Bank Rakyat rai 17 pemenang, hadiah lebih RM1.3 juta
Bank Rakyat baru-baru ini mengadakan majlis gemilang di Menara Kembar Bank Rakyat untuk meraikan 17 pemenang utama daripada pelbagai kempen yang dianjurkan sejak penghujung tahun 2023 hingga Jun 2024. Antara kempen tersebut ialah ‘Tulus Ikhlas, Penuhi Impian, Cabutan Setengah Tahun Akaun Pelaburan-I Rizq Plus,’ dan juga kempen menarik yang menawarkan Emas 2 kilo sebagai hadiah utama. Majlis ini menjadi bukti komitmen Bank Rakyat untuk merealisasikan impian dan memberikan ganjaran kepada para pelanggannya.
Bank Rakyat kini sedang melancarkan empat kempen yang sangat menarik, di mana hadiah keseluruhan yang ditawarkan melebihi RM1.3 juta! Sebanyak 415 pemenang bertuah bakal menerima hadiah-hadiah yang meliputi pelbagai jenis produk dan perkhidmatan. Ini adalah peluang hebat untuk pelanggan setia Bank Rakyat menikmati ganjaran yang amat lumayan sebagai pengiktirafan atas sokongan mereka. Jadi, pastikan anda turut serta dalam kempen ini dan mungkin anda adalah salah seorang daripada pemenang bertuah yang akan membawa pulang hadiah-hadiah menarik tersebut!
“Sejak tujuh dekad yang lalu, Bank Rakyat sentiasa komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengukuhkan jalinan antara Bank dengan pelanggan menerusi nilai tambah baharu serta ganjaran istimewa menerusi kempen yang dianjuakan khusus buat pelanggan,” ujar Dato’ Dr, Mohammad Hanis.
Tambah beliau, inisiatif ini juga adalah bagi menghargai kesetiaan pelanggan yang terus menyokong produk dan perkhidmatan Bank Rakyat saban tahun.
Sempena sambutan Ramadan dan Syawal yang lalu, Bank Rakyat menganjurkan kempen Tulus Ikhlas bermula 12 Mac hingga 31 Mei 2024 yang mana pelanggan berpeluang memenangi pelbagai hadiah lumayan dengan hadiah keseluruhan berjumlah lebih RM400,000.
Pemenang tempat pertama kempen Tulus Ikhlas, Puan Siti Sarah Sayip, berasal dari Yong Peng, Johor membawa pulang Proton X90, manakala tempat kedua dimenangi oleh Encik Che Shariful Huzir Che Saari dari Kuantan, Pahang yang memenangi Proton X70 dan Encik Muhammad Farid Farhan Fazlee dari Kangsar, Perlis pula memenangi Proton X50.
Di samping itu, bertepatan dengan aspirasi ‘Keluarga Madani’ Bank Rakyat menganjurkan kempen Penuhi Impian untuk membantu mencapai impian peribadi pelanggan. Kempen ini melambangkan komitmen Bank Rakyat sebagai institusi perbankan yang sentiasa mengutamakan pelanggan yang memerlukan dan memainkan peranan dalam mencapai impian pelanggan.
Dianjurkan bermula 15 Disember tahun lalu, hingga 29 Februari 2024, kempen ini memenuhi hasrat 10 orang pelanggan dengan jumlah kos keseluruhan sebanyak RM177,000. Antara impian pelanggan yang direalisasikan termasuklah mengubah suai kediaman serta ruang dapur rumah, membiayai pakej perkahwinan idaman, menambah baik ruang kedai, perusahaan lading ternakan, tanaman dan banyak lagi.
Pada hari ini juga Bank mengumumkan pemenang bagi Cabutan Setengah Tahun Akaun Pelaburan-I Rizq Plus yang mana hadiah utama bernilai sebanyak RM100,000 yang dimenangi oleh Encik Anuar Abdul Ghani dari Kuantan, Pahang. Sejak produk pelaburan ini mula diperkenalkan pada Julai 2022, seramai 2,961 pemenang telah terpilih merangkumi empat pemenang bagi hadiah berjumlah RM100,000 dan seorang pemenang RM1 juta.
Selain itu, kempen Emas 2 kilo turut dianjurkan bermula Oktober tahun lalu hingga Februari 2024 sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang sentiasa menyokong perniagaan Ar-rahnu, sekali gus menggalakkan lebih ramai pelanggan menggunakan khidmat Pajak Gadai-i Ar-Rahnu.
Kempen berkonsepkan ‘Gadai dan Menang’ ini yang telah pun memasuki tahun keenam sejak ia dilancarkan pada tahun 2018, menawarkan hadiah keseluruhan berupa dua kilogram emas berjumlah RM637,000 kepada lebih 270 orang pemenang. Hadiah utama yang merupakan 500 gram emas bernilai RM150,000 dimenangi oleh Puan Faridah Matt dari Pokok Sena, Kedah.
Tempat kedua pula dimenangi oleh Encik Mohd Suhairy Abd Rahman dari Ampang, Selangor yang memenangi hadiah berupa 100 gram emas bernilai RM35,000. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Puan Aminah Alias dari Langkawi, Kedah yang menerima hadiah berupa 50 gram emas bernilai RM20,000.
Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, tatkala Bank menghampiri ulang tahunnya yang ke-70 pada 28 September 2024 yang bakal tiba tidak lama lagi, Bank Rakyat sentiasa komited untuk terus berada di barisan hadapan dalam menyediakan perkhidmatan perbankan yang cemerlang serta penyelesaian kewangan yang inovatif.
“Komitmen Bank terhadap transformasi dan kecemerlangan dapat dilihat melalui pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Daripada produk pembiayaan kepada simpanan dan pelaburan, serta produk perancangan kewangan yang komprehensif, kami berusaha untuk memenuhi keperluan dan aspirasi pelbagai spectrum pelanggan kami,” ujar beliau.
Tambah Datuk Mohd Irwan, “Bank Rakyat juga sentiasa berinovasi untuk memastikan tawaran kami kekal relevan dan bermanfaat untuk anda, pelanggan yang amat kami hargai. Perkhidmatan perbankan kami direka khusus untuk memberikan kemudahan dan kecekapan, memastikan keperluan perbankan harian anda dipenuhi dengan pantas dan mudah.”
Pelanggan boleh merujuk laman sesawang rasmi Bank Rakyat menerusi www.bankrakyat.com.my untuk senarai penuh pemenang.