangguh dan penangan paling besar buat mereka adalah apabila dunia dilanda pandemik. Menurut Raja Nazrin, “Alhamdulillah segala persiapan berjalan lancar walaupun pada mulanya kami menghadapi pelbagai cabaran”. Menceritakan bagaimana timbul idea serta konsep konsert ‘REIMAGINASI’, dia berkata, “Segala-galanya bermula dari kehangatan dan penerimaan luar biasa peminat yang hadir ke konsert kami yang pertama pada Oktober 2016 di UiTM Shah Alam dengan kerjasama Pengarah Muzik tersohor, Jennifer Thompson. Selepas itu, para peminat kami tidak henti-henti bertanyakan tentang perancangan menganjurkan konsert yang lebih besar, maka lahirlah idea konsert ‘REIMAGINASI’, di tempat yang lebih luas, dilengkapi dengan sistem teknologi terkini dan juga kapasiti penonton lebih dua kali ganda (1,500 orang)”.
Jelas Raja Nazrin lagi, “SOG juga mempelawa Jennifer Thompson untuk kembali memikul tanggungjawab sebagai Pengarah Muzik bukan sahaja kerana reputasinya yang hebat, tetapi sinergi di antara kami begitu serasi. Faktor ini amat penting kerana tanpa persefahaman jujur di antara pemuzik dan pengarah muzik, kualiti persembahan juga mungkin terjejas”.
Turut menampilkan artis-artis jemputan seperti Shila Amzah, Naim Daniel dan Asmidar, konsert tersebut diterbitkan oleh kumpulan SOG sendiri dan pengurusan acara dengan kerjasama MK Ridzuan Edutainment. Dana bagi mengendalikan konsert ini adalah dari MyCreative Ventures di bawah program Muzik Malaysia dan Dana Kandungan Digital Industri Muzik 2023.
“Kami sangat teruja untuk dapat mengadakan konsert ini dan mempersembahkan persembahan terbaik kami untuk peminat-peminat kami. Jangan lepaskan peluang ini kerana ia pasti akan memberikan pengalaman yang akan dikenang oleh semua yang hadir. Dapatkan tiket anda sekarang dan jumpa anda semua di JioSpace pada 17 Jun ini!” tegas ahli-ahli SOG.
Tiket konsert ‘REIMAGINASI’ SOG yang berharga RM80 (free standing) boleh didapati melalui laman web www.esojimy.com dan peminat muzik di Malaysia digalakkan untuk membeli tiket secepat mungkin kerana tempat adalah terhad.
Ikuti perkembangan terbaru SOG dengan mengikuti platform media sosial berikut:
Facebook: sekumpulanoranggila
Instagram: @wearesog
Twitter: @wearesog
Sila hubungi +60195866771 jika mempunyai sebarang pertanyaan berkenaan konsert ‘REIMAGINASI’