MASDAR, CITAGLOBAL DAN TIZA GLOBAL MULAKAN PEMBANGUNAN PROJEK SOLAR TERAPUNG BERSKALA BESAR DI ASIA TENGGARA

Pahang, Malaysia, 29 Oktober 2026: Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar), peneraju tenaga bersih global, bersama Citaglobal Berhad dan TIZA Global Sdn. Bhd. secara rasmi memulakan pembinaan Projek Solar Fotovolta (PV) Terapung Empangan Chereh berkapasiti 200 megawatt (MW) menerusi majlis pecah tanah yang berlangsung di Pahang. Projek yang dibangunkan melalui syarikat usaha sama, Chereh Solar Sdn. Bhd. itu dijangka mula beroperasi pada 2028 dan bakal menjadi antara pembangunan solar terapung terbesar di Asia Tenggara.


(Dari kiri ke kanan): Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria, Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal Berhad serta TIZA Global Sdn. Bhd.; Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang; Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Sultan Pahang; Tuan Mohamed Jameel Al Ramahi, Ketua Pegawai Eksekutif Masdar; dan Encik Abdulla Zayed, Pengarah Eksekutif Masdar.

Projek berkenaan dijangka menghasilkan tenaga elektrik bersih yang mampu memenuhi keperluan kira-kira 100,000 kediaman, sekali gus menyumbang kepada usaha memperkukuh bekalan tenaga boleh baharu di Malaysia. Selain manfaat kepada sektor tenaga, pembangunan tersebut turut dijangka mewujudkan sekitar 1,500 peluang pekerjaan sepanjang fasa pembangunan dan pembinaan, sekali gus membuka ruang kepada penyertaan tenaga kerja serta industri tempatan dalam sektor tenaga bersih.

Majlis pecah tanah itu turut diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, bersama barisan kepimpinan kanan daripada syarikat rakan kongsi projek.

Kerjasama strategik ini menggabungkan kepakaran antarabangsa Masdar dalam pembangunan teknologi solar terapung, termasuk penglibatannya dalam projek solar terapung Cirata berkapasiti 145MW di Indonesia, dengan pengalaman Citaglobal dalam pembangunan infrastruktur dan tenaga. Pada masa sama, TIZA Global menyumbang kepakaran dalam pembangunan projek serta hubungan dengan pihak berkepentingan tempatan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa negeri Pahang komited menyokong inisiatif yang memacu pembangunan mampan serta memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat. Baginda turut menzahirkan harapan agar Projek Solar Terapung Chereh dapat memanfaatkan sumber semula jadi negeri secara bertanggungjawab, menyokong aspirasi tenaga boleh baharu negara dan membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat serta industri tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Masdar, Mohamed Jameel Al Ramahi berkata, Malaysia merupakan pasaran strategik bagi syarikat itu berikutan peningkatan permintaan elektrik, potensi besar tenaga boleh baharu serta pertumbuhan pelaburan dalam industri berteknologi tinggi dan infrastruktur digital. Menurut beliau, Projek Chereh menjadi projek pertama Masdar di Malaysia dan satu pencapaian penting dalam komitmen jangka panjang syarikat terhadap pasaran tempatan serta pengembangan perniagaannya di Asia Tenggara.

Beliau turut menjelaskan bahawa gabungan kepakaran global Masdar dalam teknologi solar terapung dengan kerjasama rakan strategik tempatan akan membantu menyokong aspirasi tenaga Malaysia, selain mewujudkan peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi baharu di Pahang.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal Berhad serta TIZA Global Sdn. Bhd., Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria berkata, permulaan pembinaan projek tersebut merupakan perkembangan penting dalam usaha Citaglobal memperluas portfolio penjanaan tenaga boleh baharunya. Beliau menegaskan bahawa tumpuan utama syarikat kini adalah memastikan projek disiapkan mengikut perancangan dan memulakan operasi berdasarkan perjanjian jualan tenaga elektrik jangka panjang yang telah dimeterai dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Dari aspek pembiayaan, Projek Chereh telah mencapai penutupan kewangan pada 27 Oktober dengan memperoleh pembiayaan kira-kira RM580 juta dalam mata wang ringgit daripada tiga institusi pemberi pinjaman antarabangsa. Struktur pembiayaan tersebut direka bagi menyelaraskan komitmen kewangan projek dengan aliran pendapatan masa hadapan, di samping menarik pelaburan antarabangsa ke dalam sektor tenaga boleh baharu Malaysia serta menggalakkan penglibatan jangka panjang pihak tempatan dalam aktiviti ekonomi berkaitan.

Sebelum ini, Chereh Solar telah memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan TNB pada Disember 2025. Menerusi perjanjian tersebut, tenaga elektrik yang dijana oleh projek berkenaan akan dibekalkan kepada TNB untuk tempoh 21 tahun bermula dari tarikh operasi komersial. Projek ini diperoleh menerusi proses tender kompetitif di bawah program Solar Berskala Besar (LSS) Pusingan 5+ Malaysia, dengan bidaan konsortium berkenaan menawarkan tarif terendah dalam kategori solar terapung.

Bagi Citaglobal, pelaburan dalam Chereh Solar memperluas penglibatannya dalam sektor penjanaan tenaga boleh baharu dan melengkapi portfolio perniagaan infrastruktur sedia ada. Projek ini turut menjadi komponen utama platform New Energy Kumpulan yang merangkumi pembangunan inisiatif tenaga solar, hidro dan Bio-CNG.

Bagi Masdar pula, projek tersebut merupakan langkah sulung syarikat di Malaysia dan sebahagian daripada pelan hala tuju pembangunan tenaga boleh baharu berkapasiti 10 gigawatt (GW) yang dipersetujui bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 2023. Selain projek di Pahang, Masdar turut menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi pembangunan solar terapung berskala besar di takungan Murum, Sarawak.

Sepanjang tempoh pembangunan, pembinaan dan operasi, semua rakan kongsi projek akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia, komuniti setempat serta pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan projek mengambil kira keperluan dan kepentingan tempatan. Perjanjian Tapak juga telah dimeterai bersama Pahang Water & Energy Resources bagi menyokong pembangunan kemudahan berkenaan.

Penggunaan takungan air sedia ada sebagai lokasi penjanaan tenaga solar turut menawarkan pendekatan lebih mampan kerana dapat mengurangkan keperluan penggunaan tanah bagi pembangunan loji solar. Inisiatif ini selari dengan sasaran Malaysia untuk meningkatkan bahagian tenaga boleh baharu kepada 35% daripada jumlah kapasiti penjanaan elektrik terpasang negara menjelang 2030, dengan teknologi solar terapung dijangka memainkan peranan penting dalam mempercepatkan peralihan tenaga bersih negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *