Category: Drama

  • ‘Dia Bukan Syurga’ – Adaptasi Novel Tentang Cinta Toksik dan Kuasa Wanita

    ‘Dia Bukan Syurga’ – Adaptasi Novel Tentang Cinta Toksik dan Kuasa Wanita

    Astro meneruskan komitmennya sebagai peneraju hiburan tempatan dengan mempersembahkan sebuah lagi drama yang penuh emosi dan sarat mesej sosial, Dia Bukan Syurga. Menyingkap sisi gelap sebuah perkahwinan yang kelihatan sempurna di luar, drama ini menyentuh isu hubungan toksik yang sering tersembunyi di balik nama cinta dan kesetiaan.

    Disiarkan bermula 19 Mei 2025 di Astro Ria (saluran 104), setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam, Dia Bukan Syurga membawa kisah Nuha—seorang wanita penyayang yang cuba mempertahankan rumah tangga yang dibinanya dengan harapan dan kasih, namun akhirnya terpaksa memilih antara derita dan kebebasan. Watak Nuha dibawakan oleh Ezzany Jasny, bergandingan bersama Niezam Zaidi sebagai Tajul, suami yang berubah menjadi pendera, dan Nazim Othman sebagai Arham, satu-satunya insan yang hadir sebagai sinar harapan dalam hidup Nuha.

    Karya ini merupakan adaptasi daripada novel tulisan Rissa Ahdiya, pemenang anugerah dan penulis di sebalik fenomena Andai Tiada Dia. Dengan 32 episod yang diarahkan oleh Rashid Sibir dan diterbitkan oleh Radius One Sdn Bhd, naskhah ini tidak sekadar hiburan tetapi juga cerminan kepada dilema sebenar yang dialami oleh ramai wanita dalam perkahwinan yang bermasalah.

    Selain mempersembahkan jalan cerita yang menyayat hati, Dia Bukan Syurga turut memperdengarkan runut bunyi istimewa berjudul “Dalam Sujudku” nyanyian Amira Othman yang membangkitkan lagi emosi penonton. Drama ini menyentuh persoalan besar—adakah cinta sahaja cukup untuk menjamin kebahagiaan, atau adakah pemilihan pasangan hidup yang bijak lebih utama dalam mengelakkan penderitaan?

    Menurut Norzeha Mohd Salleh, Ketua Saluran Astro Ria, drama ini hadir tepat pada waktunya sebagai wadah untuk mengetengahkan isu keganasan rumah tangga secara empati dan realistik. “Kami percaya drama ini mampu menyentuh hati penonton kerana mesejnya yang dekat dengan realiti. Ia mengajak penonton untuk berfikir dan menilai makna sebenar cinta, hormat dan harga diri.”

    Dia Bukan Syurga tersedia juga secara On Demand menerusi Astro GO dan sooka. Untuk penstriman yang lebih lancar, pelanggan boleh melanggan Pek Astro One atau menaik taraf ke pelan Astro Fibre bagi pengalaman hiburan seisi keluarga yang lebih memuaskan.

  • Cinta yang Tercemar: Ikmal Amry Tergugat oleh Kecurigaan Isteri Curang

    Cinta yang Tercemar: Ikmal Amry Tergugat oleh Kecurigaan Isteri Curang

    Drama terbaru di slot Akasia, Bukan Ipar Sempurna, membawa penonton ke dalam dunia penuh dengan konflik perasaan, rahsia, dan perjuangan dalam ikatan perkahwinan. Diarahkan oleh Ejump Mohd dan diterbitkan oleh MIG Production Sdn. Bhd, drama yang sarat dengan emosi ini mengangkat tema pengkhianatan dalam keluarga dan bagaimana setiap keputusan mengubah nasib kehidupan. Berdasarkan novel karya Bellesa, drama 28 episod ini memberikan penceritaan yang mendalam tentang cabaran hidup yang dihadapi oleh pasangan suami isteri.

    Kisah bermula dengan keputusan drastik Firash (Ikmal Amry) yang membatalkan pertunangannya dengan Zara (Jihaa Sham) demi membina kehidupan baru dengan Nadhia. Meskipun hubungan mereka tidak direstui oleh ibunya, Puan Farida (Fazlina Ahmad Daud), Firash tetap nekad memilih Nadhia. Keberanian Firash didukung oleh sokongan kakaknya, Atma (Nadiya Nisaa), yang menerima Nadhia sebagai sebahagian daripada keluarga mereka. Namun, kebahagiaan yang dicipta ternyata tidak bertahan lama apabila satu rahsia besar muncul ke permukaan.

    Nadhia disahkan mengandung, tetapi usia kandungannya ternyata tidak sesuai dengan tempoh perkahwinan mereka. Ketika kebenaran mula terbongkar, Firash berdepan dengan dilema besar tentang siapa yang sebenarnya bertanggungjawab atas kandungan itu. Saat-saat penuh ketegangan mula tercetus apabila bekas kekasih Nadhia, Zahin (Hafeez Mikail), kembali mengganggu kehidupan mereka. Zahin yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan Nadhia kini menjadi ancaman besar dalam perkahwinannya dengan Firash.

    Konflik semakin meruncing apabila Atma, yang seharusnya menyokong kakaknya, memilih untuk berpihak kepada Zahin, malah turut merancang untuk memisahkan pasangan suami isteri ini. Fitnah yang dilemparkan oleh Atma terhadap Nadhia semakin menambah kebingungannya, dan Firash yang terperangkap dalam emosi marah mula meragui kesetiaan isterinya. Drama ini dengan cermat menggambarkan betapa mudahnya kepercayaan yang terjalin di antara pasangan boleh retak hanya dengan satu kebohongan atau rahsia yang tersembunyi.

    Bukan Ipar Sempurna tidak hanya membentangkan drama keluarga semata-mata, tetapi juga memberikan gambaran realistik tentang betapa beratnya beban yang harus ditanggung oleh mereka yang berada dalam situasi penuh emosi dan trauma. Bolehkan Nadhia bertahan dengan segala cabaran dan memulihkan keharmonian dalam rumah tangga yang semakin retak? Mampukah Firash mengatasi dendam dan kekeliruan yang melanda dirinya?

    Jangan ketinggalan untuk menonton Bukan Ipar Sempurna yang penuh dengan kejutan dan emosi ini. Saksikan setiap episodnya bermula 13 Mei 2025, setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 7.00 malam di slot Akasia, atau strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my dan aplikasi Tonton. Dapatkan juga maklumat terkini melalui media sosial TV3 dan Drama Sangat.

  • Siapa Bersalah? Jawapannya Esok dalam Penamat Keluarga Itu!

