‘Enigma’ Bob Yusof Beri Sentuhan Emosi Buat Peminat

Bob Yusof, yang lebih dikenali sebagai Bob Mesra dalam industri muzik tempatan, kini mempersembahkan single terbaharunya yang berjudul ‘Enigma‘. Ini merupakan single pertama beliau bersama Alternate Records dan juga lagu tema untuk drama “Dua Darjat” yang sedang disiarkan di slot Akasia, TV3. Anda boleh menonton “Dua Darjat” setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7.00 malam di TV3, atau strim episod baharu 24 jam lebih awal di Tonton melalui www.tonton.com.my, serta aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play atau App Store.

Bob memulakan kerjayanya melalui pertandingan realiti televisyen dan terkenal dengan kekuatan vokalnya dalam lagu-lagu balada dan etnik. ‘Enigma‘ menandakan kembalinya Bob Yusof untuk mengubat rindu peminat yang merindukan suaranya yang unik. Ini merupakan karya kedua Bob Yusof bersama Alternate Records selepas kolaborasi pertama mereka dengan lagu ‘Tera Tari’ bersama artis dari Singapura.

Lagu ‘Enigma‘ dicipta oleh Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, dengan lirik ditulis oleh Ikhwan Fatanna sendiri. Lagu ini adalah sebuah balada yang penuh emosi dan melodi yang indah, yang mengiringi jalan cerita drama “Dua Darjat“. Lebih dari sekadar lagu tema biasa, ‘Enigma‘ menggambarkan kisah cinta tragis antara dua insan yang terhalang oleh jurang perbezaan status. Dengan alunan melodi yang mendayu, Bob berjaya membawa pendengar menyelami pergolakan hati dari impak buruk akibat mudah mengalah dalam percintaan.

Genre balada, yang dianggap sebagai makanan jiwa kepada Bob Yusof, menjadi pilihan komposer dan penulis lirik, Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh. Kolaborasi ini telah lama dinantikan oleh kedua-dua pihak, akhirnya berhasil direalisasikan oleh Ikhwan Fatanna dengan sentuhan lirik dan melodi yang mampu menggetarkan jiwa pendengar. Lagu ini bukan sahaja memenuhi harapan Bob Yusof, tetapi juga memperkukuhkan reputasinya sebagai penyanyi balada terkemuka dalam industri muzik tempatan.

Bob meluahkan rasa teruja yang luar biasa setelah mendengar demo lagu ‘Enigma’ buat pertama kalinya.  “Lagu ini benar-benar “wow” kerana susunan melodinya penuh dengan cabaran. Sesi rakaman hanya mengambil masa dua jam berkat kerjasama dan saling bertukar idea untuk memperindah karya ini. Pengalaman bekerjasama dengan komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh juga amat  menyeronokkan. Banyak ilmu dan idea baharu yang dapat saya pelajari dari mereka. Jika diberi peluang lagi, saya pasti akan bekerjasama dengan gabungan dan berharap dapat menyanyikan lebih banyak lagu ciptaan mereka.”

‘’Harapan saya sangat tinggi agar lagu ini mendapat tempat di hati peminat dan dapat pergi jauh, tersenarai dalam carta-carta muzik, stesen radio di Malaysia, Singapura, Brunei, malah Indonesia, dan mungkin layak ke Anugerah Juara Lagu (AJL). Kepada peminat, dengarkanlah lagu ini kerana ia berbeza daripada lagu-lagu saya sebelum ini. Dari segi susunan muzik, ia sangat segar dan mudah didengar.” tambah Bob. 

Keterujaan Bob semakin bertambah apabila mendapat sokongan dan pujian dari rakan-rakan artis seperti Khai Bahar, Syamel, Marsha Milan, Mila Jirin, Mimi Fly dan Elly Mazlein yang telah meninggalkan kata-kata semangat dan komen positif  didalam kiriman mesej di media sosialnya. “Terima kasih tidak terhingga kepada rakan-rakan artis yang telah menyokong saya. Kata-kata semangat dan komen positif mereka amat bermakna dan memberikan saya dorongan untuk terus berkarya dan terus berusaha memberikan yang terbaik dalam bidang muzik,” ujar Bob dengan penuh rasa syukur.

Sebagai komposer ‘Enigma’, Ikhwan Fatanna berkongsi bagaimana tercetusnya idea mengarap lagu ini, “Idea datang ketika pihak produksi drama Dua Darjat inginkan konsep lagu runut bunyi yang sedih dan sesuai dengan jalan cerita drama tersebut.  Saya pun mula mengarang dengan membayangkan sebuah hubungan yang tidak direstui keluarga kerana perbezaan darjat dan kedudukan. Mesej lagu ini adalah untuk memilih hubungan yang sesuai dengan personaliti dan keadaan diri kita. Jangan biarkan diri kita dihukum dan dihina hanya kerana kita insan biasa. Setiap manusia ada nilai dan harga diri,”

Ikhwan Fatanna menambah apabila ditanya mengenai Bob Yusof  “Bob seorang artis yang merendah diri dan mudah bekerjasama. Dengan vokal mantap yang penuh jiwa, Bob sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam setiap lagu yang dinyanyikan. Keunikan Bob terletak pada kekuatan lontaran vokalnya yang memukau dan mampu membuai jiwa pendengar.”

Jangan lepaskan peluang untuk mendengar lagu ‘Enigma’ nyanyian Bob Yusof yang telah mula bergema di pelbagai aplikasi dan platform penstriman dalam talian. Ayuh saksikan Dua Darjat menerusi slot Akasia, setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7.00 malam di TV3 dan strim episod baharu 24 jam lebih awal melalui Tonton di www.tonton.com.my , muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok. 

CATEGORIES
TAGS
Share This