‘Dia Bukan Syurga’ – Adaptasi Novel Tentang Cinta Toksik dan Kuasa Wanita

‘Dia Bukan Syurga’ – Adaptasi Novel Tentang Cinta Toksik dan Kuasa Wanita

Astro meneruskan komitmennya sebagai peneraju hiburan tempatan dengan mempersembahkan sebuah lagi drama yang penuh emosi dan sarat mesej sosial, Dia Bukan Syurga. Menyingkap sisi gelap sebuah perkahwinan yang kelihatan sempurna di luar, drama ini menyentuh isu hubungan toksik yang sering tersembunyi di balik nama cinta dan kesetiaan.

Disiarkan bermula 19 Mei 2025 di Astro Ria (saluran 104), setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam, Dia Bukan Syurga membawa kisah Nuha—seorang wanita penyayang yang cuba mempertahankan rumah tangga yang dibinanya dengan harapan dan kasih, namun akhirnya terpaksa memilih antara derita dan kebebasan. Watak Nuha dibawakan oleh Ezzany Jasny, bergandingan bersama Niezam Zaidi sebagai Tajul, suami yang berubah menjadi pendera, dan Nazim Othman sebagai Arham, satu-satunya insan yang hadir sebagai sinar harapan dalam hidup Nuha.

Karya ini merupakan adaptasi daripada novel tulisan Rissa Ahdiya, pemenang anugerah dan penulis di sebalik fenomena Andai Tiada Dia. Dengan 32 episod yang diarahkan oleh Rashid Sibir dan diterbitkan oleh Radius One Sdn Bhd, naskhah ini tidak sekadar hiburan tetapi juga cerminan kepada dilema sebenar yang dialami oleh ramai wanita dalam perkahwinan yang bermasalah.

Selain mempersembahkan jalan cerita yang menyayat hati, Dia Bukan Syurga turut memperdengarkan runut bunyi istimewa berjudul “Dalam Sujudku” nyanyian Amira Othman yang membangkitkan lagi emosi penonton. Drama ini menyentuh persoalan besar—adakah cinta sahaja cukup untuk menjamin kebahagiaan, atau adakah pemilihan pasangan hidup yang bijak lebih utama dalam mengelakkan penderitaan?

Menurut Norzeha Mohd Salleh, Ketua Saluran Astro Ria, drama ini hadir tepat pada waktunya sebagai wadah untuk mengetengahkan isu keganasan rumah tangga secara empati dan realistik. “Kami percaya drama ini mampu menyentuh hati penonton kerana mesejnya yang dekat dengan realiti. Ia mengajak penonton untuk berfikir dan menilai makna sebenar cinta, hormat dan harga diri.”

Dia Bukan Syurga tersedia juga secara On Demand menerusi Astro GO dan sooka. Untuk penstriman yang lebih lancar, pelanggan boleh melanggan Pek Astro One atau menaik taraf ke pelan Astro Fibre bagi pengalaman hiburan seisi keluarga yang lebih memuaskan.

CATEGORIES
TAGS
Share This