Alternate Records dan Universal Music Malaysia Lancar Era Baru Muzik Malaysia

Dua label bergabung untuk memasarkan muzik tempatan secara strategik! Kerjasama antara syarikat rakaman muzik tempatan Alternate Records dan syarikat rakaman antarabangsa Universal Music Malaysia dijangka merevolusi landskap muzik tempatan dan membuka peluang baharu bagi artis-artis tempatan untuk memperluaskan pengaruh muzik mereka di peringkat domestik, serantau, dan global.

Kerjasama ini menggabungkan pendekatan inovatif dan kreatif Alternate Records dalam penerbitan muzik dengan kepakaran Universal Music Malaysia yang terkenal dengan rangkaian artis ternama. Ini akan membawa perubahan baru dalam industri muzik tempatan dengan memenuhi cita rasa peminat muzik melalui gabungan kepakaran kedua-dua syarikat rakaman yang berbeza.

Menurut Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, kerjasama dengan syarikat rakaman tempatan yang berjaya seperti Alternate Records adalah penting untuk mencungkil bakat baru dan menghasilkan kepelbagaian genre muzik. Ini adalah langkah penting dalam mengembangkan industri muzik tanah air.

Kim Lim menyatakan, “Dengan menggabungkan kepakaran kedua-dua belah pihak, kami percaya kerjasama ini akan meningkatkan keupayaan kami dalam memahami selera tempatan dan mengukuhkan komitmen kami dalam menggalakkan inovasi dan kepelbagaian dalam industri muzik.”

Tambah beliau lagi, “Bagi kami, yang lebih penting adalah jika muzik benar-benar berhubung dengan pendengar dan sesuai dengan visi yang kita cuba bina bersama, tanpa mengira dari mana asal artis tersebut.”

Kim Lim menegaskan bahawa kerjasama ini tepat pada masanya, mengingat kejayaan Alternate Records & Talents dalam pasaran muzik masa kini. “Alternate Records & Talents telah berjaya mencungkil bakat dan menghasilkan artis, lagu, dan runut bunyi yang menonjol dalam pasaran. Pengumuman kerjasama ini hanyalah langkah pertama untuk mengembangkan lebih ramai bakat hebat dalam industri muzik Malaysia.”

Sebagai sebahagian daripada usaha ini, beberapa artis seperti Marsha Milan, Rahmad Mega, Puteri Khareeza, Sonaone, Ernie Zakri, Bella Astillah, dan Ezra Kairo telah dan akan memulakan projek kerjasama ini. Kim Lim menyatakan, “Ini adalah antara beberapa senarai artis yang telah dan akan bekerja rapat dengan Alternate Records. Kami sangat teruja untuk terus bekerjasama dengan mereka dalam lebih banyak projek yang akan datang.”

Puan Shahila Shah Harun, Pengurus Besar Kanan, Penerbitan Filem, Muzik, dan Kandungan Rancangan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, berkongsi keterujaannya mengenai kerjasama ini, “Kerjasama antara Alternate Records dan Universal Music adalah langkah strategik untuk meluaskan pengaruh artis tempatan. Dengan sokongan Universal Music, kami yakin dapat menghasilkan karya berkualiti tinggi yang mampu menembusi pasaran muzik.”

Tambah Puan Shahila Shah, “Alternate Records dan Universal Music mempunyai barisan artis berbakat dan kami akan memberi sokongan penuh dari segi promosi, produksi, dan pengedaran. Ini adalah permulaan era baharu dalam industri muzik Malaysia, membuka peluang kepada artis sedia ada dan bakat baru untuk menonjolkan potensi mereka. Usaha sama ini juga akan memfokuskan kepada pengeluaran muzik yang berani, segar, dan relevan dengan kehendak pasaran semasa.”

Dengan pengumuman ini, industri muzik Malaysia akan membuka lebih banyak peluang kepada pemain industri untuk membawa muzik Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Kolaborasi ini memberikan sinergi unik dan membolehkan kepelbagaian budaya dalam muzik Malaysia terus berkembang dan dikenali di peringkat domestik, serantau, dan global.

Industri muzik Malaysia semakin diminati dan dihormati di persada serantau dan antarabangsa, membuka lembaran baru untuk insan kreatif Malaysia melalui platform yang lebih berdaya maju serta berprestij.

 

CATEGORIES
TAGS
Share This