INDEKS HARGA PENGGUNA, MALAYSIA JUN 2022

Indeks Harga Pengguna Jun 2022 meningkat 3.4 peratus kepada 127.4 berbanding 123.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Kenaikan ini melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga Jun 2022 (1.9%). Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan hari ini dalam keluaran terkini INDEKS HARGA PENGGUNA (IHP), JUN 2022.

Dalam kenyataan pada hari ini, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, “Indeks Makanan meningkat 6.1 peratus dan kekal menjadi penyumbang utama kenaikan inflasi pada bulan Jun 2022. Sementara itu, semua kumpulan lain kecuali Komunikasi turut merekodkan peningkatan dan mendorong kepada inflasi keseluruhan kepada 3.4 peratus. Pengangkutan meningkat 5.4 peratus diikuti oleh Restoran & Hotel (5.0%); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (3.4%); Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.2%) dan Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (2.2%)”.

Mengulas mengenai laporan tersebut, Ketua Perangkawan Malaysia menjelaskan pada Jun 2022, kesemua subkumpulan bagi Makanan & Minuman Bukan Alkohol menunjukkan peningkatan antara 2.8 peratus hingga 11.9 peratus. Sementara itu, komponen Makanan di rumah dan Makanan di luar rumah masing-masing meningkat 6.1 peratus dan 6.6 peratus, mendorong kepada kenaikan inflasi makanan. Antara Makanan di luar rumah yang menunjukkan kenaikan adalah Roti canai (10.5%), Nasi berlauk (9.7%), Masakan daging (7.8%) dan Makanan berasaskan mee (7.0%).

Subkumpulan Sayuran-sayuran meningkat 8.0 peratus pada Jun 2022. Kenaikan ini adalah disumbangkan oleh Tomato (24.6%) dengan purata harga RM6.74 per kilogram (Jun 2021: RM5.33), Cili padi (24.1%) dengan purata harga RM8.81 per kilogram (Jun 2021: RM6.53) dan Bendi (20.5%) dengan purata harga RM9.31 per kilogram (Jun 2021: RM7.40). Sementara itu, Telur ayam yang menyumbang sebanyak 22.8 peratus kepada keseluruhan wajaran subkumpulan Susu, keju & telur telah meningkat sebanyak 12.7 peratus. Selain itu, kenaikan subkumpulan ini juga disumbang oleh kenaikan Telur masin (16.8%) dan Susu pekat manis (13.3%).

Inflasi bagi suku tahun kedua 2022 meningkat 2.8 peratus kepada 126.6 berbanding 123.1 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya. Bagi perbandingan suku tahunan pula, inflasi meningkat 1.1 peratus berbanding suku tahun pertama 2022 (0.9%). Sementara itu, Inflasi bagi tempoh Januari hingga Jun 2022 meningkat 2.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang menjalankan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 bermula dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2022 dan Survei Ekonomi Tahunan 2022 (AES 2022) bermula 15 April sehingga 30 September 2022. DOSM amat menghargai kerjasama daripada responden dalam memberikan maklumat serta menjayakan survei ini. Sila layari www.dosm.gov.my untuk maklumat lanjut.

DOSM juga menerbitkan statistik ekonomi dan sosial iaitu PocketStats yang mengandungi statistik suku tahunan dan tahunan yang boleh diperoleh dari portal DOSM atau melalui pautan https://bit.ly/PocketStatsS1_2022.

CATEGORIES
2.7k
Whatsapp40.8k