Bersempena dengan ulang tahun ke-21 majlis tersebut, SSM mengeluarkan Portal SSM4U Versi 2.0.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melancarkan SSM4U versi 2.0 dalam talian, penambahbaikan berbanding versi awal portal SSM4U yang dibuat dengan pengetahuan dalaman SSM.

Portal SSM4U version 2.0 merupakan portal khas yang lebih interaktif dan mesra pelanggan dengan akses setempat kepada semua perkhidmatan dalam talian SSM.

Portal SSM4U version 2.0 yang akan mula beroperasi pada 17 April 2023, dilancarkan oleh YB Senator Puan Hajah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semasa Majlis sambutan ulang tahun SSM ke-21 yang membawa tema ‘Semarak Daya Niaga’.

Dalam ucapan perasmiannya, Puan Hajah Fuziah berkata SSM telah mencatatkan pelbagai transformasi dalam 21 tahun sejak penubuhannya, terutamanya dari segi penyampaian perkhidmatan daripada manual ke digital dengan memperkenalkan portal-portal dalam talian seperti EzBiz Online, MyCoID, MyLLP dan MBRS yang memanfaatkan keupayaan digital dalam menjadi sebuah agensi pengawal selia yang dipercayai sekaligus mendorong pertumbuhan positif sektor korporat di Malaysia.

“SSM telah berjaya mentransformasikan bukan saja proses pendigitalan bagi mendaftarkan pelbagai entiti perniagaan, malah telah berjaya mengurangkan tempoh masa diambil bagi memulakan perniagaan dan perbadanan syarikat di Malaysia melalui sistem berasaskan teknologi digital yang canggih, moden dan mesra pengguna,” katanya.

Tambah beliau, sehingga 31 Mac 2023, sebanyak 8,890,348 perniagaan, 1,495,048 syarikat dan 34,757 Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) telah berjaya didaftarkan dengan SSM.

Dalam majlis yang sama, SSM juag menyantuni golongan yang kurang bernasib baik dengan menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Korporat dan Tanggungjawab Sosial Korporat berjumlah RM57,000 kepada lebih 15 penerima terdiri daripada rumah kebajikan, usahawan asnaf serta B40.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Tuan Ahmad Sabki Yusof, Pengerusi SSM, Anggota-Anggota Suruhanjaya dan Datuk Nor Azimah binti Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel kepada enquiry@ssm.com.my.

CATEGORIES
2.7k
Whatsapp40.8k