
GENKRU LIVE SINGAPURA: Satu Malam, Satu Fenomena, Satu Ledakan!
KRU, kumpulan legenda yang telah menjadi sebahagian daripada evolusi muzik Malaysia sejak 1992, kini bersatu kembali untuk mencipta satu lagi gelombang fenomena. Dengan kehadiran konsert GenKRU yang penuh bersejarah di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang telah mencatatkan jualan tiket habis dalam sekelip mata, kini mereka mahu menawan Singapura pula!
Setelah bertahun lamanya tidak mengadakan persembahan di Singapura, KRU bakal kembali untuk memberi pengalaman tidak terlupakan kepada para peminat di Kota Singa. GenKRU Live In Singapore akan berlangsung pada 28 Jun 2025 di The Star Theatre, Singapura, dan bakal menjadi detik bersejarah buat semua pencinta muzik.
Bukan hanya sekadar konsert, GenKRU Live In Singapore adalah satu penghormatan dan penghargaan buat peminat yang telah menyokong KRU selama ini. Menggabungkan tiga figura utama KRU – Norman, Yusry, dan Edry Abdul Halim – konsert ini dijanjikan akan membangkitkan nostalgia dan membawakan lagu-lagu ikonik mereka yang telah mewarnai kehidupan ramai generasi.
Iman Tang, pengasas dan pemilik ICON Entertainment, mendedahkan rasa teruja dan berbangga apabila impian untuk membawa GenKRU ke Singapura akhirnya menjadi kenyataan. “Kami sangat berbesar hati untuk memberikan satu pengalaman yang istimewa kepada peminat di Singapura. Setelah kejayaan konsert di Kuala Lumpur, kini tiba masanya untuk Singapura pula merasai gelombang muzik legendaris KRU.”
Bagi KRU, kembali ke pentas selepas bertahun lamanya tidak beraksi adalah satu pengalaman yang amat bermakna. Edry Abdul Halim berkata, “Kami berterima kasih kepada peminat yang tidak pernah berhenti menyokong kami. GenKRU Live In Singapore adalah cara kami memberi penghargaan kepada mereka. Pastikan anda datang dengan semangat yang sama dan siap untuk menyanyi bersama kami!”
Jadi, bagi semua fanatik KRU di Singapura, ini adalah peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan. Tiket akan dijual secara berperingkat, dan pastinya, ‘perang tiket’ ini akan menjadi lebih sengit dari sebelumnya! Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan konsert yang bakal mencipta sejarah ini.
Maklumat Acara
Artis: KRU
Acara: GenKRU Live In Singapore
Tarikh: 28 Jun 2025 (Sabtu)
Lokasi: The Star Theatre, Singapura
Masa: 8 malam
Penganjur: ICON Entertainment
Tiket: Sistic
Laman Web: www.sistic.com.sg
Harga Tiket:
SGD $208 (The Way We Jam)
SGD $218 (Mengerti)
SGD $228 (Awas)
SGD $288 (Ohh! La!la!)
SGD $328 (Fanatik)
Jadi, bagi peminat muzik, bersiap-siaplah untuk menyaksikan satu lagi babak bersejarah dalam dunia muzik Malaysia. Dengan penuh kehangatan dan semangat yang membara, GenKRU Live In Singapore akan menjanjikan pengalaman yang tidak akan dilupakan!