DOMS TERIMA ANUGERAH KECEMERLANGAN PENDOKONG PERKONGSIAN DATA NASIONAL (SEKTOR AWAM) SEMPENA DIGITAL ECONOMY INDUSTRY APPRECIATION AWARD OLEH MDEC

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerima Anugerah Kecemerlangan PendokongPerkongsian Data Nasional (Sektor Awam) sempena Majlis Digital Economy Industry Apperciation Award oleh MDEC. Anugerah itu telah disampaikan oleh YB Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Haji Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia kepada YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia di KLCC.

Anugerah ini merupakan penghargaan dan menjadi pembakar semangat buat seluruh warga kerja DOSM agar terus berdedikasi dalam melaksanakan tugas penyampaian statistik yang berkualiti kepada orang awam meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk pandemik COVID-19.

DOSM sebagai agensi utama dalam urus tadbir data negara menyediakan sistem maklumat statistik yang bermutu, relevan serta capaian dalam bentuk real time. Selain itu, DOSM memastikan produk dan perkhidmatan yang disediakan berorientasikan pengguna dan bertepatan masa dengan membekalkan data kepada agensi pusat untuk pembentukan dasar perancangan pembangunan dan pentadbiran negara.

Sehingga 1 Julai 2022, Portal DOSM, www.dosm.gov.my telah dilawati seramai 5,734,113 pelawat. Manakala, sebanyak 1,166 penerbitan statistik (109 Bulanan, 32 Suku Tahunan, 200 Tahunan dan 825 Ad Hoc) serta 125 stats alert telah dikeluarkan.

Pada 27 Jun 2022, YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) telah merasmikan StatsDW 2.0 yang ketika ini telah mengandungi 501 set data dan 13 hab data. Ia merupakan salah satu inisiatif gerbang data oleh DOSM untuk mengumpul dan menyimpan semua data yang diperoleh sama ada daripada survei atau banci, daripada penyepaduan integrasi sistem, atau daripada data pentadbiran agensi atau
organisasi lain, ke dalam gudang data untuk memudahkan pengurusan, tadbir urus, perkongsian dan penyebaran data serta metadata yang cekap di dalam satu platform.

DOSM juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak sehingga meletakkan kedudukan DOSM di peringkat antarabangsa dengan mematuhi statistik rasmi dan amalan terbaik yang ditetapkan oleh UN Fundamental. Dengan ini, DOSM sentiasa mengalu-alukan maklum balas daripada orang awam berkenaan dengan perkhidmatan yang kami sediakan untuk terus memberikan yang terbaik.

CATEGORIES
2.7k
Whatsapp40.8k