Ernie Zakri Dipaparkan di Billboard Times Square dan Lancar Versi Piano ‘Masing Masing

Ernie Zakri Dipaparkan di Billboard Times Square dan Lancar Versi Piano ‘Masing Masing

Penyanyi bersuara lunak, Ernie Zakri, sekali lagi memukau peminat dan pencinta muzik tanah air dengan pelancaran semula lagu hit beliau berjudul Masing Masing, kali ini dalam versi piano yang penuh emosi dan intim.

Lagu yang menampilan kolaborasi Ernie Zakri dan Ade Govinda itu berjaya mencuri perhatian ramai dengan susunan muzik yang penuh tenaga kini diberi nafas baru melalui interpretasi yang lebih lembut dan menyentuh hati.

Versi piano Masing Masing ini menampilkan kerjasama antara Ade Govinda dan Nabila V selaku penulis, komposer Ade Govinda sendiri dan diterbitkan oleh William Chow. Versi ini menonjolkan kelunakan vokal Ernie Zakri yang penuh penghayatan, memancarkan emosi yang mendalam dari setiap bait lirik yang disampaikan. Dengan susunan muzik minimalis yang hanya diiringi oleh piano, pendengar dapat merasai keindahan sebenar vokal beliau serta mesej di sebalik lagu ini.

Menurut Ernie, Masing Masing versi piano ini adalah hadiah istimewa buat peminat yang selalu menghargai keindahan lirik dan melodi dalam kesederhanaan.

“Saya mahu menonjolkan rasa asli dan kejujuran lagu ini, tanpa sebarang elemen muzik yang mengganggu. Mempersembahkan lagu ini dalam versi piano, ia memberikan peluang kepada pendengar untuk merasai keindahan tertulis dalam banyak dimensi. “Saya percaya bahawa cara yang paling murni untuk menyampaikan karya seni adalah melalui pengurangan hiasan yang tidak perlu, membiarkan lirik dan melodi berbicara dengan sendirinya.

“Dalam setiap nota yang dimainkan, ada kenangan dan emosi yang terukir, menjadikan pengalaman mendengar lebih intim dan mendalam. Dengan pendekatan yang minimalis ini, saya berharap dapat membawa pendengar merasai inti pati sesebuah lagu suatu perjalanan perasaan yang tulus dan menyentuh hati,” katanya.

Sebelumnya, lagu Masing Masing turut dirakam dalam versi tradisional yang mana turut mendapat reaksi positif daripada penggemar muzik.

Menariknya, lagu Masing Masing yang menjadi single pertama daripada album Aura yang dilancarkan pada November tahun lalu itu berjaya mencetuskan fenomena luar biasa sehingga ke Indonesia.

Terbaharu, lagu ini berjaya memenangi kategori Lagu Paling Boom Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH36) yang lalu. “Sudah pasti saya sangat gembira, bersyukur dan sebenarnya saya bersama dengan Ernienators, kami memang ada satu hubungan yang sangat akrab, jadi ini takkan terjadi tanpa sokongan daripada mereka.

“Mereka yang berhabisan tenaga, masa dan sebagainya untuk mengundi dan Alhamdulillah lagu ini mendapat tempat di hati semua orang, itu yang paling penting dan terima kasih kepada semua yang suka dengar lagu ini, yang menjadikan Masing Masing dalam ‘playlist’ mereka dan juga sebagai lagu tema dalam ‘live’ mereka. Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak. Pencapaian saya di Spotify juga, ini semua terjadi disebabkan lagu Masing Masing.

“Saya tidak pernah terfikir untuk menembusi pasaran Indonesia dan duduk di carta-carta di sana. Ia sesuatu yang luar daripada fikiran saya, tapi tentu saja ia adalah impian. Saya ada sasaran. Jadi, kerja-kerja saya, saya menuju ke arah impian dan ‘goal’ saya. Untuk mencapai semua ini dalam tahun ini, ia sangat mengejutkan juga. Apa pun, saya bersyukur sebab ada pendengar dan peminat yang sentiasa menyokong karya saya.

Ernie Zakri telah mencipta sejarah sebagai artis Malaysia yang dipaparkan dalam senarai main EQUAL Spotify dan telah muncul di carta Billboard sebanyak dua kali. “Pada 17 October ini pula Spotify Billboard di New York City (NYC) juga adalah satu perkara yang sangat besar dalam kerjaya saya. Itu adalah tanda arah baru untuk saya bekerja lebih kuat dan apa yang saya lakukan ini memang khas untuk peminat saya,” katanya.

Berikut pencapaian lagu Masing Masing di platform Spotify;

 

  • Playlist ‘Lagi Viral’
  • Playlist ‘Equal Singapore & Malaysia’
  • Top Songs – Indonesia
  • Top 50 – Indonesia
  • Top 50 Malaysia
  • Viral 50 – Indonesia
  • Top Songs Indonesia #8
  • Top Songs Medan #47
  • Top Songs Jakarta #54
  • Top Songs Makassar #56
  • Top Songs Bandung #62
  • Top Songs Semarang #78
  • Viral Songs Global #80
  • Top Songs Surabaya #97

Malah, Ernie Zakri menjadi artis wanita tertinggi Malaysia yang berjaya meraih ‘Spotify Monthly Listeners’ seramai 3.1 juta pendengar. Selain itu, lagu ini berada di kedudukan tangga ke-8 dalam senarai Spotify Top 50 Indonesia. Tambahan itu, Ernie Zakri juga adalah artis wanita yang berada di kedudukan No-1 paling lama di Carta RIM selama 23 minggu.

CATEGORIES
TAGS
Share This