GEGAR BUKIT BINTANG: BLOOD BROTHERS BAKAR SEMANGAT DENGAN RM62 JUTA!

GEGAR BUKIT BINTANG: BLOOD BROTHERS BAKAR SEMANGAT DENGAN RM62 JUTA!

Blood Brothers: Bara Naga terus mencetus fenomena luar biasa dalam dunia perfileman tempatan apabila berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai juara kutipan box office selama tiga minggu berturut-turut. Dalam tempoh hanya 20 hari tayangan dan tayangan awal, filem aksi epik ini telah mengutip sebanyak RM62 juta, sekali gus meletakkannya dalam senarai kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman Malaysia. Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan buat produksi tempatan, malah membuktikan bahawa filem bergenre aksi terus mendapat tempat di hati penonton tanah air.

Bagi meraikan pencapaian luar biasa tersebut, satu acara gilang-gemilang telah diadakan di lokasi ikonik Bukit Bintang. Pusat tumpuan warga kota dan pelancong ini bertukar menjadi pentas kejutan apabila sebuah papan LED gergasi menayangkan pengumuman khas kutipan RM62 juta secara langsung, mencetus keterujaan dalam kalangan orang awam. Bukit Bintang dipilih sebagai simbol semangat membara yang selari dengan jiwa filem Blood Brothers: Bara Naga itu sendiri — penuh aksi, berani dan tidak pernah padam.

Acara tersebut turut diserikan dengan kehadiran tokoh penting industri perfileman tanah air, Datuk Dr. Yusof Haslam, serta barisan penerbit dan pengarah filem, Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra. Turut memeriahkan malam istimewa itu adalah para pelakon utama yang memainkan peranan besar dalam kejayaan filem ini seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly, Andy Teh, Irfan Zaini, Zamarul Hisham, Ray Dap Dap, Amir Nafis, dan Razib Salimin.

Menambahkan elemen dramatik dan misteri, sebanyak 30 individu berpakaian sut hitam menyerupai pengawal peribadi ‘menguasai’ kawasan acara, mencipta suasana seolah-olah babak dari filem itu sendiri menjadi nyata. Kejutan tersebut bukan sahaja menarik perhatian pengunjung, malah menghidupkan lagi dunia Blood Brothers di tengah-tengah kota. Persembahan akustik oleh Genji Busker yang menyampaikan lagu tema filem, “Bara Jiwa”, mengakhiri malam penuh debaran itu dengan elemen seni yang menyentuh emosi.

Acara yang berlangsung bukan sekadar promosi, tetapi satu pernyataan berani bahawa Blood Brothers: Bara Naga bersedia untuk terus melangkah lebih jauh. Ia turut menerima sokongan padu daripada WOLO Kuala Lumpur yang bertindak sebagai penaja rasmi penginapan buat para artis dan tetamu kehormat. Dalam ucapan penghargaan, Datuk Dr. Yusof Haslam menekankan pentingnya sokongan penonton terhadap industri perfileman tempatan, menyifatkan pencapaian ini sebagai inspirasi buat penggiat seni tanah air.

Kejayaan Blood Brothers: Bara Naga membuktikan bahawa filem aksi tempatan mampu mencetus gelombang besar serta membuka laluan untuk karya-karya yang lebih berani dan berkualiti. Ia juga memperlihatkan keterbukaan penonton Malaysia dalam menerima karya tempatan yang menawarkan pengalaman sinematik bertaraf antarabangsa. Jika anda masih belum menonton filem ini, inilah masanya untuk turut serta merasai debaran dan kehangatan Blood Brothers: Bara Naga — sebuah karya aksi yang bukan sahaja mendebarkan, tetapi juga membakar semangat sinema tempatan!

CATEGORIES
TAGS
Share This