Datin Salwa Abd Rahman Kembali Dalam ‘Makna’, Kolaborasi Dengan Rapper

Penyanyi legenda cukup popular pada era 1980-an, Datin Salwa Abdul Rahman bukanlah nama asing dalam industri hiburan tanah air dengan bakat yang dimiliki oleh beliau mula dicungkil pada tahun 1985 menerusi rancangan berbentuk pertandingan nyanyian Bintang Radio Pujaan Negeri Johor ketika Datin Salwa berusia 19 tahun.  Setelah itu, beberapa siri pertandingan turut disertainya sehingga dilamar menjadi penyanyi rakaman.

Lantunan vokal pemilik suara lunak dan merdu yang terdapat pada penyanyi berusia 57 tahun ini tiada sebarang perbezaan walaupun penglibatannya memasuki empat dekad dalam bidang nyanyian.

Datin Salwa Abdul Rahman kembali memeriahkan industri lagu dan muzik dengan sebuah lagu yang lebih segar berjudul ‘Makna’ hasil ciptaan sepenuhnya Red Rahimad, Pown Hasril, Otromen, Aman Nassim dan Ariff Peter.  Lagu terbitan syarikat rakaman COF Music turut menampilkan penyanyi dan rapper muda Red Rahimad sebagai duet Datin Salwa.

“Kata orang rezeki memang tak salah alamat.  Sebenarnya saya dah mula nak kurangkan pembabitan dalam bidang seni ini selain sudah kurang berminat nak keluarkan album atau lagu sebenarnya tetapi anak saudara saya Aman Nassim selaku Pengarah Urusan COF Music nak sangat saya untuk keluarkan lagu terbaharu bersama Red Rahimad” ujar Datin Salwa.

Selain itu, pelatun ‘I Miss You’ ini mengakui berasa sedikit gemuruh ketika proses rakaman dijalankan berikutan sekian lama tidak berada di dalam studio.  Lagu ‘Makna’ ini mengandungi rentak latin pop dan sedikit dangdut yang bersesuaian dengan diri Datin Salwa sendiri.

Tambahnya lagi, “pada saya ia satu pembaharuan bila kita bergabung dengan penyanyi rap ini.  Jadi saya ada rasa ingin nak mencuba cuma saya tak nak ambil yang rap itu sebab tak bersesuaian dengan jiwa.  Saya suka dengar, tapi nak menyanyi genre itu memang tidak bersesuaian dengan saya.  Alhamdulillah, rakaman berjalan dengan baik dan tak memakan masa yang lama. Ia disebabkan rentak lagu ini dangdut hiphop berunsurkan latin pop jadi genre itu sama sahaja macam dangdut cuma dia ada latin sikit.  Pada saya ia mudah untuk menghayati lagu ini,  Alhamdulillah semuanya berjalan baik.

Pada kesempatan ini, Datin Salwa Abdul Rahman turut memanjatkan rasa kesyukuran kepada suami dan anak-anak yang sentiasa menyokong kerjaya seninya dari mula sehingga kini.  Datuk Subadron Abdul Aziz tidak pernah mengokong beliau jika masih melibatkan diri dalam bidang nyanyian.  Suami dan anak-anaknya sentiasa memberikannya semangat yang padu untuk meneruskan bidang seni ini yang menjadi pembakar semangat untuk beliau berasa gembira dan tidak tertekan.

“Kepada peminat yang masih mengikuti perkembangan saya, inilah hadiah untuk mereka yang ingin mendengarkan suara saya yang terbaharu.  Semoga peminat dapat terima dengan imej dan rentak baharu ini.  Terima kasih kepada yang masih bertanya di media sosial, itu tandanya saya masih diminati, Alhamdulillah.  Harap lagu ini memberikan makna yang baik untuk saya” katanya.

Lagu dan video muzik Makna yang dilancarkan secara rasmi pada 17 Jun lalu sudah boleh ditonton di saluran YouTube COF Music.

CATEGORIES
2.7k
Whatsapp40.8k