    Siapa Bersalah? Jawapannya Esok dalam Penamat Keluarga Itu!

    Kejutan demi kejutan bakal menghiasi malam penentu drama fenomena, Keluarga Itu, yang akan melabuhkan tirainya pada 9 Mei 2025. Episod akhir ini dijangka menyatukan segala konflik, persoalan dan rahsia yang telah menggoncang emosi penonton sejak tayangan sulungnya. Dengan jangkaan tontonan melebihi 4 juta orang, tidak keterlaluan jika dikatakan drama ini menjadi antara karya tempatan paling berpengaruh sepanjang tahun.

    Sepanjang siarannya, Keluarga Itu berjaya mencetus perbualan hangat dalam kalangan peminat di media sosial. Setiap perkembangan plot mengundang pelbagai teori, perdebatan tentang watak dan emosi bercampur-baur yang menyentuh hati. Keupayaan jalan ceritanya mengekalkan elemen misteri dan drama menjadikan penonton setia menanti setiap episod tanpa gagal.

    Kini, teka-teki terbesar menghantui peminat: siapakah pembunuh sebenar Jihad? Pilihan suspek semakin kabur – Mhia yang kelihatan tertekan, Aman yang hilang arah, Boy dengan dendam membara, atau Iman yang wajah tenangnya menyembunyikan rahsia kelam? Setiap satu membawa kemungkinan yang mencengkam.

    Konflik antara Cempaka dan Iman juga mencapai kemuncak apabila kebenaran tentang perlakuan jijik terhadap Dhini terbongkar. Dalam suasana rumah tangga yang semakin runtuh, Cempaka dihadapkan dengan dilema besar – apakah dia harus terus menuntut keadilan atau terperangkap dalam perasaan simpati terhadap suaminya yang dahulu disanjung? Pendedahan demi pendedahan menjadikan episod ini sarat dengan ketegangan emosi yang bakal meninggalkan kesan mendalam.

    Watak-watak utama dijangka mencipta momen dramatik yang akan diingati penonton lama selepas tamatnya drama ini. Lebih menarik, pelbagai teori yang berlegar di media sosial menjadikan penamat drama ini antara yang paling dinanti dalam sejarah slot drama TV3.

    Pastikan anda tidak terlepas menyaksikan detik terakhir Keluarga Itu pada jam 9.00 malam, 9 Mei 2025 hanya di TV3. Ikuti perkembangan lanjut dan sorotan eksklusif di platform media sosial rasmi TV3 Malaysia dan Drama Sangat di Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube.

  • Penuh Luka dan Air Mata, Aku Bukan Ustazah 2 Sedia Ganti Slot ‘Keluarga Itu

    Penuh Luka dan Air Mata, Aku Bukan Ustazah 2 Sedia Ganti Slot ‘Keluarga Itu

    Menyusul kejayaan musim terdahulu, Aku Bukan Ustazah 2 hadir dengan naratif yang lebih menyayat hati dan sarat emosi. Mengangkat tema kasih sayang, pengorbanan dan dendam yang terpendam, drama 35 episod ini menyatukan kembali watak-watak utama yang pernah mengundang simpati dan perhatian penonton — Aminah, Adam, dan Omar.

    Disiarkan bermula 10 Mei 2025, setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9.00 malam di TV3, musim baharu ini mengupas lebih dalam tentang pergolakan batin dan cabaran kehidupan yang melanda watak utama. Aminah, lakonan mantap Erysha Emyra, kini berdepan ujian terhebat dalam hidupnya — bukan sahaja sebagai isteri dan ibu, tetapi juga sebagai wanita yang cuba bertahan di tengah tekanan mental dan trauma masa lalu.

    Dengan sentuhan pengarah tersohor Idora Abdul Rahman dan diterbitkan oleh Global Station Sdn Bhd, siri ini menjanjikan pengalaman tontonan yang lebih mendalam dan emosional. Penonton bakal menyaksikan bagaimana konflik lama mula timbul semula apabila Omar (Zahiril Adzim) muncul kembali dalam hidup Aminah dan Adam (MK K-Clique), mencetuskan semula luka yang belum sembuh.

    Dalam episod pembukaan, kebahagiaan Aminah bersama Adam dan anak mereka, Raykal, tampak sempurna menjelang kelahiran anak kedua. Namun kemunculan semula Omar mencabar kestabilan mereka, membuatkan Aminah kembali bergelut dengan trauma lama. Di tengah kelelahan mental yang kian meruncing, Dr. Syafiq (Nabil Aqil) muncul sebagai individu yang mungkin mampu membawa Aminah keluar dari kegelapan.

    Menurut Erysha, peranannya kali ini menuntut lebih banyak kekuatan emosi. “Banyak babak memerlukan saya menangis atau benar-benar menyelami penderitaan Aminah. Ia bukan mudah, tapi saya harap penonton dapat rasa keikhlasan itu,” katanya.

    Barisan pelakon yang turut kembali termasuk Shaza Bae dan Haneesya Hanee, menyemarakkan lagi nadi penceritaan dengan watak-watak yang mempunyai dimensi tersendiri.

    Bagi mereka yang ingin menonton lebih awal, episod baharu boleh distrim 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau menerusi aplikasi Tonton di Google Play dan App Store. Ikuti juga perkembangan terkini drama ini melalui semua platform sosial TV3 (@TV3Malaysia) dan Instagram rasmi @dramasangat.

  • Penuh Emosi! Aksi Puteri Balqis & Amir Ahnaf Buat Penonton Menangis Dalam ‘Keluarga Itu’

    Penuh Emosi! Aksi Puteri Balqis & Amir Ahnaf Buat Penonton Menangis Dalam ‘Keluarga Itu’

    Drama TV3, Keluarga Itu, kini hangat diperkatakan selepas satu babak menyayat hati daripada episod terbarunya menjadi tular di TikTok. Klip video yang meraih jutaan tontonan itu memperlihatkan dua watak utama, Dhamiah dan Aman, dalam keadaan emosi yang amat meruntun jiwa apabila menemui mayat bayi yang dipercayai anak mereka, Jihad, yang sebelum ini dilaporkan hilang.

