PARIT BUNTAR, PERAK, 22 OKTOBER 2026 — Kerian bakal mencatat perkembangan ekonomi yang lebih pesat menerusi pembangunan Kerian Industrial City (KIC) di Dennistown, Perak, yang dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri, kemasukan pelaburan baharu serta pengembangan perusahaan tempatan. Projek berkeluasan 287 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM700 juta itu disasarkan mewujudkan sebanyak 12,000 peluang pekerjaan, sekali gus membuka ruang kepada penduduk setempat untuk membina kerjaya dan meningkatkan taraf hidup tanpa perlu berhijrah ke negeri lain.
Pembangunan KIC turut menandakan langkah strategik dalam memperluas kapasiti perindustrian di daerah Kerian susulan selesainya proses pengambilan tanah dan kelulusan Kebenaran Merancang (KM). Projek ini dijangka melengkapi kawasan perindustrian sedia ada, termasuk Kawasan Perindustrian Parit Buntar, di samping menyediakan ruang tambahan bagi memenuhi keperluan pengembangan industri dan menarik lebih banyak pelaburan pada masa hadapan.
Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, berkata pembangunan KIC merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh ekonomi Kerian melalui peralihan ke arah industri bernilai tinggi, tanpa mengabaikan asas ekonomi sedia ada. Menurut beliau, KIC bukan sekadar pembangunan perindustrian, malah berpotensi menjadi pemangkin pelaburan dan penciptaan peluang ekonomi yang menyumbang kepada kemakmuran rakyat, selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 untuk membina negeri yang maju, berdaya saing dan sejahtera.

[Tengah] YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak, bersama [dari kiri] Dato’ Yong Chai Seng, Pengarah Urusan Asia Bina Group; YB Dato’ Seri Ir. Hj. Mohammad Nizar bin Jamaluddin, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam; Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk); dan YB Tuan Loh Sze Yee, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, pada majlis pecah tanah Kerian Industrial City (KIC) yang bakal memperkukuh kapasiti perindustrian Kerian, menarik pelaburan serta mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada masyarakat setempat.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan industri di Kerian perlu dilaksanakan secara terancang dengan KIC dan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) memainkan peranan saling melengkapi dalam membentuk ekosistem perindustrian yang lebih bersepadu. Pertumbuhan ini diharapkan dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan yang berkualiti, pembangunan kemahiran tenaga kerja serta peluang perniagaan yang lebih luas kepada perusahaan tempatan.
Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, berkata kedudukan strategik KIC yang berhampiran institusi pendidikan dan latihan teknikal membuka peluang kerjasama antara industri dengan institusi pengajian. KIC terletak kira-kira enam kilometer dari Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), 9.3 kilometer dari Institut Kemahiran Tinggi PERDA dan 15.6 kilometer dari Kolej Vokasional Kerian.
Menurut beliau, kedudukan tersebut berpotensi memudahkan pengambilan jurutera, tenaga kerja teknikal dan pelatih industri, selain menggalakkan pelaksanaan penyelidikan gunaan bagi memenuhi keperluan sektor swasta. Kerjasama antara pemain industri dengan institusi pendidikan juga penting untuk memastikan penduduk tempatan, khususnya anak-anak Perak, memperoleh kemahiran yang relevan dan peluang membina kerjaya dalam sektor perindustrian yang semakin berkembang.
Sementara itu, Pengarah Urusan Asia Bina Group, Dato’ Yong Chai Seng, berkata kejayaan KIC bukan hanya bergantung pada keupayaannya menarik pelaburan, tetapi turut diukur berdasarkan manfaat yang dapat dinikmati oleh perusahaan tempatan. Beliau menekankan kepentingan membuka peluang kepada vendor, pembekal, kontraktor dan pengusaha tempatan untuk menyertai rantaian bekalan industri, sekali gus meningkatkan kapasiti perniagaan serta memperkukuh daya saing mereka dalam jangka panjang.

[Tengah] YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak, bersama [barisan belakang, paling kanan] Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), dan [barisan hadapan, kedua dari kiri] Dato’ Yong Chai Seng, Pengarah Urusan Asia Bina Group, serta [barisan hadapan, kedua dari kanan] YB Tuan Loh Sze Yee, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, bersama wakil Asia Bina Group pada majlis pecah tanah Kerian Industrial City (KIC), yang menandakan langkah strategik ke arah memperluas pembangunan perindustrian dan merancakkan pertumbuhan ekonomi di Kerian.
Dari segi infrastruktur, perancangan jajaran jalan baharu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang menghubungkan susur keluar Tol Bandar Baharu terus ke KIGIP dijangka meningkatkan kesalinghubungan kawasan perindustrian di utara Perak. Laluan tersebut berpotensi memudahkan pergerakan logistik, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan memperkukuh akses ke KIC serta kawasan perindustrian sekitar Parit Buntar. Bagaimanapun, jajaran akhir dan jadual pelaksanaannya masih tertakluk kepada penelitian serta pengesahan JKR dan pihak berkuasa berkaitan.
KIC merupakan sebahagian daripada rangkaian pembangunan ekonomi Perak yang turut merangkumi Automotive High Technology Valley (AHTV), Lumut Maritime Industrial City (LuMIC), Silver Valley Technology Park (SVTP) dan KIGIP. Pembangunan berkenaan mencerminkan usaha negeri memperluas asas ekonominya melalui sektor automotif, teknologi, maritim, pembuatan dan industri hijau.
Secara keseluruhannya, pembangunan KIC dijangka memperkukuh kedudukan Kerian sebagai destinasi pertumbuhan industri di utara Perak, selain merangsang aktiviti ekonomi setempat melalui kemasukan pelaburan, penciptaan pekerjaan dan pengembangan perniagaan. Dengan sokongan infrastruktur, kerjasama institusi pendidikan serta penglibatan perusahaan tempatan, projek ini berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi Perak yang lebih mampan dan berdaya saing, selaras dengan matlamat Perak Sejahtera 2030.










Leave a Reply