Hael Husaini & Nadeera Zaini Harumkan Nama Malaysia di Anugerah Televisyen Asia Ke-29
Dua bintang Malaysia di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, Hael Husaini dan Nadeera Zaini, mencipta detik bersejarah di Anugerah Televisyen Asia ke-29 (29th Asian TV Awards) yang berlangsung pada 29 dan 30 November 2024 di Jakarta, Indonesia. Persembahan mereka bukan sahaja memukau penonton di Asia tetapi juga berjaya menarik perhatian Indosiar dan pihak penganjur, yang meminta persembahan tambahan pada malam kedua.
Awalnya, Hael dan Nadeera dijadualkan mempersembahkan dua lagu sahaja. Namun, persembahan mereka pada malam pertama berjaya meninggalkan impak besar sehingga pihak Indosiar dan penganjur memohon mereka tampil sekali lagi pada malam utama. Setelah berbincang, Rocketfuel Entertainment bersama Hael dan Nadeera bersetuju menambah dua lagu, iaitu Kelentang Kelentong dan Bukan Cinta Biasa, sebagai persembahan ketiga.
Pada malam pertama, Hael memukau ribuan penonton dengan lagu popular seperti Jampi, diikuti dengan Diam dan Kelentang Kelentong pada malam kedua. Karisma dan tenaga Hael di atas pentas berjaya memikat penonton di lokasi serta jutaan peminat yang menyaksikan siaran langsung melalui Indosiar dan aplikasi Vidio, dengan anggaran tontonan hampir 500 juta orang.
Nadeera Zaini turut memukau dengan lontaran vokalnya yang mantap, mempersembahkan lagu klasik seperti Nirmala dan Bukan Cinta Biasa. Lagu hit beliau, Bukan Lagi Kita, yang menjadi runut bunyi untuk drama akan datang Curang Tanpa Niat, juga mendapat sorakan gemuruh, menarik perhatian penonton serantau.
“Saya amat terharu dengan penghormatan ini. Pada mulanya, hanya dua lagu dijadualkan, tetapi diminta membuat persembahan tambahan adalah sesuatu yang luar biasa. Kami bangga mewakili Malaysia dan berkongsi budaya serta muzik kami di pentas antarabangsa”, luah Hael dengan penuh kesyukuran.
Nadeera turut berkongsi pengalamannya, “Sambutan yang luar biasa daripada penonton sangat bermakna. Kembali ke pentas malam kedua atas permintaan penganjur adalah satu penghormatan besar. Sokongan peminat dari Malaysia dan serantau memberi semangat kepada kami untuk terus berkarya dan mengharumkan nama Malaysia.”
Persembahan mereka bukan sahaja mendapat tepukan gemuruh di studio tetapi juga pujian daripada media antarabangsa serta penggiat seni dari pelbagai negara yang hadir. Dengan hampir 500 juta penonton di seluruh Asia, kehadiran mereka di Anugerah Televisyen Asia ke-29 mencipta sejarah dan membuka laluan untuk peluang baharu dalam industri hiburan.
Acara yang berprestij ini turut dihadiri selebriti Asia seperti Luna Maya, Raffi Ahmad, Tony Gapa, Robby Purba, dan Louise Hesse sebagai pengacara, bersama bintang popular lain seperti Lesti Kejora, Wulan Guritno, Rina Nose, dan Putri Ariani.
Anugerah Televisyen Asia merupakan acara tahunan yang mengiktiraf pencapaian terbaik dalam industri televisyen Asia, dengan penyertaan lebih 20 negara, meliputi pelbagai kategori termasuk drama terbaik, pelakon terbaik, pengarah terbaik, dan persembahan muzik terbaik.