    Dalam babak penuh mendalam tersebut, penonton disajikan dengan luahan emosi yang cukup intens. Dhamiah, dilakonkan dengan penuh penghayatan oleh Puteri Balqis, kelihatan hilang kawalan sambil menjerit dan meraung, manakala Amir Ahnaf yang membawa watak Aman pula rebah tidak sedarkan diri akibat terlalu terkejut. Lakonan kedua-dua pelakon muda ini bukan sahaja meninggalkan impak besar, malah turut menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

    Pengguna TikTok membanjiri ruangan komen dengan pujian, kekaguman, dan teori konspirasi tentang punca sebenar kematian bayi Jihad. Ramai yang mengakui bahawa adegan tersebut membuatkan mereka menitiskan air mata, malah menyifatkannya sebagai antara momen paling ‘real’ dalam dunia drama Melayu masa kini. Komen seperti “Macam kena hempap batu rasa tengok scene ni,” dan “Luluh hati tengok Aqish menangis,” menjadi bukti kuat bahawa lakonan dua bintang muda itu benar-benar menusuk perasaan.

    Bukan itu sahaja, persembahan mantap Puteri Balqis dan Amir Ahnaf juga membuka perbualan tentang potensi mereka meraih pencalonan atau anugerah lakonan terbaik. Penonton seolah-olah sepakat bahawa bakat mereka berdua semakin menyerlah dan layak diberi lebih banyak pengiktirafan dalam industri.

    Selain mereka, drama ini turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, Muaz Zabir, Melissa Campbell, dan Izara Aishah. Keseluruhan naratif dan mutu produksi menjadikan Keluarga Itu antara karya yang memberi impak besar dalam musim tayangan kali ini.

    Jangan ketinggalan untuk menyaksikan episod terakhir drama ini pada 9 Mei, Jumaat, jam 9.00 malam di TV3. Untuk tontonan awal, anda juga boleh menstrimnya 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store.

    Ikuti juga perkembangan drama-drama TV3 di platform media sosial rasmi @TV3Malaysia dan @dramasangat untuk info terkini serta sorotan eksklusif sepanjang tayangan!

  • “Kolaborasi Unik: 3 Pelakon Buka Kedai Kopi, Macam Mana Ceritanya?”

    “Kolaborasi Unik: 3 Pelakon Buka Kedai Kopi, Macam Mana Ceritanya?”

    Dalam kesibukan mempromosikan karya seni mereka, tiga pelakon terkenal, Shukri Yahaya, Siti Hariesa, dan Amerul Affendi, turut melangkah ke dunia perniagaan dengan membuka kedai kopi mereka sendiri, Bru Coffee Shop. Walaupun mereka dikenali di layar perak, ramai yang tertanya-tanya sama ada mereka serius dalam bidang ini atau sekadar ingin mencuba sesuatu yang baru di luar kerjaya seni. Namun, apa yang jelas, ketiga-tiga mereka telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam perancangan dan pembukaan kedai kopi ini.

    Bagi mereka, Bru Coffee Shop bukan sekadar tempat untuk menjual kopi, tetapi lebih kepada mencipta sebuah ruang yang memberi ketenangan, di mana orang ramai boleh berkumpul, berkongsi cerita, dan menikmati suasana yang jauh dari hiruk-pikuk kehidupan bandar. Mereka berharap kedai ini boleh menjadi tempat ‘escape’ bagi mereka yang mencari ruang untuk berfikir, menulis, atau sekadar menikmati secawan kopi yang sedap.

    Namun, persoalan besar yang timbul ialah, mampukah mereka menguruskan perniagaan ini dengan komitmen masing-masing sebagai pelakon? Dunia perniagaan, lebih-lebih lagi dalam industri makanan dan minuman, pasti penuh dengan cabaran dan memerlukan pengurusan yang bijak dan dedikasi tinggi. Walaupun begitu, ketiga-tiga mereka nampaknya bersedia untuk menghadapi segala rintangan ini.

    Pembukaan rasmi Bru Coffee Shop akan berlangsung pada Isnin, 5 Mei 2025, di APW Bangsar, dan ia pasti akan menjadi sebuah acara yang dinanti-nantikan. Ketiga-tiga pelakon ini dijangka hadir untuk memeriahkan suasana, sambil bertemu dengan peminat dan pengunjung. Bagi mereka yang gemar kopi dan ingin melihat sisi lain Shukri Yahaya, Siti Hariesa, dan Amerul Affendi dalam suasana yang lebih santai, inilah peluang terbaik untuk hadir dan menyaksikan pembukaan Bru Coffee Shop yang istimewa ini.

  • “Mawar Rashid Dilanda Dilema: Cinta Terlarang Bersama Suami Orang?”

    “Mawar Rashid Dilanda Dilema: Cinta Terlarang Bersama Suami Orang?”

    Sebuah drama penuh kontroversi, Nikmat Hanya Sesaat bakal menemui penonton dengan konflik dan emosi mendalam yang pasti akan mencetuskan perbincangan hangat. Memulakan tayangan pada 8 Mei 2025, drama ini menyajikan kisah seorang wanita, Sara, yang terperangkap dalam dilema cinta dan masa lalu yang gelap. Lakonan mantap oleh Mawar Rashid dan Fadlan Hazim memberi warna baru pada dunia drama Melayu, menyajikan bukan sahaja kisah cinta yang penuh rahsia tetapi juga persoalan moral yang besar.

    Bermula dengan latar belakang yang penuh penderitaan, Sara, yang terpaksa menjalani kehidupan sebagai pelacur kelas atasan demi menanggung keluarganya, bertemu semula dengan Zafrul, cinta pertamanya yang kini sudah berkahwin. Tanpa pengetahuan Zafrul tentang hidup gelap Sara, mereka berdua terjerat dalam konflik yang memerlukan keputusan sulit. Drama ini bukan sahaja menggali isu cinta terlarang tetapi juga menyoroti isu sosial yang relevan seperti diskriminasi, tekanan ekonomi, dan pencarian keinsafan.

    Diarahkan oleh Izuan Mokhtar dengan penulisan yang kuat dari Amin Shakib, Nikmat Hanya Sesaat mencabar persepsi penonton tentang kehidupan dan perjuangan seorang wanita yang cuba keluar dari bayang-bayang masa lalunya. Setiap watak, terutama yang dibawa oleh Mawar Rashid, memberikan kedalaman emosional yang kuat, membenamkan penonton dalam perjalanan mental dan psikologi wataknya yang kompleks.

    Selain itu, drama ini dibarisi oleh pelakon-pelakon hebat lain seperti Lisdawati, Sherry Ibrahim, dan Shasha Abedul, yang turut memperkukuh cerita dengan lakonan yang sangat menyentuh hati. Gandingan Mawar Rashid dan Fadlan Hazim yang pertama kali dipertemukan dalam drama ini menjanjikan chemistry yang memukau, menarik penonton ke dalam dunia penuh rahsia dan konflik moral yang pastinya akan mencetuskan pelbagai reaksi.

    Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama yang penuh dengan cabaran hidup, air mata, dan pencarian harapan ini, yang akan ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di TV3. Anda juga boleh menonton episod baharu lebih awal melalui Tonton, serta mendapatkan perkembangan terkini mengenai drama ini melalui platform media sosial TV3.

