
GAYONG: Legasi Pendekar Agung Menjelma di Pawagam 8 Mei Ini
Sejak dilancarkan secara rasmi pada September 2024, filem Gayong telah mencuri perhatian sebagai antara karya tempatan yang paling dinantikan. Filem ini membawa inspirasi daripada kisah sebenar pengasas Silat Seni Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR), seorang tokoh penting dalam dunia persilatan Melayu.
Menambahkan keterujaan, pelakon prolifik tanah air, Beto Kusyairy dipertanggungjawabkan membawakan watak utama sebagai ADMAR. Turut membintangi filem ini ialah nama-nama besar seperti Syafie Naswip, Nabila Huda, Yayan Ruhian dan barisan pelakon berbakat lain.
Selepas menjalani sesi penggambaran di beberapa lokasi termasuk Kuala Lumpur, Sepang dan Tanjung Sedeli, Gayong kini bersedia menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 8 Mei 2025.
Pengarah filem ini, Faisal Ishak menyifatkan Gayong bukan hanya sekadar karya aksi, tetapi juga merupakan wadah untuk mengetengahkan budaya dan warisan Melayu kepada khalayak lebih luas.
“Filem ini bukan sekadar adegan pertarungan semata-mata. Ia sarat dengan makna dan jiwa, memperlihatkan pengorbanan serta falsafah hidup yang terkandung dalam setiap langkah persilatan,” jelas Faisal.
Beliau turut berkongsi cabaran utama sepanjang proses penerbitan ialah mengekalkan keaslian kisah tokoh silat yang disegani itu, tanpa mengabaikan nilai sinematik dan emosi yang mampu menyentuh hati penonton.
“Datuk Meor bukan sekadar pendekar. Beliau adalah seorang pendidik yang mendalami seni dan makna di sebalik setiap gerakan silat. Tanggungjawab kami ialah menterjemahkan roh perjuangan itu ke layar perak dengan penuh hormat,” katanya lagi.
Bagi memastikan keaslian pergerakan silat dalam filem ini, semua pelakon menjalani latihan intensif bersama pengarah aksi terkenal, Yayan Ruhian, serta jurulatih Silat Gayong yang berpengalaman. Latihan ini bukan sekadar untuk memperkemaskan teknik pertarungan, tetapi juga mendidik pelakon tentang nilai dan disiplin yang terkandung dalam seni silat.
“Latihan melibatkan lebih daripada aspek fizikal. Ia bertujuan menyelami semangat dan prinsip yang menjadi teras kepada Silat Gayong,” ujar Faisal.
Dalam masa yang sama, pengarah ini berharap karyanya dapat menjadi tanda penghargaan kepada tokoh silat legenda tersebut yang telah menyumbang besar dalam mewariskan seni bela diri Melayu.
Penerbit Eksekutif filem ini, Khairul Anuar Latip, turut mendedahkan bahawa pihak produksi telah mendapatkan kebenaran dan restu daripada ahli keluarga ADMAR, termasuk anak dan cucu beliau sebelum projek ini dijalankan. Malah, proses penyelidikan telah dimulakan sejak Disember 2023.
Tambahnya, kerjasama erat turut dijalinkan bersama Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) yang diketuai Lt. Jen (B) Dato Pahlawan Mohd Razif Hj Idris dan Setiausaha Agungnya, Akramin Zikri Ali. PSSGM memainkan peranan penting dalam memastikan ketepatan seni dan budaya silat dipaparkan sebaik mungkin, termasuk menghantar wakil ke lokasi penggambaran bagi memberikan tunjuk ajar.
Ketika ditanya tentang cabaran mendatang, Khairul tidak menafikan saingan daripada filem-filem lain, khususnya pada bulan Mei yang padat dengan tayangan baharu. Namun, beliau optimis bahawa Gayong memiliki kekuatan tersendiri.
“Sudah tiba masanya masyarakat kita mengangkat kisah wira tempatan ke tempat yang selayaknya. Saya harap Gayong mendapat sambutan luar biasa dan membangkitkan semangat serta rasa bangga dalam diri penonton terhadap warisan kita sendiri,” kata Khairul penuh harapan.