Datuk Mokhzani Ismail Memimpin Konsert Simfoni di Kuala Lumpur
Konsert “Search Symphonic Live In Kuala Lumpur” telah berlangsung dengan sukses pada 21 September 2024 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.Sebagai penganjur, Persatuan Rekreasi Global Malaysia menganggap kerjasama pertama mereka dengan kugiran terkenal Nusantara, Search, dalam acara ini sebagai pencapaian yang sangat bermakna bagi kedua-dua pihak.“Perundingan untuk konsert ini tidaklah mudah, tetapi dengan kepakaran yang ada, Search bersetuju untuk menerima konsep yang dicadangkan. Ini bukan hanya tentang orkestra; ia juga menunjukkan sokongan terhadap muzik tempatan,” ujar Encik Mohd Roslan Mohd Rafi, Pengarah Program PRGM.
Kugiran SEARCH percaya bahawa Search Symphony Live In Kuala Lumpur adalah salah satu pengalaman terbaik yang pernah dirasai oleh peminat mereka.“Walaupun lagu-lagu yang sama akan dibawakan, ia akan diolah semula dengan kerjasama pemain orkestra, menjadikan konsert ini yang paling hebat daripada kami,” jelas Amy.Sebanyak 27 pemuzik orkestra diketuai dengan baik oleh Datuk Mokhzani Ismail sebagai konduktor, sementara Rie Tsuji berperanan sebagai pengarah dan penyusun muzik, dengan Jenk Ali sebagai pemain dram.
Sebagai tanda keprihatinan, pihak penganjur dan produksi telah memutuskan bahawa setiap tiket yang dijual pada harga RM10.00 akan disumbangkan kepada Persatuan Karyawan Malaysia untuk membantu artis-artis yang memerlukan, dengan jumlah sumbangan mencapai RM5000.Antara artis yang hadir untuk memberi sokongan termasuk Kumpulan Wings, Spider, Exists, Sixth Sense, Shery Ibrahim, Neves Pretty Ugly, dan Ella.