‘EJEN ALI 3 DAY OUT’ TERIMA KUNJUNGAN PEMINAT SETIA

Bersiap sedia dan bertindak segera! 80 ejen telah berkumpul dan menyiapkan misi berhujung minggu dengan Ejen Ali menerusi Ejen Ali 3 Day Out anjuran TV3 di Next Gen 1 Utama pada hari Sabtu yang lepas.

Ejen Ali merupakan sebuah siri animasi yang tidak asing lagi di Malaysia dan mempunyai peminat dari pelbagai peringkat umur sehingga menjadi fenomena besar di peringkat global. Lebih mengujakan, Ejen Ali Musim 3 merupakan usahasama penerbitan siri animasi buat julung kali antara Primeworks Studios, sebuah anak syarikat penerbitan kandungan Media Prima, WAU Animation dan Disney+ Hotstar.

Ejen Ali 3 Day Out meraikan 14 keluarga bertuah yang terpilih melalui peraduan media sosial menerusi akaun Instagram rasmi Ejen Ali (@ejen_ali) dan TV3 (@tv3malaysia) dimana mereka perlu menyertakan kata kunci yang telah dipaparkan ketika tayangan episod pertama Ejen Ali musim 3 pada 25 Jun 2023.

Antara aktiviti menarik yang telah diadakan adalah permainan taman tema, penampilan maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia dan upacara pemotongan kek. Selain itu, pertandingan mewarna dan pop kuiz juga telah diadakan untuk peminat cilik Ejen Ali dimana pemenang telah membawa pulang barangan rasmi Ejen Ali. Tayangan episod 4 Ejen Ali Musim ke-3 juga telah ditayangkan bagi menghiburkan para peserta dan ibu bapa yang hadir.

Shaharul Azren bin Yahya, 39, merupakan salah seorang bapa peserta berkongsi pengalaman, “Perjalanan jauh saya sekeluarga dari Kulim, Kedah untuk ke program ini adalah sangat berbaloi kerana kami seronok melakukan aktiviti seperti permainan taman tema Next Gen 1 Utama dan juga tayangan episod 4 Ejen Ali musim 3. Program seperti ini perlu lebih kerap diadakan kerana ia dapat merapatkan lagi hubungan antara ibu bapa dan anak selain daripada bergembira. Terima kasih TV3 selaku penganjur kerana telah memilih keluarga kami untuk menyertai program ini.”

Antara tetamu yang turut memeriahkan program adalah Usamah Zaid Yasin, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation dan Pengarah Ejen Ali, Fuad Md Din, Ketua Pegawai Penjenamaan WAU Animation dan Pengarah Seni Ejen Ali, serta Ida Rahayu Yusoff, pelakon suara Ejen Ali.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun TV3 yang ke-39, peminat setia dapat menyaksikan Ejen Ali Musim 3 yang sedang bersiaran pada setiap hari Ahad, pada pukul 11.00 pagi di TV3. Ejen Ali Musim 3 mengisahkan Ejen Ali dan rakan-rakannya Ejen muda dari Akademi MATA disatukan semula dalam sebuah pertandingan rahsia di Arena MATA. Pertandingan ini turut disertai oleh beberapa orang rekrut Akademi MATA yang dilatih oleh agensi perisik antarabangsa. Ali tekad untuk mengikuti jejak langkah ibunya untuk menjadi seorang Ejen MATA yang hebat, namun pelbagai halangan terpaksa diharunginya setelah dipisahkan dari gajet IRIS. Sementara itu, Ejen Rizwan kembali untuk membongkar ancaman baharu yang berpotensi menjatuhkan bandaraya Cyberaya.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia.

CATEGORIES
Share This