DUA PREMIS DISYAKI TEMPAT MELAKUKAN AKTIVITI PENYELEWENGAN MINYAK MASAK BERSUBSIDI DISERBU PENGUAT KUASA KPDN

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam dua (2) serbuan berasingan di Rawang, Selangor pada 2 Ogos 2023.

Serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota Penguat Kuasa KPDN Putrajaya bermula kira-kira jam 6.00 petang itu adalah hasil risikan yang telah dilakukan beberapa hari sebelum operasi dilancarkan

Hasil pemeriksaan ke atas lokasi serbuan pertama iaitu di sebuah premis tanpa nama di Pusat Perdagangan Sri Pagi Sungai Choh, Rawang, Selangor mendapati beberapa individu sedang leka melakukan aktiviti memotong bungkusan minyak masak paket 1kg bersubsidi yang kemudian dipindahkan ke dalam sebuah tangki jenis poly tank.

Modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli minyak masak paket 1kg bersubsidi, kemudian dipindahkan ke dalam sebuah tangki dan dibotolkan semula sebelum dijual mengikut harga terkini pasaran minyak masak bukan bersubsidi.

Dalam satu lagi serbuan berasingan di sebuah premis disyaki menjalankan aktiviti jual beli minyak masak terpakai yang terletak di Kawasan Perindustrian Anugerah Suria, Rawang, Selangor mendapati beberapa individu sedang leka melakukan aktiviti pemindahan minyak masak ke dalam sebuah lori tangki.

Pemeriksaan lanjut ke atas premis itu juga telah menemukan sejumlah minyak masak baharu yang telah siap diproses disyaki akan dijual di pasaran. Modus operandi premis adalah berselindung di sebalik aktiviti jual beli minyak masak terpakai dan berurusniaga dengan barang kawalan iaitu minyak masak tanpa kebenaran.

Hasil serbuan di kedua-dua premis terbabit telah melibatkan rampasan ke atas minyak masak dengan jumlah keseluruhan sebanyak 12,000kg, beberapa peralatan yang digunakan seperti pam bermotor, hos penyambung, gunting besi, telefon bimbit, alat decoder CCTV dan beberapa dokumen perniagaan lain yang akan digunakan bagi tujuan siasatan lanjut. Nilai rampasan bagi kedua-dua kes ini dianggarkan berjumlah RM60,000.00.

Seramai enam (6) lelaki warga tempatan dan sembilan (9) individu, dua (2) daripadanya merupakan wanita, bukan warga tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan.

Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini akan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta mengenalpasti rantaian pengedaran minyak masak terbabit.

KPDN ingin memberi amaran keras terhadap mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan. Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).

Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak masak.

Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi

KPDN ingin memberikan amaran keras kepada semua yang berkaitan dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini. Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di Mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Kementerian juga akan sentiasa menggerakkan anggota penguat kuasanya dan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan serta pemantauan bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibendung daripada terus berleluasa di seluruh Negara.

Masyarakat disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutamanya berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi yang boleh mengakibatkan impak negatif kepada rakyat dan Negara.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut:

  1. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000;
  2. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my;
  3. Call Centre 1-800-886-800;
  4. E-mel (e-aduan@kpdn.gov.my);
  5. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN, dan;
  6. Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245

 

 

 

 

CATEGORIES
2.7k
Whatsapp40.8k