ALTERNATE RECORDS SDN. BHD. DAN LUNCAI EMAS SDN. BHD. JALIN KERJASAMA BUAT PERTAMA KALI

Alternative Records Sdn Bhd (“ARSB”) memulakan lembaran baharu dengan membentuk kerjasama dengan firma rakaman Luncai Emas Sdn Bhd, yang diasaskan oleh Dato’ Dr Mohd Nasir Bin Mohamed, juga dikenali sebagai Dato’ M. Nasir, pada 1 Mac , 2023. Bekerjasama dengan Dato’ M. Nasir, yang diiktiraf sebagai sifu dan veteran industri muzik, akan menawarkan lebih banyak pilihan untuk pemuzik di bawah naungan ARSB sambil turut memberikan pengalaman bekerja dengannya.

Berdasarkan sidang media yang telah berlangsung pada hari ini, Luncai Emas dan ARSB akan memanfaatkan kekuatan dan segala peluang yang dapat untuk mengetengahkan artis-artis ke pasaran muzik negara. Majlis pengumuman kolaborasi ini telah dihadiri oleh Dato’ Khairul Anwar Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, dan Dato’ M. Nasir, Pengarah Urusan Luncai Emas Sdn. Bhd. bersama Keon Omar, Pengarah Produksi Luncai Emas Sdn Bhd serta Prakesh Swaminathan, Pengurus Kanan ARSB.

Menurut Dato’ Khairul Anwar Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, “Dato’ M.Nasir merupakan seorang lagenda yang dikenali ramai dalam industri muzik negara. Pengalaman beliau sangat besar dan berharga. Kami berharap beliau dapat memberi tunjuk ajar kepada barisan artis baharu kami dari segi penghasilan lagu serta mengasah bakat nyanyian mereka supaya kita dapat melahirkan lebih ramai artis yang berpotensi dan versatil. Kolaborasi antara ARSB dan Luncai Emas ini diharap dapat merancakkan dan mewarnakan lagi industri muzik negara dengan kepelbagaian idea dan karya muzik yang kreatif. Lagu-lagu hasil daripada kerjasama ini akan kita tampilkan kepada orang ramai menerusi semua platform digital, saluran media, radio, televisyen dan media sosial.”

Sementara itu, menurut Dato’ M. Nasir, kolaborasi seperti ini memang dinanti-nantikan kerana beliau ingin berkongsi pengalaman yang ada bersama penyanyi dan pencinta muzik. “Kerjasama ini merupakan ‘win-win situation’ dan secara tidak langsung memberi peluang kepada barisan penyanyi baharu dan lama daripada ARSB untuk menyanyikan lagu yang saya cipta. Luncai Emas Sdn Bhd bercadang untuk menerbitkan 10 buah lagu dalam tempoh kolaborasi ini. Saya amat berterima kasih dengan ARSB di bawah naungan Rangkaian Televisyen Media Prima di atas sokongan dan kepercayaan mereka kepada saya. Saya berharap lagu-lagu yang dihasilkan menerusi Luncai Emas ini dapat dipilih untuk lagu-lagu OST atau lagu runut kepada drama-drama hebat di TV3 mahupun filem-filem yang bakal disiarkan oleh syarikat media gergasi ini. Semoga hasil daripada kolaborasi ini akan menaikkan lagi kualiti muzik tanah air kita.”

Barisan artis ARSB yang terlibat dalam kolaborasi ini antaranya ialah Puteri Khareeza, Hariz Fayahet, Marsha, Hazama, Voice In Public, Shaz TJ dan Aqmal TJ. Kerjasama ini bakal menampilkan 10 buah lagu yang akan dihasilkan oleh Dato’ M. Nasir.  Dato’ M. Nasir telah bersetuju untuk menghasilkan tiga buah lagu single yang akan dinyanyikan oleh beliau sendiri dan tujuh lagi lagu bakal dihasilkan untuk artis-artis yang dilahirkan dari program-program popular TV3 seperti Lagu Cinta Kita dan Terpaling Juara.

Nantikan lagu-lagu yang bakal ditampilkan oleh ARSB bersama Luncai Emas Sdn Bhd. Untuk maklumat yang lebih lanjut tentang ARSB, lawati YouTube rasmi di Alternate Records & Talents dan Instagram @alternate.my_

CATEGORIES
Share This