  • Shukri Yahaya & Kisah Kopi dalam Bru oleh Nik Amir Mustapha

    Shukri Yahaya & Kisah Kopi dalam Bru oleh Nik Amir Mustapha

    Apa jadi bila seorang mover yang bercita-cita tinggi ingin jadi tauke kopi, tapi poket kosong? Tonton dengan bangganya mempersembahkan Bru, sebuah drama komedi segar yang mengetengahkan kisah perjuangan, persahabatan dan cita-cita dalam dunia perniagaan kopi jalanan. Karya terbaharu arahan Nik Amir Mustapha ini akan mula ditayangkan bermula 1 Mei 2025, setiap Isnin dan Khamis secara eksklusif di Tonton.

    Bru, sebuah drama bersiri 10 episod terbitan Lumatic Films, menampilkan Shukri Yahaya sebagai Shah, seorang mover yang hidup serba sederhana namun dipenuhi dengan impian besar untuk berjaya dalam dunia kopi. Minatnya yang mendalam terhadap kopi dan cita-cita untuk membuka perniagaan sendiri menjadi pemangkin kepada perjalanan mencabar yang penuh warna. Namun, impian Shah terbantut apabila dia menyedari satu realiti pahit – dia tiada modal. Satu-satunya aset yang tinggal hanyalah sebuah van lama milik arwah bapanya dan semangat yang tidak pernah luntur.

    Dengan bantuan sahabat sejatinya, Ajan – lakonan mantap oleh Amerul Affendi – serta Hani, seorang barista berbakat yang ingin berdiri atas kaki sendiri, lakonan Siti Hariesa, Shah mengubah van tersebut menjadi sebuah kafe bergerak. Dari situlah bermulanya kisah suka duka tiga sahabat ini dalam menempuh cabaran dunia perniagaan. Mereka perlu berdepan dengan pelbagai konflik – dari persaingan sesama peniaga, kerenah pelanggan elit, hingga masalah teknikal yang tidak berkesudahan. Malah, sikap Shah yang mudah naik angin turut menguji hubungan dan kepercayaan antara mereka.

    Lebih dari sekadar kisah tentang kopi, Bru menyajikan naratif tentang impian, pengorbanan dan erti sebenar persahabatan. Dalam mengejar kejayaan, Shah perlu membuat pilihan antara mengejar cita-cita atau menjaga hubungan dengan mereka yang menyokongnya sejak awal. Menurut Shukri Yahaya, watak Shah cukup dekat dengan realiti kehidupan ramai individu hari ini. “Shah bukan sekadar tauke kopi, dia lambang semangat untuk bangkit dan berani mencuba walaupun tahu risikonya besar. Saya yakin ramai yang boleh kaitkan diri mereka dengan perjuangan watak ini,” jelasnya. Tambahnya lagi, Bru juga menandakan kemunculan semulanya dalam dunia drama selepas berehat seketika dan berharap agar penonton akan menyambut kembalinya dengan hangat.

    Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama yang penuh dengan gelak tawa, cabaran serta momen menyentuh hati ini. Bru akan menemui penonton bermula 1 Mei 2025, setiap Isnin dan Khamis, hanya di Tonton. Strim episod baharu melalui www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play dan App Store.

    Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini tentang Bru dan drama kegemaran anda yang lain, ikuti laman sosial rasmi Tonton di Facebook, Instagram dan Twitter menerusi @TontonMY.

  • “Keluarga Itu” – Kisah Yang Akan Menghantui Fikiran Anda

    “Keluarga Itu” – Kisah Yang Akan Menghantui Fikiran Anda

    Tidak semua drama mampu menggoncang emosi dan pemikiran penonton, tetapi “Keluarga Itu” berjaya melakukannya. Sejak bersiaran pada 28 Februari, drama ini telah mencetuskan pelbagai reaksi luar biasa daripada penonton. Ada yang menangis kerana terlalu merasakan keperitan watak-wataknya, ada yang marah kerana realitinya terlalu menyakitkan, dan ada juga yang takut untuk terus menonton kerana kisahnya terasa begitu dekat dengan kehidupan sebenar. Dalam lautan drama bertemakan percintaan dan komedi, “Keluarga Itu” hadir dengan kelainan yang mengusik jiwa.

    Pengarah prolifik, Eirma Fatima, sudah lama dikenali dengan keberaniannya membawa naratif yang luar biasa. “Saya tidak mahu sekadar mencipta drama biasa, saya mahu mencetuskan perbincangan,” katanya. Menurutnya, banyak perkara dalam masyarakat yang sering didiamkan kerana dianggap tabu, tetapi hakikatnya kisah-kisah ini wujud dan perlu diketengahkan. Bukan semua orang sanggup menceritakan sisi gelap kehidupan, tetapi “Keluarga Itu” memilih untuk menjadi cerminan kepada realiti yang ramai enggan akui.

    Dengan barisan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, Muaz Zabir, Puteri Balqis, Amir Ahnaf, dan Izara Aishah, drama ini berjaya menghidupkan setiap babak dengan emosi yang begitu mendalam. Setiap watak membawa kisah tersendiri yang penuh tragedi, pengkhianatan, kepercayaan yang musnah, serta harapan yang dikhianati. Lakonan mereka bukan sekadar berperanan di skrin, tetapi turut mengheret penonton masuk ke dalam dunia yang penuh keperitan ini.

    Dalam banyak drama, kehidupan dalam rumah sering dipaparkan sebagai tempat yang selamat, tetapi “Keluarga Itu” memecahkan stereotaip ini. Drama ini membuktikan bahawa bahaya boleh datang daripada mereka yang paling dekat dengan kita. Kepercayaan yang diberikan boleh disalahgunakan, dan kesetiaan boleh menjadi satu ilusi. “Kadang-kadang, dalam rumah sendiri pun, kita belum tentu benar-benar selamat,” kata Eirma Fatima, yang percaya bahawa kisah ini perlu diceritakan walau betapa pahit sekalipun.

    Jangan lepaskan peluang untuk menonton “Keluarga Itu”, yang bersiaran setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9.00 malam di TV3. Untuk tontonan lebih awal, strim 24 jam sebelum siaran di www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store. Drama ini bukan sekadar kisah di layar kaca, tetapi satu pengalaman yang akan membuat anda berfikir panjang tentang hakikat kehidupan sebenar.

