KUALA LUMPUR: Nestlé Malaysia dan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) meneruskan kerjasama bagi tahun keempat berturut-turut menerusi Inisiatif Bantuan Banjir Seluruh Negara 2026 dengan menyediakan 7,000 pek bantuan makanan berkhasiat untuk membantu keluarga di komuniti berisiko menghadapi musim monsun.
Bantuan tersebut sedang disalurkan ke Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir. Di Sabah pula, seramai 40 sukarelawan daripada operasi Nestlé di Sabah, Harrisons Sabah dan BSMM Sabah berganding bahu menyediakan 1,000 beg bantuan banjir untuk diagihkan kepada komuniti yang memerlukan.
Sumbangan Nestlé Malaysia bagi inisiatif tahun ini, merangkumi produk dan sokongan kewangan, dianggarkan bernilai RM1.8 juta. Sejak kerjasama ini bermula pada 2023, lebih 30,000 keluarga yang terjejas akibat banjir telah menerima bantuan, selain sokongan diberikan bagi memperkukuh keupayaan BSMM dalam melaksanakan operasi kecemasan, termasuk melalui pembiayaan perolehan kelengkapan seperti unit ambulans terbaharu.

[Kiri] YTM Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), bersama [kanan] Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, turut serta dalam aktiviti penyediaan pek bantuan pemakanan bagi memastikan bekalan makanan dan minuman keperluan asas tersedia untuk disalurkan dengan segera kepada komuniti yang memerlukan apabila diperlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols, berkata kesiapsiagaan awal amat penting bagi memastikan bekalan makanan dan minuman dapat disediakan serta disalurkan dengan segera apabila komuniti berdepan ancaman banjir. Menurutnya, kerjasama erat dengan BSMM membolehkan persediaan tersebut diterjemahkan kepada tindakan kemanusiaan yang berkesan menerusi kepakaran dan rangkaian bantuan BSMM di lapangan.
Beliau turut menghargai komitmen kakitangan Nestlé Malaysia dan para sukarelawan yang bersama-sama menyediakan pek bantuan makanan berkhasiat untuk komuniti di seluruh negara. Usaha bersepadu itu mencerminkan kepentingan kerjasama antara sektor korporat dan organisasi kemanusiaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana.

[Dari kiri ketiga] YTM Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), dan [dari kanan ketiga] Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, bersama [dari kanan] Tengku Ida Adura Tengku Ismail, Pengarah Eksekutif, Undang-undang dan Kesetiausahaan Nestlé Malaysia, serta Raja Nurmaria Murni Raja Nur Azmi, Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestlé Malaysia dan Singapura, diiringi wakil BSMM, Dato’ Danial Iskandar bin Abdul Rahman, Setiausaha Agung BSMM, dan Lee Shy Jing, Pengerusi BSMM Negeri Sembilan, bagi menandakan sumbangan Nestlé Malaysia bernilai RM1.8 juta dalam bentuk produk dan sokongan kewangan untuk menjayakan keseluruhan inisiatif bantuan banjir sempena musim monsun 2026.
Sementara itu, Pengerusi Kebangsaan BSMM, YTM Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, berkata usaha menangani bencana banjir perlu bermula sebelum keadaan menjadi kritikal. Persediaan awal melalui penyediaan dan penempatan bekalan keperluan asas membolehkan bantuan kemanusiaan digerakkan dengan lebih pantas dan berkesan apabila diperlukan.
Beliau berkata kerjasama berterusan dengan Nestlé Malaysia memperkukuh tahap kesiapsiagaan menerusi gabungan komitmen sukarelawan dan rangkaian bantuan kemanusiaan BSMM. Penyediaan beg bantuan di Sabah pada tahun ini turut memperluas keupayaan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang terjejas di negeri berkenaan.

[Tengah] YTM Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), bersama [paling kiri] Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, dan [paling kanan] Tengku Ida Adura Tengku Ismail, Pengarah Eksekutif, Undang-undang dan Kesetiausahaan Nestlé Malaysia, bagi menandakan tahun keempat kerjasama antara kedua-dua pihak yang telah membantu lebih 30,000 keluarga terjejas akibat banjir sejak 2023.
Aktiviti pembungkusan bantuan di Kuala Lumpur menghimpunkan kakitangan Nestlé Malaysia, sukarelawan BSMM serta wakil Universiti Malaya, Universiti Malaya-Wales dan Yayasan Wakaf. Kotak bantuan yang disediakan mengandungi pelbagai produk makanan dan minuman keperluan asas Nestlé, termasuk MILO, MAGGI, NESCAFÉ, Bijirin Sarapan NESTLÉ Cereals, NESTUM, LACTOGROW dan EVERYDAY.
Inisiatif tersebut turut mendapat penglibatan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi di bawahnya sebagai rakan kerjasama dalam menyokong usaha bantuan banjir tahun ini. Selain itu, Nestlé Malaysia turut bekerjasama dengan Yayasan Food Bank Malaysia untuk menyediakan 800 pek bantuan makanan dan pemakanan kepada keluarga di kawasan pedalaman Tumpat dan Jeli, Kelantan, sebagai persiapan menghadapi musim monsun.
Keseluruhan usaha bantuan tahun ini melibatkan penyertaan 400 warga kerja, sekali gus memperlihatkan komitmen Nestlé Malaysia dalam menyokong kebajikan masyarakat melalui inisiatif Nestlé Sayang Komuniti. Kerjasama ini diharap dapat memastikan bantuan asas tersedia lebih awal dan membantu meringankan beban keluarga yang berdepan risiko bencana banjir.




Leave a Reply