‘Hasrat’ Amir Jahari Juara AJL 38
Anugerah Juara Lagu 38 (AJL 38) menjadi momen yang sangat ikonik bagi Malaysia dengan kemenangan lagu “Hasrat” yang menciptakan gelombang emosi di seluruh negara. Karya yang penuh dengan emosi dan mampu menyentuh hati penonton ini diciptakan sepenuhnya oleh Amir Jahari, yang juga menjadi penyanyi utama dalam lagu tersebut.
Anugerah berprestij ini telah berjaya mencapai 6.4 juta tontonan TV yang menunjukkan peningkatan sebanyak 13% berbanding dengan AJL 37 sepanjang siaran langsungnya di TV3 pada 3 Mac 2024 bermula pukul 9.00 malam. Capaian tontonan TV tersebut juga merupakan rekod yang tertinggi sejak 2021. Jumlah tontonan menerusi strim langsung secara eksklusif di www.tonton.com.my mahupun aplikasi Tonton pada 3 Mac 2024 juga telah mencatat peningkatan sebanyak 153% jumlah jam tontonan di Tonton. Capaian menerusi platform media sosial turut menunjukkan peningkatan sebanyak 39.3% dengan catatan jumlah 3.2 billion dan sohor di media sosial selama 3 hari. (sumber: Nielsen, Tonton & Meltwater).
Menurut Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, “AJL 38 berjaya mencapai matlamat sebagai AJL paling ikonik dalam penganjurannya untuk memartabatkan lagu terbaik. Persembahan pembukaan yang memukau dan tema MUZIKAVERSE juga mencetuskan ilham dan kreativiti yang luar biasa daripada semua pihak seperti pihak station, produksi dan barisan finalis AJL 38 dan turut menyumbangkan konsep persembahan dan rekaan pentas yang sangat unik. Bagi pihak TV3, saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada lebih 200 warga kerja Media Prima yang terlibat dalam menjayakan AJL 38. Teruskan berkarya dan memberikan kandungan yang segar, menarik, menghiburkan dan menjadi sumber inspirasi kepada semua. Terima kasih juga kepada pihak penaja yang bersama-sama merealisasikan pentas AJL paling ikonik ini.”
Sejak penganjurannya, Anugerah Juara Lagu (AJL) bermatlamat untuk memartabatkan lagu terbaik pada setiap tahun. Anugerah Juara Lagu merupakan platform penting dalam industri muzik Malaysia yang menyatukan pelbagai genre muzik hasil para karyawan muzik tanah air dan peluang untuk mereka menyerlahkan bakat dan kreativiti mereka. Selain itu, program ini juga menjadi perantara yang menghubungkan peminat dengan penyanyi kesukaan mereka dan menyaksikan evolusi AJL selama 38 tahun diterbitkan.
AJL 38 menyaksikan 12 buah lagu berentap untuk merangkul gelaran Juara Lagu, Tempat Kedua, Tempat Ketiga, Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik. Malam anugerah menggandingkan dua ikon pengacara yang berkarisma iaitu Sherry Alhadad dan Alif Satar. Karpet Merah dihoskan oleh Fizi Ali dan Fiza Frizzy yang disiarkan di TV9 pada pukul 8.30 malam.
AJL 38 membuka tirai dengan persembahan yang sangat bertenaga dengan konsep ‘girl band’ yang menggandingkan dua vokalis iaitu Shila Amzah dan Vanessa Reynauld, dan julung kalinya persembahan pembukaan dengan lagu medley antarabangsa dan tempatan. Sissy Iman sebagai pemain keyboard dengan 3 pemain muzik muda yang berbakat besar iaitu Naimi Daini (drum), Tasneem Bolhasan (bass) dan Anis Kalisa (gitar). Interlude AJL38 pula dijayakan oleh 3 penyanyi hebat iaitu Datuk Zainal Abidin, Ella dan Dayang Nurfaizah.
AJL 38 dibawakan khas oleh Alha Alfa sebagai penaja utama Tampil berbeza bersama Alha Alfa, Perbezaan itu Keunikan Kita.” “Digayakan oleh Applecrumby, Kayangan Yang Mampu.”Rakan Penaja Panadol, Diserap 2 kali Lebih Cepat.”Kolaborasi bersama Anker, Teknologi Terkini, Menjana Generasi Bijak Malaysia.”Hot FM sebagai rakan radio. OhBulan!, XTRA dan Seismik sebagai rakan digital.
Barisan pemenang AJL 38:
Kategori | Hadiah | Pemenang |
---|---|---|
Juara Lagu | RM 100,000 dengan trofi | Hasrat
Komposer/Penulis Lirik/Penyanyi: Amir Jahari |
Tempat Kedua | RM 50,000 dengan trofi | Sutera
Komposer: Aisha Retno & MFMF Penulis Lirik / Penyanyi: Aisha Retno |
Tempat Ketiga | RM 30,000 dengan trofi | Jangan Mati Rasa Itu
Komposer/Penulis Lirik/Penyanyi: Aina Abdul |
Vokal Terbaik | RM 12,000 dan trofi | Jangan Mati Rasa Itu – Aina Abdul |
Persembahan Terbaik | RM 12,000 dan trofi | Sutera – Aisha Retno |
Penyanyi Pilihan Alha Alfa | RM12,000 dan trofi | Jangan Mati Rasa Itu – Aina Abdul |
Sidang produksi AJL 38 diketuai oleh Russell Mark Rodrigues, Ketua Unit Produksi, Penjenamaan dan Hiburan TV3, Shazreena Mohd Kassim sebagai penerbit eksekutif dan Shahrizan Razalli sebagai penerbit.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia. Gunakan #AJL38 #muzikaverse untuk menghangatkan lagi perbualan di platform media sosial.