  • Keluarga Itu”: Kisah Benar Penuh Pengajaran yang Bakal Mengubah Persepsi Anda

    Keluarga Itu”: Kisah Benar Penuh Pengajaran yang Bakal Mengubah Persepsi Anda

    Petaling Jaya, 28 Februari 2025 – Dalam dunia seni yang sentiasa berkembang, penggambaran kisah kehidupan manusia sering kali merangkumi tema-tema yang berulang, sehinggakan penonton kadangkala merasa jemu dengan pengulangan isu yang sama. Dalam konteks ini, penulis skrip yang terkenal, Eirma Fatima, telah mengambil inisiatif berani dengan mencipta sebuah naskah berjudul “Keluarga Itu”. Naskah ini bukan sahaja menyentuh isu pertelingkahan dalam sesebuah keluarga, tetapi juga menyelami luka yang tersembunyi di sebalik senyuman, membuatkan penonton pribadi untuk mempersoalkan realiti yang tenat.

    “Keluarga Itu” dijadualkan untuk tayangan perdana bermula pada 28 Februari 2025, pada setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9.00 malam di TV3. Untuk mereka yang ingin merasai debaran kisah ini lebih awal, mereka boleh menonton di Tonton atau aplikasi Tonton, 24 jam sebelum tayangan rasmi. Serial ini memaparkan realiti keluarga yang jauh dari kesempurnaan, di mana setiap individu terperangkap dalam cerita dan perjuangan tersendiri.

    Keluarga Iman (Datuk Rosyam Nor) dan Chempaka (Datin Seri Umie Aida) – sebuah pasangan yang dilihat mempunyai segalanya dari luar, mungkin memiliki rumah yang kukuh, tetapi menjelang penceritaan, dinding-dinding dalam rumah tersebut sebenarnya sudah retak dan menanti masa untuk runtuh. Iman, seorang tokoh Tahfiz yang dihormati, berperanan sebagai bapa kepada empat anak yang masing-masing menghadapi cabaran yang berbeza dalam hidup mereka. Keempat-empat anaknya, iaitu Ansara (Fattah Amin), Anwari (Muaz Zabir), Dhamiah (Puteri Balqis), dan Dhini (Duerra Mitilda), membawa cerita masing-masing yang mencerminkan realiti kehidupan sejati.

    Ansara, sebagai anak sulung dan seorang usahawan berjaya, mendapati bahawa kejayaan tidak semestinya menjamin kebahagiaan. Perkahwinannya dengan Camelia (Melissa Campbell), seorang mualaf, berakhir dalam kehampaan apabila dia berpaling darinya. Anwari, anak kedua yang dipenuhi dengan rasa cemburu, menjauh dari keluarga dan gagal melihat kesetiaan isterinya, Husna (Izara Aishah), yang terus bertahan meskipun dia diabaikan.

    Kisah Dhamiah pula menunjukkan perjuangan seorang anak yang melarikan diri demi mendapatkan kebebasan, namun menemui diri terperangkap dalam dunia yang lebih kejam, menyimpulkan rasa trauma dari pengalaman silamnya. Manakala Dhini, anak bongsu yang menghidap autisme, tidak memahami pergolakan dalam keluarganya. Dia hanya mampu bergantung kepada Husna dan Dhamiah, yang berusaha untuk menyokongnya dalam keadaan yang sukar.

    Sebagai satu karya yang menyuntik realiti kehidupan, “Keluarga Itu” membawa tanya yang mendalam kepada penonton. Adakah ikatan darah itu lebih pekat daripada air? Adakah kejujuran lebih menyakitkan daripada sekeping dusta? Dalam tengah badai rahsia dan ujian yang melanda, adakah mereka mampu untuk bersatu semula, atau adakah segalanya sudah terlalu hancur untuk diperbaiki?

    Dengan kata-kata Eirma Fatima sendiri, “Saya tidak mahu sekadar bercerita, tetapi membuka mata dan menyentak jiwa mereka yang menonton. Memang niat utama saya menghasilkan Keluarga Itu untuk memberi pengajaran bersama serta mempersiapkan diri menghadapi situasi sebegini.” Ini mencerminkan harapan beliau agar penonton bukan sahaja menonton tetapi juga merenungi isu-isu yang dihadapi oleh keluarga ini dan mengaitkannya dengan situasi dalam kehidupan sebenar.

    Dihidupkan oleh pelakon-pelakon berbakat seperti Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, Muaz Zabir, Puteri Balqis, Amir Ahnaf, dan kemunculan semula Izara Aishah, “Keluarga Itu” bukan sahaja menampilkan bintang-bintang yang sudah terbukti, tetapi juga keserasian yang dihasilkan di antara mereka memberikan keindahan dalam penceritaan. Setiap watak diwarnai dengan emosi yang mendalam, membawa penonton merasai setiap detik yang menyentuh hati.

    “Keluarga Itu” adalah lebih daripada sekadar sebuah drama. Ia merupakan cerminan realiti kehidupan yang mungkin tidak selaras dengan impian dan harapan kita terhadap keluarga. Ia mengajak kita untuk merenung kembali makna sebenar ‘keluarga’ dan apa yang perlu kita lakukan untuk memperbaiki hubungan di dalamnya. Kisah ini adalah satu pengajaran yang pahit tetapi benar, membawa penonton ke dalam dunia yang mungkin sama dengan yang mereka hadapi di luar skrin.

    Secara keseluruhannya, “Keluarga Itu” adalah sebuah karya yang patut ditunggu. Ia berpotensi untuk menyentuh jiwa ramai penonton dan mengajak mereka berfikir jauh dari sudut pandang yang biasa. Kami menjemput anda untuk menyaksikan tayangan perdana dan terlibat dalam perbincangan mengenai isu ini di berbagai platform sosial. Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram TV3 di @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat. Mari kita bersama-sama menyelami dan menghayati cerita ini sambil memperkaya pemahaman tentang hakikat hidup dan keluarga.

  • Kisah Pengajaran Dari Drama Dendam Seorang Madu Terbitan Astro

    Kisah Pengajaran Dari Drama Dendam Seorang Madu Terbitan Astro

    Drama Dendam Seorang Madu terbitan Astro menampilkan kisah menarik berkaitan pengurusan harta pusaka. Tayangan perdana bermula 3 Mac 2025 di Astro Prima setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 6 petang. Mengangkat tema konflik keluarga, drama ini menonjolkan bagaimana perebutan harta boleh meruntuhkan hubungan darah. Penonton akan menyaksikan pergolakan emosi antara watak-watak yang dilanda dilema moral dan tanggungjawab. Jalan cerita ini bukan sahaja menghiburkan tetapi turut memberi pengajaran mendalam.

