Eropah benua paling teruk diserang Covid-19

Eropah pula menjadi benua paling terjejas dengan 77,129 kematian daripada keseluruhan 932,205 kes didiagnosis, setakat ini.

Itali mendahului dengan 19,899 kematian, Sepanyol (16,972), Perancis (14,393) dan Britain (10,612).

Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) muncul negara paling terkesan ketika ini dengan mencatatkan jumlah tertinggi korban dan jangkitan, iaitu masing-masing 21,489 serta 546,874 kes.

China pula semakoin menunjukkan peningkatan kes import apabila merekodkan angka harian tertinggi bagi kes import Covid-19 dengan 97 jangkitan baharu disahkan.

Sekurang-kurang 112,510 pesakit wabak itu maut di lebih 190 negara dan wilayah, menurut penjumlahan AFP berdasarkan sumber rasmi, setakat kira-kira jam 7 malam tadi.

Sejumlah 1,824,950 kes jangkitan telah dilaporkan di seluruh dunia sejak virus itu tercetus di China pada Disember tahun lalu.

AFP turut melaporkan amaran Bank Dunia bahawa Asia Selatan sedang berdepan ancaman ekonomi terburuk dalam tempoh 40 tahun, sekali gus memberi risiko terhadap pencapaian usaha berdekad-dekad menangani masalah kemiskinan.

Pertumbuhan tahun ini diramalkan untuk rantau itu menjunam kepada 1.8 hingga 2.8 peratus, berbanding unjuran 6.3 peratus sebelum pandemik, dengan sekurang-kurang separuh daripada negara terbabit berdepan ‘kemelesetan teruk’.

Bagi menyekat penularan wabak itu, Lebanon melanjutkan perintah berkurung hingga 26 April ini, manakala Syria pula melanjutkan penutupan sekolah dan universiti hingga 2 Mei.

Argentina juga melanjutkan perintah berkurung hingga 26 April ini di bandar besar, namun mempertimbangkan pelonggaran langkah itu di kawasan luar bandar.

CATEGORIES

COMMENTS

2.7k
Whatsapp40.8k