Bunga Citra Lestari dan Gea Kembali Bersinar di Konsert FARMASI Soundzation

Bunga Citra Lestari dan Gea Kembali Bersinar di Konsert FARMASI Soundzation

Bunga Citra Lestari (BCL), penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia, bakal kembali memeriahkan industri muzik dengan sebuah konsert ikonik yang bakal mencatat sejarah. Konsert FARMASI Soundzation yang bakal berlangsung pada 30 November di Megastar Arena ini, menjanjikan sebuah pengalaman yang luar biasa kepada audiens dengan gandingan unik antara seni muzik dan kecantikan. Konsert ini bukan sahaja menampilkan BCL, yang terkenal dengan lagu Cinta Sejati, tetapi juga penyanyi berbakat Ghea Indrawari, yang mencuri perhatian tahun lalu dengan single Jiwa Yang Bersedih, serta pengacara dan penyanyi popular tanah air, Elly Mazlein.

Menurut Pengarah Projek dan Konsert, Ellie G, FARMASI Soundzation bertujuan untuk menggabungkan elemen muzik dan kecantikan dalam satu persembahan yang memberi impak mendalam kepada audiens. Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga membawa mesej pemerkasaan wanita, sesuai dengan prinsip yang dipegang oleh FARMASI sebagai jenama kosmetik antarabangsa yang memperkasakan kecantikan luaran dan dalaman. “BCL dipilih bukan sahaja kerana popularitinya, tetapi kerana pesonanya yang mencerminkan kebangkitan wanita. Ghea juga merupakan contoh kejayaan pada usia muda, manakala Elly Mazlein yang serba boleh menjanjikan persembahan yang lebih hidup dan menghiburkan,” ujar Ellie.

Konsert yang dijangka berlangsung hampir tiga jam ini akan dipenuhi dengan lagu-lagu hits dari BCL dan Ghea, diserikan dengan pengacaraan dan nyanyian oleh Elly. Menariknya, selain daripada menikmati konsert yang penuh dengan hiburan, para penonton juga berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa sebuah kereta Bezza. Tidak hanya itu, setiap pemegang tiket juga akan menerima hadiah berupa produk kecantikan berkualiti dari FARMASI, memberikan lebih nilai kepada pengalaman menonton konsert ini.

Konsert ini dianjurkan oleh INT X Group dan diperindahkan oleh FARMASI, peneraju jenama kosmetik halal yang berpengkalan di Turkiye. FARMASI juga merupakan penaja utama acara ini. Konsert FARMASI Soundzation turut mendapat sentuhan dari pengarah konsert dan muzik, Man Kidal, yang akan memastikan setiap aspek muzik dan persembahan berjalan lancar. Sementara itu, Jerry Hend bertindak sebagai Pengarah Kreatif untuk memastikan setiap elemen visual dan persembahan konsert memenuhi piawaian tertinggi. Urusan promosi dilakukan oleh Mewah Event Management, manakala pengurusan tiket dikendalikan oleh iLasso Tickets.

Presiden FARMASI, Emre Tuna, meluahkan rasa teruja melihat jenama keluarganya yang telah bertapak selama 75 tahun, kini meluaskan pengaruhnya ke Malaysia, sebagai langkah pertama di Asia. “Malaysia adalah pasaran Asia pertama kami, dan kami yakin jenama FARMASI akan diterima dengan baik di sini. Kami telah meluaskan pasaran kami ke 38 negara di lima benua, dan kini Malaysia menjadi destinasi penting dalam perancangan kami di Asia,” kata Emre.

Dalam pada itu, Pengerusi Projek, Datuk Safizan Ikhzani, menyifatkan konsert ini sebagai satu langkah penting dalam mengintegrasikan industri hiburan dan kecantikan, yang bukan sahaja memberi manfaat kepada ekonomi negara, tetapi juga membuka peluang pelaburan asing. “Pemilihan Malaysia sebagai pintu masuk jenama antarabangsa FARMASI menunjukkan betapa pentingnya negara ini sebagai pasaran yang berpotensi. Gandingan bintang seperti BCL, Ghea dan Elly adalah bukti bahawa konsert ini dapat merangkul audiens dari pelbagai lapisan,” ujar beliau.

Tiket untuk konsert ini dijual dengan harga yang berbeza, iaitu RM288 untuk Silver, RM488 untuk Gold, RM688 untuk Platinum, RM888 untuk Diamond, dan RM1,088 untuk VIP. Tiket boleh didapati secara dalam talian di www.ilassotickets.com. Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai konsert ini, maklumat terkini boleh didapati di platform media sosial Soundzation Official.

CATEGORIES
TAGS
Share This