    Pengarah terkenal Riza Baharuddin sekali lagi membuktikan kehebatannya selepas kejayaan besar pada tahun lalu. MIG Production Sdn. Bhd. memilih barisan pelakon terbaik seperti Hannah Delisha, Redza Rosli, Sweet Qismina, dan Emelda Rosemila. Lagu tema Tipu Helah yang dinyanyikan oleh Hannah Delisha menambahkan emosi kepada setiap babak. Setiap episod dipenuhi dengan konflik yang mencengkam perasaan penonton. Drama ini dijangka menjadi bualan hangat sepanjang Ramadan.

    Ketua Saluran Astro Prima, Norzeha Salleh berkata drama ini membawa mesej penting tentang keadilan dan tanggungjawab dalam keluarga. “Kami mahu penonton memahami bahawa harta pusaka bukan sekadar warisan tetapi amanah,” jelasnya. Konflik dalam drama ini mencerminkan realiti masyarakat yang sering mengabaikan soal pengurusan faraid. Astro berusaha memastikan kandungan yang disiarkan mempunyai nilai didikan selain hiburan.

    Kisah bermula dengan Putri Rayhana yang bergelut membiayai rawatan ibunya yang sakit. Desakan hidup memaksa Rayhana berkahwin dengan Faris Alfian atas permintaan neneknya. Namun Faris sendiri terpaksa akur dengan kehendak ibunya, Hanum demi memenuhi cita-cita menjadi CEO. Selepas perkahwinan, rahsia Faris yang telah berkahwin dengan Izara mencetuskan konflik besar. Situasi menjadi semakin rumit apabila Hanum bertindak ingin merampas harta keluarga.

    Rayhana terperangkap dalam dilema antara menyelamatkan ibunya atau mempertahankan hak warisannya. Faris pula tersepit antara dua wanita yang dicintainya dan ibunya yang tegas. Drama ini menyoroti betapa pentingnya kejujuran dalam menghadapi konflik rumah tangga. Hanum pula digambarkan sebagai watak antagonis yang sanggup melakukan apa sahaja demi harta. Pergolakan ini mengajak penonton merenung nilai kekeluargaan dan amanah.

    Penonton boleh menonton drama ini di Astro Prima atau strim di On Demand, Astro GO, dan sooka. Bagi pengalaman tontonan yang lebih baik, langganlah Astro Fibre 500Mbps bersama Pek Astro One Entertainment dengan hanya RM139.99 sebulan. Untuk maklumat lanjut, layari www.astro.com.my. Astro terus komited memberikan hiburan berkualiti seisi keluarga.

    Norzeha berharap penonton akan mengambil pengajaran dari setiap episod yang ditayangkan. “Kami mahu masyarakat lebih peka dengan tanggungjawab terhadap harta pusaka dan keluarga,” tambahnya. Drama ini menjadi cermin realiti yang jarang dibincangkan secara terbuka. Saksikan Dendam Seorang Madu sepanjang Ramadan ini untuk kisah penuh emosi dan pengajaran.

  • Bella Astillah, Ezaidi Aziz, dan Eyka Farhana Memikat Penonton dalam ‘Satu Hari Nanti’ di iQIYI

    bella

    iQIYI, aplikasi penstriman popular Asia, kini mempersembahkan drama bersiri terbaharu, ‘Satu Hari Nanti’, yang bakal menemui penonton mulai 18 September 2024.

    Dibintangi oleh pelakon muda berbakat tanah air seperti Ezaidi Aziz, Eyka Farhana, dan Bella Astillah, serta diarahkan oleh Pali Yahya, drama ini mengisahkan tentang cinta, penghijrahan, dan keikhlasan dalam sebuah hubungan.

    Ditaja oleh jenama kecantikan terkenal Nivea dan jenama telefon Honor, drama ini menjanjikan sebuah kisah yang menyentuh hati serta memberikan pengajaran hidup.

    Drama ini berkisarkan watak Noah Lee (lakonan Ezaidi Aziz), seorang pemuda mualaf berbangsa Cina yang berhadapan dengan kekecewaan dalam cinta.

    Terdesak mencari arah baru, Noah mula terlibat dalam kerja-kerja kebajikan, di mana dia bertemu dengan Marissa Safiyyah (lakonan Eyka Farhana), seorang gadis Muslim yang lantang memperjuangkan hak-hak wanita.

    Pertemuan mereka membawa perubahan dalam hidup Noah, namun persoalan mula timbul apabila watak Aulia Jane (lakonan Bella Astillah) muncul, mencabar keutuhan hubungan tersebut. Kisah cinta berlainan agama ini membawakan konflik yang mendalam—apakah cinta mereka mampu bertahan?

    Dalam wawancara bersama media, Ezaidi Aziz berkongsi mengenai cabaran memegang watak Noah Lee, seorang mualaf yang berhadapan dengan pelbagai dilema dalam hidupnya.

    Menurut Ezaidi, watak ini memerlukan penghayatan mendalam kerana ia menuntut penonton melihat lebih dari sudut pandang agama dan bangsa. ”

    Watak Noah mengajar kita agar tidak cepat menghakimi orang lain berdasarkan luaran, tetapi lebih kepada memberi peluang kepada setiap individu untuk menunjukkan sisi sebenar mereka,” ujar Ezaidi.

    Bagi Eyka Farhana, penggambaran di Mekah dan Madinah menjadi pengalaman paling bermakna sepanjang kariernya.

    “Bukan sahaja watak saya sebagai Marissa memerlukan keberanian dan ketabahan, tetapi peluang untuk menjalani penggambaran di Tanah Suci memberikan saya pengalaman rohani yang sukar dilupakan,” katanya. Eyka juga menambah bahawa drama ini memberikan satu perspektif baharu tentang kepentingan perjuangan wanita dalam masyarakat.

    Bella Astillah, yang memainkan watak Aulia Jane, turut berkongsi bahawa wataknya dalam drama ini mencerminkan banyak situasi kehidupan peribadinya.

    “Aulia bukan hanya tentang cinta, tetapi tentang keikhlasan dalam memberi dan menerima dalam hubungan,” katanya.

    Bella juga menekankan bahawa cinta sejati harus datang dari kedua-dua pihak dan bukan hanya satu belah pihak sahaja. Pengalaman berada di Mekah dan Madinah memberi ruang untuk Bella ‘healing’ dan memperkukuhkan lagi penghayatannya terhadap watak Aulia.

    Pengarah drama, Pali Yahya, menjelaskan bahawa pemilihan pelakon adalah kunci utama dalam memastikan kisah ini dihidupkan dengan sempurna.

    “Saya bersama penerbit dan pihak iQIYI banyak berbincang mengenai barisan pelakon, dan saya gembira kerana gabungan Ezaidi, Eyka, dan Bella berjaya membawa watak masing-masing dengan begitu baik,” kata Pali.

