DRAMA MENARIK TV3 MENGISI SLOT SAKURA DI BULAN JULAI 2022

Slot Sakura TV3 menjayajikan drama-drama popular dari Malaysia dan Filipina seperti Legal Wives, Republik Gombak dan To Have & To Hold, dan kini sudah tiba giliran drama bersiri ‘Nenda’ lakonan mantap oleh Fauziah Nawi, Didie Alias, Kuna Muzani dan Mandy Chong menemui penonton TV3 pada setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 6.00 petang dan strim secara langsung di www.tonton.com.my

Hajah Aminah (Fauziah Nawi) atau dikenali sebagai Nenda di Kampung Berangan menjalani rutin harian biasa dengan cucu-cucunya, Raz, Hana dan Hans. Nenda mempunyai kebun yang luas, kedai runcit dan rumah sewa. Sikap Nenda yang suka menolong penduduk kampung dalam kesusahan amat disenangi oleh semua orang. Nenda juga menjadi tempat mereka mengadu pelbagai masalah termasuklah ketua kampung, Haji Hadari (Rosli Rahman Adam) yang mempunyai persengketaan lama dengan Pak Andak (Shaharuddin Thamby). 

Ketua Kampung Berangan didatangi dengan pelbagai masalah seperti pemilihan imam di masjid, kemunculan kelibat nenek kebayan, kes pecah rumah, kes bau busuk, misteri van putih dan sebagainya. Dalam kekecohan itu, Nenda bertemu semula dengan kawan-kawannya yang sudah lama terputus hubungan, iaitu Hajah Maisarah ataupun Grandma (Didie Alias), Wan Intan ataupun Mek Wan (Kuna Muzani) dan Ah Cheng ataupun Po Po (Mandy Chong). 

Ketika penduduk kampung terus diganggu dengan masalah baharu, Nenda dan 3 sahabat baiknya membuat keputusan untuk menubuhkan kumpulan rahsia bagi menyiasat kes – kes yang tak habis di kampung. Pada mulanya, Raz, Qaisara, Bestiei dan Kak Kem tidak bersetuju kerana ia bakal mengundang bahaya. Akhirnya, mereka akur kerana Haji Hadari kurang berkemahiran dalam menguruskan Kampung Berangan. Hana dan Hans turut menawarkan diri sebagai ahli kumpulan dan menamakan kumpulan rahsia itu sebagai Barisan Tindakan Senyap (BTS). 

Nenda bersyukur bahawa dia dan rakan-rakannya, Hajah Maisarah, Wan Intan dan Ah Cheng disatukan selain berniaga bersama. Sudah terlalu lama mereka berpisah, kini mereka berpeluang untuk melakukan aktiviti bersama-sama di samping dapat menolong penduduk kampung yang memerlukan pekerjaan. Bagaimanakah kumpulan rahsia BTS dapat menyelesaikan masalah dan menaikkan taraf hidup Kampung Berangan? 

Drama bersiri 20 episod ini diterbitkan oleh Saphire Screen Sdn Bhd, diarahkan oleh Harris Fadzillah merupakan idea asal daripada Rozie Rashid serta nukilan skrip oleh Rozie Rashid dan Amka Ahmad. Nenda menggabungkan pelakon-pelakon lama dan baharu seperti Fauziah Nawi, Didie Alias, Kuna Muzani, Mandy Chong, Rosli Rahman Adam, Shaharuddin Thamby, Nabil Aqil, Camelia Natasya dan ramai lagi. 

Jangan ketinggalan untuk menonton Nenda, sebuah drama bersiri komedi yang pasti membuatkan anda tidak kering gusi menontonnya menerusi slot Sakura, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 6.00 petang dan strim secara langsung di www.tonton.com.my

 

CATEGORIES
2.7k
Whatsapp40.8k