DATO’ JAMAL ABDILLAH MUNCUL DENGAN SINGLE YANG MEMILIKI

KUALA LUMPUR, 6 OKTOBER 2022 – Figura yang luar biasa ini adalah vokalis terkenal yang masih aktif mengarang dan membuat persembahan. Sebenarnya, tidak pernah ada kesunyian dalam menyambutnya. Selain itu, beliau mempunyai pengikut dari semua peringkat umur dan generasi.

Malah, Dato’ Jamal Abdillah dilihat sebagai penyanyi yang bijak mengatur kerjaya seni agar terus kekal relevan. Selain muncul dengan single baharu, kolaborasi dengan beberapa penyanyi muda dan popular masa kini antara pendekatan dibuat.

Terbukti hasilnya berjaya apabila lagu yang dirakam Jamal bersama mereka menjadi siulan anak muda dan kekal trending hingga kini.

Terbaharu, Jamal, 63, muncul dengan single YANG MEMILIKI hasil ciptaan sepenuhnya oleh Khusam dan Zaira Sham yang sudah dilancarkan secara rasmi pada 9 September lalu.

Jamal berkata, lagu YANG MEMILIKI ini cukup dekat dengan kehidupan seharian selain apa yang dinikmati hari ini hanya bersifat sementara.

“Lagu ini mengisahkan mengenai kita sebagai manusia hanyalah hamba yang menumpang sementara di atas muka bumi ini. Segala kenikmatan yang kita miliki hanyalah dipinjamkan oleh Allah SWT.

“Kenikmatan yang dipinjamkan untuk kita terlalu banyak. Sejauh mana kita memilih untuk ke arah kebaikan atau sebaliknya, semuanya adalah pilihan kita. Kaya atau miskin itulah ujian buat kita. Segala kehebatan, keindahan, kecantikan, kesempurnaan, keagungan dan segala yang baik-baik adalah daripada Allah, Pemilik dan Pencipta yang abadi,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu YANG MEMILIKI, Jamal berkata dia jatuh cinta dengan melodi dan lirik yang dihasilkan.

“Lagu dan lirik YANG MEMILIKI disiapkan demonya terlebih dahulu oleh penerbit dan pencipta lagu iaitu Kusham sebelum diperdengarkan kepada saya. Kali pertama mendengar, saya suka dan terus menyatakan persetujuan. Selepas itu baru pihak penerbit bawa kepada pihak Universal Music Malaysia untuk proses seterusnya. Alhamdulillah, pihak Universal Music Malaysia berminat dan proses rakaman pun bermula,” katanya.

Menariknya mengenai proses rakaman lagu YANG MEMILIKI ini, muzik disusun oleh Kusham dan alat muzik dimainkan secara langsung oleh pemuzik professional.

Sementara itu, penerbit lagu, Kusham berkata, proses rakaman berlangsung selama dua jam.

“Apabila muzik siap dirakam, proses merakam suara Dato’ Jamal pun dilakukan. Rakaman suara mengambil masa lebih kurang dua jam. Proses rakaman berlangsung di One Scream Studio.

“Selepas itu, proses adunan digalas oleh saudara Raja Iskandar atau Is Wow. Bagi saya, ini satu lagi pengalaman berharga buat kami apabila dapat bekerjasama dengan legenda. Proses yang mudah dan sangat profesional,” katanya.

Kusham juga berharap lagu YANG MEMILIKI bukan sekadar lagu dan hiburan, tapi dapat memberikan manfaat buat semua pendengar.

“Semoga lagu ini bukan hanya sekadar hiburan tetapi dapat mendidik jiwa pendengar ke arah kebaikan yang dicari,” katanya.

Single YANG MEMILIKI boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music daripada 9 September jam 12 tengah malam.

CATEGORIES

COMMENTS

2.7k
Whatsapp40.8k