    Beliau juga menyatakan bahawa drama ini menyampaikan mesej penting mengenai pengorbanan, kesabaran, dan cinta kepada Tuhan serta manusia. Inspirasi dari novel asal drama ini memberikan naratif yang kaya dengan emosi dan pelajaran hidup.

    Menurut Jony Deng, Pengurus Besar iQIYI Malaysia & Singapura, drama Satu Hari Nanti’ dijangka mendapat sambutan yang menggalakkan kerana ia menyentuh pelbagai isu kehidupan yang relevan.

    “Dengan tema cinta, agama, dan kepercayaan, kami percaya drama ini mampu mencuit hati penonton serta memberikan pengajaran yang berguna,” jelas Jony.

    Drama ini juga merupakan satu lagi langkah iQIYI dalam menyediakan kandungan berkualiti kepada pengguna mereka.

    Jangan ketinggalan untuk menonton ‘Satu Hari Nanti’ yang akan disiarkan secara eksklusif di iQIYI pada 18 September 2024.

    Muat turun aplikasi iQIYI sekarang di App Store atau Play Store, cari ‘Satu Hari Nanti’, dan klik ‘Pesan’ untuk menerima peringatan awal. Saksikan kisah cinta suci dan penghijrahan dalam drama ini yang pasti akan meninggalkan kesan mendalam di hati penonton.

  • Drama Akad Nikah: Pengantin Pasti Jadi

    Drama Akad Nikah: Pengantin Pasti Jadi

    Tragedi pengantin melarikan diri menjadi viral! Terbaru di slot Lestary, drama “Pengantin Pasti Jadi” mempersembahkan dua pelakon baharu berbakat besar, Ali Reza dan Asha Merican, sebagai pemeran utama. Drama ini akan mula ditayangkan pada 11 Julai 2024, setiap Khamis hingga Sabtu, pukul 9.00 malam di TV3. Untuk yang ingin menonton lebih awal, episod baru boleh distrim 24 jam lebih awal melalui Tonton.

    “Pengantin Pasti Jadi” menceritakan perjalanan hidup Raid Amzan (Ali Reza) dan Nureen (Asha Merican) yang ditinggalkan oleh pasangan masing-masing pada hari pernikahan mereka. Kedua-dua perkahwinan ini diatur oleh ibu mereka, iaitu Seri Hanim (Lana Nordin), ibu kepada Nureen, dan Datin Hasnah (Khaty Azian), ibu kepada Raid.

    Kerana insiden “Pengantin Tak Jadi” ini, kisah mereka menjadi viral. Raid dan Nureen kemudian memutuskan untuk bercuti tanpa perancangan. Secara kebetulan, mereka memilih destinasi yang sama dan berjumpa buat kali pertama. Dari pertemuan pertama, mereka sering bertengkar, dengan pelbagai situasi yang tidak menyenangkan setiap kali mereka bertemu. Namun, tanpa mereka sedari, hubungan mesra mula terjalin, membuat mereka ingin mengenali satu sama lain dengan lebih mendalam.

     

    Sekembalinya ke Kuala Lumpur, Raid menawarkan Nureen untuk menjadi guru peribadi kepada anak saudaranya, Tia, yang berusia 6 tahun. Hubungan mereka bertiga semakin erat, dan akhirnya, cinta antara Raid dan Nureen mula berkembang.

    Namun, hubungan mereka tidak direstui oleh Datin Hasnah dan Seri Hanim, yang mencetuskan konflik untuk memisahkan mereka. Akibatnya, Norman (Shyrim Husni), ayah kepada Nureen, terlibat dan membawa Raid dan Nureen untuk dinikahkan di kampungnya. Kekecohan berlanjutan apabila Datin Hasnah dan Seri Hanim mengetahui tentang pernikahan tersebut, sehingga Norman campur tangan dan mencapai kesepakatan dengan Datin Hasnah dan Seri Hanim untuk merancang majlis persandingan besar-besaran. Namun, konflik terus berlaku.

    Drama bersiri 20 episod ini diterbitkan oleh Creative Skill Solution, diarahkan oleh Shuhaimi Zulkefli, dan ditulis oleh Nieza Nahar. “Pengantin Pasti Jadi” menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Ali Reza, Asha Merican, Daniesh Suffian, Riesha Aslan, Ungku Hariz, Faye Kusairi, Lana Nordin, Khaty Azian, Shyrim Husni, dan ramai lagi.

     

    Menurut Ali Reza, “Saya amat berterima kasih ke atas peluang yang diberikan untuk memegang watak utama dalam drama Pengantin Pasti Jadi. Penggambaran drama ini bermula pada Julai 2022, pada waktu itu saya masih lagi baharu dalam dunia lakonan ini jadi semestinya banyak yang saya pelajari ketika di set penggambaran. Cabaran paling besar bagi saya adalah untuk menghidupkan watak ini dan mengekalkan keserasian bersama Asha Merican dan pelakon-pelakon lain. InsyaAllah, setiap cabaran dalam menjayakan watak itu saya akan jadikan sebagai penambahbaikan untuk lakonan akan datang.” 

  • ‘Enigma’ Bob Yusof Beri Sentuhan Emosi Buat Peminat

    Bob Yusof, yang lebih dikenali sebagai Bob Mesra dalam industri muzik tempatan, kini mempersembahkan single terbaharunya yang berjudul ‘Enigma‘. Ini merupakan single pertama beliau bersama Alternate Records dan juga lagu tema untuk drama “Dua Darjat” yang sedang disiarkan di slot Akasia, TV3. Anda boleh menonton “Dua Darjat” setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7.00 malam di TV3, atau strim episod baharu 24 jam lebih awal di Tonton melalui www.tonton.com.my, serta aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play atau App Store.

    Bob memulakan kerjayanya melalui pertandingan realiti televisyen dan terkenal dengan kekuatan vokalnya dalam lagu-lagu balada dan etnik. ‘Enigma‘ menandakan kembalinya Bob Yusof untuk mengubat rindu peminat yang merindukan suaranya yang unik. Ini merupakan karya kedua Bob Yusof bersama Alternate Records selepas kolaborasi pertama mereka dengan lagu ‘Tera Tari’ bersama artis dari Singapura.

    Lagu ‘Enigma‘ dicipta oleh Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, dengan lirik ditulis oleh Ikhwan Fatanna sendiri. Lagu ini adalah sebuah balada yang penuh emosi dan melodi yang indah, yang mengiringi jalan cerita drama “Dua Darjat“. Lebih dari sekadar lagu tema biasa, ‘Enigma‘ menggambarkan kisah cinta tragis antara dua insan yang terhalang oleh jurang perbezaan status. Dengan alunan melodi yang mendayu, Bob berjaya membawa pendengar menyelami pergolakan hati dari impak buruk akibat mudah mengalah dalam percintaan.

