
Dua Rekod Sekaligus! KRU & Icon Entertainment Gempur Malaysia Book of Records
Kejayaan luar biasa Konsert GenKRU 2025 telah mengukir sejarah baharu dalam industri hiburan tempatan apabila menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR). Penganjuran konsert mega selama empat malam berturut-turut di Axiata Arena, Bukit Jalil, bukan sahaja membuktikan keampuhan jenama KRU yang masih utuh selepas lebih tiga dekad, malah mencatat rekod sebagai Most Show in a Single Concerts Series.
Trio adik-beradik ikonik – Dato’ Norman Abdul Halim, Dato’ Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim – menyifatkan pengiktirafan ini sebagai penghormatan buat para peminat yang telah mencetuskan fenomena luar biasa hingga menjadikan konsert tersebut berkembang daripada perancangan asal satu malam kepada empat malam penuh. Persembahan berlangsung pada 3, 4, 10 dan 11 Mei 2025, menyaksikan sambutan luar biasa yang melangkaui jangkaan penganjur.
Dalam pada itu, pihak penganjur, Icon Entertainment (M) Sdn Bhd, turut diraikan dengan pengiktirafan berasingan apabila mencatat rekod Most Concert Tickets Sold Out in an Hour. Sebanyak 8,000 tiket konsert habis dijual dalam tempoh hanya sejam, satu pencapaian luar biasa yang menunjukkan kekuatan sokongan peminat terhadap jenama KRU dan keupayaan pasaran tempatan.
Iman Tang selaku Pengasas Icon Entertainment menyatakan bahawa kejayaan ini tidak hanya mencerminkan kecintaan peminat terhadap muzik KRU, tetapi juga membuktikan bahawa produk seni tempatan mampu mencipta impak besar. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia Book of Records atas pengiktirafan tersebut dan menzahirkan terima kasih kepada kerajaan, khususnya Kementerian Komunikasi, atas komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan seni dan industri hiburan tanah air.
Lebih daripada 30,000 peminat telah hadir menyaksikan konsert epik tersebut, yang turut dimeriahkan dengan kemunculan istimewa artis undangan seperti kumpulan Feminin, Elite dan Adam AF. GenKRU 2025 tidak sekadar menjadi konsert nostalgia, sebaliknya membuktikan bahawa muzik era 90-an dan 2000-an masih mempunyai tempat istimewa di hati rakyat Malaysia, sekali gus menyemarakkan semangat untuk terus memartabatkan seni tempatan ke peringkat lebih tinggi.