
Ejen Ali Kembali! Teroka Fasiliti MATA & Dunia Cyberaya Seperti Tak Pernah Sebelum Ini
Aksi kembali memuncak apabila Ejen Ali The Movie 2 bersedia menggegarkan pawagam dengan pendekatan yang jauh lebih berani, matang dan sinematik. Kali ini, penonton bukan sahaja disajikan dengan jalan cerita yang mendebarkan, tetapi juga visual yang luar biasa canggih hasil evolusi teknologi animasi tiga dimensi oleh WAU Animation. Dari segi rekaan seni sehinggalah ke pergerakan animasi watak, filem ini menyerlahkan lonjakan besar dari filem terdahulu – menjadikannya satu penanda aras baharu untuk filem animasi tempatan.
Terinspirasi daripada genre ‘spy-fi’ – gabungan antara filem perisikan dan fiksyen sains – filem ini membawa penonton menerokai sisi tersembunyi dunia Cyberaya yang selama ini hanya digambarkan secara permukaan. Sekuel ini membuka lebih banyak pintu kepada struktur organisasi agensi rahsia MATA, termasuk fasiliti teknologi canggih, hierarki kompleks, dan fungsi sebenar setiap cabang operasi. Penonton akan didedahkan kepada dimensi baharu yang jauh lebih mendalam, menjadikan pengalaman tontonan lebih imersif.
Salah satu tarikan utama kali ini ialah penampilan pertama sut baharu yang dinamakan Satria. Dicipta khusus oleh MATA, sut ini bukan sahaja memperlihatkan gabungan teknologi tinggi dengan warisan budaya tempatan, malah menjadi simbol kekuatan dan identiti. Reka bentuknya terinspirasi daripada elemen pakaian pahlawan Melayu seperti tengkolok dan butang baju Melayu, sekaligus memberi nuansa unik yang membezakan Ejen Ali daripada watak animasi perisik lain.
Dari segi lokasi, penonton akan dibawa jauh meninggalkan kawasan Pinggiran yang dikenali dalam filem pertama. Kali ini, perjalanan visual merangkumi pelbagai tempat baharu seperti Teras Tekno – pusat operasi ejen Tekno yang menjadi nadi pembangunan teknologi dalam naratif filem. Babak di kawasan laut dalam juga dijangka menjadi sorotan utama, dengan tahap kerumitan animasi yang tinggi untuk menggambarkan simulasi air dan pertarungan di bawah permukaan laut secara realistik dan dinamik.
Penerapan elemen visual dalam filem ini tidak dilakukan secara sembarangan. Setiap aspek visual direka bukan sahaja untuk menarik perhatian, tetapi juga untuk memperkukuh tema dan emosi yang dibawa dalam setiap babak. Menurut Safuan Shahril, Ketua Artis Aset dan Penyelia Teknikal di WAU Animation, pencarian konsep visual fasiliti ibu pejabat MATA mengambil masa sehingga ke pertengahan produksi sebelum pasukan akhirnya menemui arah yang paling sesuai. “Inilah MATA,” katanya – menandakan keyakinan terhadap identiti visual yang berjaya dibentuk.
Saksikan sendiri bagaimana Ejen Ali kembali dengan misi terbesarnya – dalam satu produksi animasi yang menjanjikan aksi, emosi dan keindahan visual luar biasa. Bermula 22 Mei 2025, jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah dunia animasi Malaysia.
Tonton treler rasmi Ejen Ali The Movie 2 di sini:
👉 https://youtu.be/5nD1LWmAeKc?si=xPVusg_hDpqzHoTQ
Gunakan tanda pagar berikut untuk berkongsi pengalaman anda:
#EjenAliTheMovie2 #TayanganAwalPeminat #MisiPawagam #AksiAnimasi #EATM2 #AniMy