    Genre balada, yang dianggap sebagai makanan jiwa kepada Bob Yusof, menjadi pilihan komposer dan penulis lirik, Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh. Kolaborasi ini telah lama dinantikan oleh kedua-dua pihak, akhirnya berhasil direalisasikan oleh Ikhwan Fatanna dengan sentuhan lirik dan melodi yang mampu menggetarkan jiwa pendengar. Lagu ini bukan sahaja memenuhi harapan Bob Yusof, tetapi juga memperkukuhkan reputasinya sebagai penyanyi balada terkemuka dalam industri muzik tempatan.

    Bob meluahkan rasa teruja yang luar biasa setelah mendengar demo lagu ‘Enigma’ buat pertama kalinya.  “Lagu ini benar-benar “wow” kerana susunan melodinya penuh dengan cabaran. Sesi rakaman hanya mengambil masa dua jam berkat kerjasama dan saling bertukar idea untuk memperindah karya ini. Pengalaman bekerjasama dengan komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh juga amat  menyeronokkan. Banyak ilmu dan idea baharu yang dapat saya pelajari dari mereka. Jika diberi peluang lagi, saya pasti akan bekerjasama dengan gabungan dan berharap dapat menyanyikan lebih banyak lagu ciptaan mereka.”

    ‘’Harapan saya sangat tinggi agar lagu ini mendapat tempat di hati peminat dan dapat pergi jauh, tersenarai dalam carta-carta muzik, stesen radio di Malaysia, Singapura, Brunei, malah Indonesia, dan mungkin layak ke Anugerah Juara Lagu (AJL). Kepada peminat, dengarkanlah lagu ini kerana ia berbeza daripada lagu-lagu saya sebelum ini. Dari segi susunan muzik, ia sangat segar dan mudah didengar.” tambah Bob. 

    Keterujaan Bob semakin bertambah apabila mendapat sokongan dan pujian dari rakan-rakan artis seperti Khai Bahar, Syamel, Marsha Milan, Mila Jirin, Mimi Fly dan Elly Mazlein yang telah meninggalkan kata-kata semangat dan komen positif  didalam kiriman mesej di media sosialnya. “Terima kasih tidak terhingga kepada rakan-rakan artis yang telah menyokong saya. Kata-kata semangat dan komen positif mereka amat bermakna dan memberikan saya dorongan untuk terus berkarya dan terus berusaha memberikan yang terbaik dalam bidang muzik,” ujar Bob dengan penuh rasa syukur.

    Sebagai komposer ‘Enigma’, Ikhwan Fatanna berkongsi bagaimana tercetusnya idea mengarap lagu ini, “Idea datang ketika pihak produksi drama Dua Darjat inginkan konsep lagu runut bunyi yang sedih dan sesuai dengan jalan cerita drama tersebut.  Saya pun mula mengarang dengan membayangkan sebuah hubungan yang tidak direstui keluarga kerana perbezaan darjat dan kedudukan. Mesej lagu ini adalah untuk memilih hubungan yang sesuai dengan personaliti dan keadaan diri kita. Jangan biarkan diri kita dihukum dan dihina hanya kerana kita insan biasa. Setiap manusia ada nilai dan harga diri,”

    Ikhwan Fatanna menambah apabila ditanya mengenai Bob Yusof  “Bob seorang artis yang merendah diri dan mudah bekerjasama. Dengan vokal mantap yang penuh jiwa, Bob sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam setiap lagu yang dinyanyikan. Keunikan Bob terletak pada kekuatan lontaran vokalnya yang memukau dan mampu membuai jiwa pendengar.”

    Jangan lepaskan peluang untuk mendengar lagu ‘Enigma’ nyanyian Bob Yusof yang telah mula bergema di pelbagai aplikasi dan platform penstriman dalam talian. Ayuh saksikan Dua Darjat menerusi slot Akasia, setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7.00 malam di TV3 dan strim episod baharu 24 jam lebih awal melalui Tonton di www.tonton.com.my , muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.

    Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok. 

  • Drama Malang Si Puteri Menampilkan Para Pelakon Hebat Tanah Air

    Drama bersiri Malang Si Puteri akan bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat pukul 6 petang di slot Tiara Astro Ria, atau boleh disaksikan melalui strim di Astro GO. Drama ini diterbitkan oleh Radius One dan diarahkan oleh Uchee Fukada bermula 11 Mac 2024.

    Drama Astro Ria terbaru bersiri 50 episod ini merupakan karya Uchee Fukada terbitan syarikat produksi Radius One Sdn. Bhd. Idea asalnya daripada Shahrulezad Mohameddin @Budak Ijat. Manakala skrip pula disediakan oleh Syed Mohamad Taufik Syed Abdul Jalil. Drama ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Fasha Sandha, Hafreez Adam, Malek Mccrone, Wan Raja, Fahrin Ahmad, Raja Azura dan ramai lagi.

    SINOPSIS MALANG SI PUTERI

    Drama ini berkisarkan tentang Puteri yang ditimpa malang apabila ibunya berkahwin dengan Ayah Leh (Sahronizam) yang sering cuba mengambil kesempatan keatasnya. Puteri juga sering dihina orang kampung kerana pekerjaan ibunya sebagai penari. Hanya si capek Sulaiman (Hafreez Adam) yang memahaminya dan sering membantu Puteri dalam apa jua keadaan.

    Kehadiran Johan (Malek) dari bandar menawan hati Puteri yang naif. Walau diluahkan kasih sayang oleh Sulaiman, Puteri tetap memilih Johan yang rupanya seorang bapa ayam, maka malanglah hidup si Puteri semenjak hari itu.

    Kehidupanya di bandar penuh pancaroba sehinggalah dijual oleh suaminya sendiri kepada Arman (Wan Raja), seorang penjenayah yang merancang sesuatu untuk Puteri. Perjalanan yang dipenuhi ranjau kemudian membawa Puteri kepada Fattah, seorang guru berhati mulia dari kampung.

    Namun bahagia bukanlah berpihak kepada Puteri.

                       

    Drama: Malang Si Puteri
    Produksi: Radius One Sdn. Bhd.
    Pengarah: Uche Fukada
    Idea Asal: Sharulezad Mohameddin @Budak Ijat
    Penulis Skrip: Syed Mohamad Taufik
    Siaran: Astro Ria
    Mula Tayangan: 11 Mac 2024
    Masa: Isnin hingga Jumaat | 6 petang
    Episod: 50