Filem ‘A Legend’ Jackie Chan Bukti Masih Relevan dengan Aksi dan Seni Bela Diri
Bintang legenda Hong Kong, Jackie Chan, yang terkenal dengan aksi memukau dan seni bela diri yang hebat, sekali lagi membuktikan dirinya masih relevan pada usia 70 tahun. Jackie Chan kembali menggegarkan industri filem dengan naskhah terbaharu berjudul “A Legend.”
Sekuel kepada filem “The Myth” yang diterbitkan pada 2005 ini bakal memasuki pawagam tempatan tidak lama lagi. Filem “A Legend” menampilkan aksi seni bela diri yang lebih mencabar dan memukau, menjadikan karya ini antara yang paling dinanti-nantikan tahun ini.
Dengan unsur pengembaraan dan fantasi yang diselitkan, “A Legend” dilihat berpotensi menjadi salah satu naskhah terbaik tahun ini. Kelainan yang ditampilkan berbanding filem aksi lain menambahkan lagi daya tarikan filem ini.
Jika dibandingkan dengan beberapa filem aksi lain yang pernah dijayakan oleh Jackie Chan, “A Legend” tidak dinafikan kehebatannya. Filem ini menampilkan sisi berbeza daripada aktor tersohor yang telah enam dekad mengukir nama dalam industri perfileman.
Penonton di China memuji naskhah ini selepas terpukau dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang digunakan untuk menjadikan wajah Jackie Chan kelihatan lebih muda berbanding usia sebenarnya. Kehebatan filem “A Legend” terus dirasai apabila penonton tempatan tidak sabar untuk menontonnya selepas terpukau dengan trailer yang dimuat naik di media sosial.
“A Legend,” yang diarahkan oleh Stanley Tong, pengarah “The Myth,” berkisarkan tentang Profesor Fang, lakonan Jackie Chan, seorang pakar arkeologi. Profesor Fang menyedari bahawa tekstur pada artifak yang ditemui oleh pelajarnya semasa ekspedisi Glasier sangat mirip dengan loket jed yang pernah dilihat dalam mimpinya. Loket itu menghubungkan alam mimpi dengan realiti.
Dengan penuh rasa ingin tahu, Profesor Fang mengetuai pasukan penyelidik dalam perjalanan jauh ke Kuil Glasier untuk mencari kebenaran di sebalik impiannya. Mereka memulakan pengembaraan hebat bersama-sama, menghadapi pelbagai cabaran dan keajaiban sepanjang perjalanan.
Filem yang berbahasa Kantonis dan Mandarin ini juga menampilkan barisan pelakon handalan seperti Lay Zhang, Na Zha, Aarif Lee, Li Chen, Peng Xiaoran, dan Zheng Yecheng, yang menambahkan impak dalam pelbagai aspek.
“A Legend,” yang telah ditayangkan secara rasmi di China pada 12 Julai lalu, meraih pelbagai maklum balas positif daripada penonton. Mereka terpukau dengan aksi serta lakonan yang ditampilkan oleh Jackie Chan. Filem ini bukan sahaja menonjolkan kemahiran seni bela diri Jackie Chan yang tak tertandingi, tetapi juga membawa penonton ke dunia pengembaraan dan fantasi yang mempesonakan.