FENOMENA EJEN ALI – RAIH 1.5 JUTA TONTONAN, BERSIAP 22 MEI!

FENOMENA EJEN ALI – RAIH 1.5 JUTA TONTONAN, BERSIAP 22 MEI!

Sejak tayangan pertama Ejen Ali The Movie, peminat setia animasi tempatan ini tidak pernah berhenti menantikan sambungannya. Kini penantian itu terjawab dengan pelancaran treler rasmi Ejen Ali The Movie 2, dan sambutannya benar-benar luar biasa apabila berjaya meraih lebih 1.5 juta tontonan dalam tempoh hanya 12 jam di pelbagai platform digital. Angka ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan jenama Ejen Ali, malah membuktikan bahawa pengaruhnya dalam industri animasi tempatan dan serantau masih sangat kukuh dan relevan.

Treler berdurasi 2 minit 45 saat itu memperlihatkan peningkatan ketara dari segi kualiti visual dan penceritaan. Dengan kemunculan sut baharu Satria, peminat mula berteka-teki mengenai misi terbaharu Ali yang kelihatan lebih mencabar, penuh emosi dan berisiko tinggi. Konflik yang dibayangkan tampak lebih kompleks, dengan ancaman teknologi yang lebih canggih dan musuh yang lebih menggerunkan. Reaksi peminat di media sosial juga sangat positif, dengan ramai meluahkan rasa teruja dan bangga terhadap kemajuan animasi tempatan. Antara komen yang mendapat perhatian termasuklah, “Meremang tengok trailer ni!”, “Umur dah 24 pun masih setia dengan Ejen Ali,” dan “Bangga jadi rakyat Malaysia – animasi kita dah world-class!”

Lebih daripada sekadar sebuah sekuel, Ejen Ali The Movie 2 dilihat sebagai simbol evolusi animasi Malaysia. Hasil kerjasama Primeworks Studios, WAU Animation dan Komet Productions, filem ini memberi harapan besar kepada industri animasi tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa. Gabungan jalan cerita yang matang, visual yang mengagumkan dan nilai produksi bertaraf tinggi menjadikan filem ini sebagai sebuah karya yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menyentuh emosi penonton dari pelbagai peringkat umur.

Ejen Ali The Movie 2 dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 22 Mei 2025. Dengan pencapaian hebat trelernya yang baharu dilancarkan, dijangka filem ini akan mencetuskan satu lagi fenomena besar dalam dunia animasi Malaysia. Bagi para peminat, inilah masa untuk bersedia menyertai misi terbaharu yang lebih hebat, lebih mendebarkan dan pastinya lebih emosional bersama Ejen Ali.

CATEGORIES
TAGS
Share This