
GenKRU Bersedia Gempakkan Singapura: Fenomena KRU Akan Tiba 26 Jun Ini!
Setelah sekian lama menunggu, KRU akhirnya akan kembali menemui peminat di Singapura dengan konsert sulung mereka, GenKRU Live In Singapore, yang bakal menggamit memori dan mencipta sejarah baru dalam dunia hiburan. Konsert yang akan berlangsung pada 28 Jun 2025 di The Star Theatre ini pastinya akan menjadi sebuah pengalaman luar biasa buat semua penggemar muzik tanah air di Kota Singa.
Sejak penubuhan KRU pada 1992 hingga pengumuman pembubaran mereka pada 2018, KRU telah menjadi ikon muzik Malaysia yang tiada tandingan. Dari lagu-lagu hits mereka seperti “Awas,” “Mengerti,” hingga “Ohh! La!la!,” kumpulan ini telah berjaya merentas zaman dan mengukir sejarah dalam industri muzik tanah air. Kini, dengan GenKRU yang menyatukan kembali Norman, Yusry, dan Edry Abdul Halim, mereka sekali lagi bersatu untuk memberikan satu konsert epik yang bakal menggegarkan Singapura.
Berita mengenai GenKRU Live In Singapore sudah cukup untuk mencetuskan kegembiraan di kalangan peminat. Tiket untuk konsert yang pada awalnya dijadualkan hanya berlangsung pada satu hari di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur, telah terjual habis dalam sekelip mata, memaksa penganjur ICON Entertainment untuk menambah hari konsert. Tiga hari berturut-turut mereka mengadakan konsert di Axiata Arena mencatat sejarah sebagai kumpulan pertama di Malaysia yang melakukannya. Kini, mereka ingin mengulangi kejayaan yang sama di Singapura, memberi peluang kepada peminat di sana untuk merasai sensasi GenKRU secara eksklusif.
Pengumuman mengenai konsert di Singapura ini telah mengundang sambutan luar biasa, dengan tiket yang akan dijual secara berperingkat. GenKRU Live In Singapore dijangka akan menggegarkan The Star Theatre pada 28 Jun 2025, dan bagi mereka yang sudah lama menantikan momen ini, battle tiket pastinya akan menjadi satu cabaran menarik! Para peminat dinasihatkan untuk bersedia dengan maklumat pembelian tiket yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Menurut Iman Tang, pengasas dan pemilik ICON Entertainment, mereka sangat teruja kerana impian untuk membawa GenKRU ke Singapura akhirnya tercapai. “Kami sangat bangga kerana akhirnya dapat membawa konsert ini ke Singapura, memberi peluang kepada peminat di sini merasai kenangan manis bersama KRU,” katanya.
Bagi pihak KRU, mereka tidak menyangka sambutan yang diterima sangat luar biasa. Edry Abdul Halim turut memberi peringatan kepada peminat, “Sampai bertemu Singapura! Kalau nak lagi gerek, jangan lupa ikut dress code yang akan diberitahu dan hafal semua lagu KRU,” katanya, menambah rasa teruja untuk konsert yang bakal berlangsung.
Jadi, buat semua fanatik KRU di Singapura, pastikan anda tidak ketinggalan! Bersiap-siap untuk malam penuh nostalgia, kejutan, dan tentunya lagu-lagu legendaris yang telah menemani perjalanan muzik tanah air. Jangan lupa untuk mengikuti perkembangan terkini mengenai tiket dan butiran acara melalui laman web rasmi.
Butiran Konsert:
-
Artis: KRU
-
Acara: GenKRU Live In Singapore
-
Tarikh: 28 Jun 2025 (Sabtu)
-
Masa: 8 malam
-
Lokasi: The Star Theatre, Singapura
-
Penganjur: ICON Entertainment
-
Tiket: Sistic (www.sistic.com.sg)
-
Harga Tiket:
-
SGD $208 (The Way We Jam)
-
SGD $218 (Mengerti)
-
SGD $228 (Awas)
-
SGD $288 (Ohh! La!la!)
-
SGD $328 (Fanatik)
-
Siap-siap untuk satu lagi fenomena KRU yang tidak akan dilupakan!