Dinda Dania Cabar Diri dengan Lagu Rap di ‘Aku, Kau dan Bintang

Penyanyi berbakat besar Dinda Dania, yang berada di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, telah melancarkan lagu terbarunya yang berjudul “Aku, Kau dan Bintang.” Lagu ini merupakan kolaborasi dengan dua bakat baru yang semakin meningkat naik, Faiz Ruzayn dan YBJ.

Lagu “Aku, Kau dan Bintang” mengisahkan seorang lelaki yang pertama kali jatuh cinta. Dia berharap hubungan dengan kekasihnya akan berkekalan, dan mereka menjadikan bintang di langit sebagai lambang kesetiaan dan keindahan cinta mereka. Namun, hubungan mereka tidak diterima dan terpaksa berpisah, hanya langit dan bintang menjadi kenangan abadi bahawa mereka pernah bersama.

“Istimewanya lagu ini, firstly saya (Dinda) kena rap. Since semua orang mahukan saya ada sebuah lagu rap sendiri, jadi saya harap peminat akan suka lagu ini,” kata Dinda mengenai keunikan lagu ini untuk dirinya. Dia juga merasakan kolaborasinya bersama Faiz Ruzayn dan YBJ membuatkan lagu ini lebih menarik dan patut didengari oleh semua pendengar.

Lirik dan gubahan lagu ini mendapat sentuhan istimewa daripada Faiz Ruzayn dan YBJ sendiri. Faiz berkongsi bahawa inspirasi lagu ini tercetus ketika dia duduk bersendirian dalam keadaan kecewa. Untuk mengubati kekecewaannya, dia menunggang motosikal ke Bukit Ampang untuk mencari bintang bagi mengubati kerinduannya.

“Selepas bertemu YBJ dan menceritakan lagu ini, kami mencipta melodi lagu tersebut. Hasilnya, empat jam kemudian terhasil lah lagu ‘Aku, Kau dan Bintang’,” cerita Faiz mengenai proses penciptaan lagu ini. Proses rakaman bersama Dinda Dania berjalan lancar selama dua hari di studio rakaman.

“Proses untuk merakam lagu ini agak mencabar untuk Dinda sebab ini kali pertama saya merakamkan lagu rap untuk lagu terbaru saya sendiri,” ujar Dinda mengenai cabaran yang dihadapinya. “Selalunya saya hanya menyanyikan lagu rap secara live tetapi hanya cover lagu orang, so agak berbeza bagi Dinda kali ini,” tambahnya lagi.

Sepanjang proses rakaman, Dinda Dania, Faiz Ruzayn, dan YBJ sentiasa bertukar pandangan dan mencurahkan idea masing-masing. Walaupun mengambil masa agak lama untuk mendapatkan gaya dan penyampaian yang sesuai, hasil akhirnya sangat baik dan mempunyai magis tersendiri.

Menurut Ketua Muzik & Kandungan Rocketfuel Entertainment, Syakireen Othman, pihak Rocketfuel percaya penampilan terbaru Dinda dengan genre lagu sebegini diharapkan dapat mendekatkan lagi dirinya dengan peminat yang setia mengikuti perkembangannya.

Selain itu, lagu “Aku, Kau & Bintang” juga bakal menjadi runut bunyi (OST) untuk sebuah drama bersiri terbaharu yang dibintangi oleh Mierul Aiman dan finalis Dewi Remaja 2024, Arabella Ellen. Lagu ini dijangka akan menambahkan lagi emosi dan daya tarik kepada drama tersebut, memikat hati penonton dengan alunan melodinya yang indah.

Anda boleh terus strim terus lagu Aku, Kau & Bintang versi Dinda Dania di semua digital platform seperti Apple Music, Spotify, Deezer, KKBox, YouTube dan YouTube Music serta berpeluang menghasilkan kandungan video pada TikTok dan Instagram Reels menggunakan lagu ini.

Manakala, video muzik rasmi lagu ini akan dilancarkan melalui saluran YouTube Recketfuel Entertainment tidak lama lagi.

Tajuk Lagu: Aku Kau & Bintang versi Dinda Dania

Penyanyi: Dinda Dania, Faiz Ruzayn, YBJ

Penulis Lirik: Faiz Ruzaini & Jeffrey Affandy

Komposer: Faiz Ruzaini & Jeffrey Affandy

Producer: BABYF4CE

CATEGORIES
TAGS
Share This