Bella Astillah, Ezaidi Aziz, dan Eyka Farhana Memikat Penonton dalam ‘Satu Hari Nanti’ di iQIYI

bella

iQIYI, aplikasi penstriman popular Asia, kini mempersembahkan drama bersiri terbaharu, ‘Satu Hari Nanti’, yang bakal menemui penonton mulai 18 September 2024.

Dibintangi oleh pelakon muda berbakat tanah air seperti Ezaidi Aziz, Eyka Farhana, dan Bella Astillah, serta diarahkan oleh Pali Yahya, drama ini mengisahkan tentang cinta, penghijrahan, dan keikhlasan dalam sebuah hubungan.

Ditaja oleh jenama kecantikan terkenal Nivea dan jenama telefon Honor, drama ini menjanjikan sebuah kisah yang menyentuh hati serta memberikan pengajaran hidup.

Drama ini berkisarkan watak Noah Lee (lakonan Ezaidi Aziz), seorang pemuda mualaf berbangsa Cina yang berhadapan dengan kekecewaan dalam cinta.

Terdesak mencari arah baru, Noah mula terlibat dalam kerja-kerja kebajikan, di mana dia bertemu dengan Marissa Safiyyah (lakonan Eyka Farhana), seorang gadis Muslim yang lantang memperjuangkan hak-hak wanita.

Pertemuan mereka membawa perubahan dalam hidup Noah, namun persoalan mula timbul apabila watak Aulia Jane (lakonan Bella Astillah) muncul, mencabar keutuhan hubungan tersebut. Kisah cinta berlainan agama ini membawakan konflik yang mendalam—apakah cinta mereka mampu bertahan?

Dalam wawancara bersama media, Ezaidi Aziz berkongsi mengenai cabaran memegang watak Noah Lee, seorang mualaf yang berhadapan dengan pelbagai dilema dalam hidupnya.

Menurut Ezaidi, watak ini memerlukan penghayatan mendalam kerana ia menuntut penonton melihat lebih dari sudut pandang agama dan bangsa. ”

Watak Noah mengajar kita agar tidak cepat menghakimi orang lain berdasarkan luaran, tetapi lebih kepada memberi peluang kepada setiap individu untuk menunjukkan sisi sebenar mereka,” ujar Ezaidi.

Bagi Eyka Farhana, penggambaran di Mekah dan Madinah menjadi pengalaman paling bermakna sepanjang kariernya.

“Bukan sahaja watak saya sebagai Marissa memerlukan keberanian dan ketabahan, tetapi peluang untuk menjalani penggambaran di Tanah Suci memberikan saya pengalaman rohani yang sukar dilupakan,” katanya. Eyka juga menambah bahawa drama ini memberikan satu perspektif baharu tentang kepentingan perjuangan wanita dalam masyarakat.

Bella Astillah, yang memainkan watak Aulia Jane, turut berkongsi bahawa wataknya dalam drama ini mencerminkan banyak situasi kehidupan peribadinya.

“Aulia bukan hanya tentang cinta, tetapi tentang keikhlasan dalam memberi dan menerima dalam hubungan,” katanya.

Bella juga menekankan bahawa cinta sejati harus datang dari kedua-dua pihak dan bukan hanya satu belah pihak sahaja. Pengalaman berada di Mekah dan Madinah memberi ruang untuk Bella ‘healing’ dan memperkukuhkan lagi penghayatannya terhadap watak Aulia.

Pengarah drama, Pali Yahya, menjelaskan bahawa pemilihan pelakon adalah kunci utama dalam memastikan kisah ini dihidupkan dengan sempurna.

“Saya bersama penerbit dan pihak iQIYI banyak berbincang mengenai barisan pelakon, dan saya gembira kerana gabungan Ezaidi, Eyka, dan Bella berjaya membawa watak masing-masing dengan begitu baik,” kata Pali.

Beliau juga menyatakan bahawa drama ini menyampaikan mesej penting mengenai pengorbanan, kesabaran, dan cinta kepada Tuhan serta manusia. Inspirasi dari novel asal drama ini memberikan naratif yang kaya dengan emosi dan pelajaran hidup.

Menurut Jony Deng, Pengurus Besar iQIYI Malaysia & Singapura, drama Satu Hari Nanti’ dijangka mendapat sambutan yang menggalakkan kerana ia menyentuh pelbagai isu kehidupan yang relevan.

“Dengan tema cinta, agama, dan kepercayaan, kami percaya drama ini mampu mencuit hati penonton serta memberikan pengajaran yang berguna,” jelas Jony.

Drama ini juga merupakan satu lagi langkah iQIYI dalam menyediakan kandungan berkualiti kepada pengguna mereka.

Jangan ketinggalan untuk menonton ‘Satu Hari Nanti’ yang akan disiarkan secara eksklusif di iQIYI pada 18 September 2024.

Muat turun aplikasi iQIYI sekarang di App Store atau Play Store, cari ‘Satu Hari Nanti’, dan klik ‘Pesan’ untuk menerima peringatan awal. Saksikan kisah cinta suci dan penghijrahan dalam drama ini yang pasti akan meninggalkan kesan mendalam di hati penonton.

CATEGORIES
TAGS
Share This